Ahad, Disember 9

13 Mei Bukan Lagi Senjata Yang Tajam Untuk Menakutkan Rakyat

Oleh Shahbudin Husin

Menjelang pilihanraya umum akan datang, salah satu senjata yang digunakan oleh UMNO untuk mengekalkan kuasa ialah menakut-nakutkan rakyat. Selain ditakutkan dengan isu agama dan kaum, rakyat juga ditakutkan dengan kemungkinanan kononnya negara akan huru-hara jika UMNO tidak lagi berkuasa.

Bayangan tragedi 13 Mei 1969 kerapkali didendangkan untuk memperingatkan rakyat tentang perkara itu. Dalam perhimpunan UMNO baru-baru ini, Shahrizat Jalil yang kehilangan jawatan menteri kerana ditanduk lembu NFC, secara terang-terangan menyebut tentang kemungkinan 13 Mei akan berulang jika UMNO kehilangan kuasanya.

Kononnya rakyat akan memberontak kerana tidak sanggup melihat UMNO hilang kuasanya.

Sebelum itu, dalam nada yang berbeza, Mahathir juga pernah membayangkan bahawa jika PR kalah dalam pilihanraya akan datang itu, mereka juga kemungkinan akan mencetuskan huru-hara dalam negara ini.

Logik Mahathir ialah rentetan demonstasi yang dianjurkan pembangkang sejak kebelakangan ini adalah usaha tersusun ke arah itu walaupun sebenarnya demonstasi itu digerakkan adalah kerana adanya isu-isu yang spesifik dalam negara dan tidak sama-sekali berunsur keganasan kecuali jika ada provokasi daripada pihak lain.

Beberapa pemimpin UMNO lainnya termasuk Najib, Muhyiddin dan lain-lain juga pernah mengeluarkan kenyataan tentang kemungkinan negara ini tidak lagi stabil jika UMNO hilang kuasa. Bagi mereka ini hanya UMNO yang mampu menganugerahkan kestabilan kepada Malaysia.

Rata-rata pemimpin UMNO sekarang ini juga cuba menakutkan rakyat bahawa negara ini tidak akan aman, keadaan akan jadi huru-hara dan peristiwa 13 Mei akan berulang melainkan jika UMNO kekal berkuasa.

Negara juga digambarkan seolah-olah akan aman seaman-amannya jika UMNO dan BN mampu menang dengan majoriti dua pertiga.

Dengan membawa cerita huru-hara dan kemungkinan 13 Mei berulang tidak lain membuktikan bahawa UMNO berada dalam suasana ketakutan nyata yang tidak mampu diselindungkan lagi.

Bagi pihak pembangkang, kekalahan adalah perkara biasa dan sepanjang 12 kali pilihanraya sebelum ini, mereka dapat menerimanya dengan reda. Yang mungkin tidak dapat menerima kekalahan ialah UMNO dan BN kerana belum pernah hilang kuasa di peringkat Pusat.

Jika kalah, lihatlah bagaimana cara Perak dirampas kembali. Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan yang mana UMNO kalah pula tidak habis-habis ditekan.

Peristiwa 13 Mei sendiri berlaku kerana adanya unsur-unsur UMNO yang tidak mampu menerima kekalahan dalam pilihanraya 1969 itu.

Tetapi menjelang pilihanraya akan datang, rata-rata rakyat sudah matang dan dapat menerima perubahan dengan bijaksana. Memainkan terus lagu 13 Mei bukanlah sesuatu yang menguntungkan UMNO dan BN.

Selain rata-rata pengundi muda adalah mereka yang lahir pasca 13 Mei, rakyat biasa pula tentunya tidak mahu lagi peristiwa itu berulang. Dengan beberapa peristiwa keganasan politik sebelum ini dan yang terbaru berlaku di Gombak, Selangor, penilaian rakyat tentang kemungkinan UMNO akan menggunakan sentimen menakut-nakutkan rakyat amatlah jelas.

Dengan melakukan kacau-ganggu terhadap program pihak lain dan kemudian tercetusnya huru-hara, UMNO seolah-olah ingin memberi isyarat bahawa kejadian yang lebih ganas akan berlaku jika mereka kalah pilihanraya nanti.

Bacaan politik UMNO ialah dengan demikian rakyat akan menjadi lebih takut, lantas tanpa teragak-agak terus mengekalkan kuasa dalam pelukan UMNO dan BN.

Tetapi adakah realitinya demikian?

Dengan lebih 40 paratus pengundi PRU 13 terdiri daripada pengundi muda yang merupakan generasi pasca 13 Mei dan sebahagian lagi adalah pasca merdeka, memainkan terus sentimen keganasan dan huru-hara mencerminkan UMNO tidak bergerak selati dengan kehendak rakyat yang mahukan pemimpin dan kerajaan lebih memikirkan masa depan daripada mendendangkan lagu masa lalu yang pahit untuk dikenang.

Bagi generasi yang terlibat dengan 13 Mei, pedihnya peristiwa itu mungkin masih terrasa tetapi bagi generasi selepasnya, apa yang diutamakan mereka ialah masa depan. Parti yang lebih menjanjikan masa depan lebih menarik perhatian dan menjadi pilihan mereka.

Setelah lebih 40 tahun peristiwa 13 Mei berlaku, tetapi UMNO masih memainkan sentimen itu untuk menang pilihanraya. Ini menunjukkan UMNO dan pemimpinnya masih mempunyai kematangan yang terhad dan seolah-olah tidak ada tawaran lain yang mampu dilakukan untuk memenangi pilihanraya.

Menyebut-nyebut selalu peristiwa 13 Mei sebenarnya hanya menjadikan rakyat terutama generasi muda semakin jauh dengan UMNO dan BN. Pengundi Cina dan bukan Melayu tentulah menjadi semakin menjauh lagi.

Ia juga mungkin merangsang rakyat untuk memberi kemenangan yang lebih besar kepada perubahan kerana jika perubahan itu terlalu besar, kemungkinan berlaku huru-hara dan keganasan dapat diminimakan. Keganasan hanya lebih mudah tercetus jika kedua-dua pihak mempunyai kekuatan seimbang dan kedudukan sama-sama kuat.

Semakin lama peristiwa 13 Mei berlalu, ia semakin ingin dilupakan oleh rakyat. Ia juga mulai menjadi senjata yang semakin tumpul jika mahu digunakan untuk menakut-nakutkan rakyat.

Semua rakyat ingin bergerak ke hadapan. Jika UMNO terus terkepung dengan nostalgia, mereka akhirnya pasti lemas dan tenggelam dengan gelombang kebangkitan rakyat.

Petikan dari http://shahbudindotcom.blogspot.com

ADMIN: KAMI TELAH BERPINDAH KE WWW.WARTAUTARA.COM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Ratings and Recommendations by outbrain

 
 
 

Berita Perlis

Loading...

Berita Kedah

Loading...

Berita Perak

Loading...