Rata-rata mereka mendakwa, beberapa syarikat insurans enggan menanggung kerugian dialami manakala sebahagian lagi masih belum memberi jawapan sama ada akan melakukan pembayaran untuk mereka membaiki kerosakan itu atau tidak.

Justeru, mereka merayu kepada mana-mana pihak untuk menghulurkan bantuan bagi membaiki rumah tersebut yang kebanyakannya mengalami kerosakan serius.

Menurut penduduk, Fazil Saad, 42, dengan anggaran kerosakan rumah yang memerlukan kira-kira RM40,000 untuk diperbaiki, beliau tidak tahu sama ada rumah itu akan kembali didiami atau tidak pada masa depan.

“Dengan pendapatan selaku pemandu lori, terus terang saya katakan, tidak mampu untuk membaiki kerosakan itu. Ada juga saya tanyakan pada syarikat insurans tetapi kata mereka, insurans hanya akan dibayar sekiranya rumah terbakar.

“Sekarang, saya sekeluarga menumpang di rumah adik yang terletak dalam taman ini juga tetapi dia juga akan berpindah tidak lama lagi menyebabkan saya perlu mencari rumah sewa lain,” katanya kepada pemberita selepas menerima sumbangan Naza Automotive Manufacturing Sdn. Bhd. dan Yayasan Tan Sri SM Nasimuddin di Masjid Kariah Batu 5, Taman Ria Mesra 2 di sini, semalam.

Sumbangan berbentuk wang tunai berjumlah RM59,800 untuk 59 keluarga terjejas dalam kejadian itu disampaikan oleh Ketua Pegawai Operasi Naza Automotive Manufacturing Sdn. Bhd., Roslan Abd. Ghani.

Jirannya, Hazira Rashid, 37, pula memberitahu, beliau dan suami pernah berbincang mengenai perkara itu dan sedar akan hakikat kemungkinan terpaksa menyewa buat selamanya selepas ini.
“Rumah yang rosak itu baru saya ubah suai menggunakan pinjaman bank tidak sampai setahun lalu. Sekarang semuanya sudah rosak kerana kedudukan rumah yang amat hampir dengan kawasan letupan dan saya yakin, jumlah untuk membaikinya bukan sedikit.

“Kakitangan syarikat insurans ada datang dan mengambil gambar tetapi sehingga kini belum memberi sebarang keputusan. Jika tiada bantuan daripada mana-mana pihak, tidak mustahil kami akan terus menyewa kerana sukar untuk membuat pinjaman bank sekali lagi,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Khairul Anuar Ahmad, 53, memberitahu, penduduk di situ sudah menubuhkan jawatankuasa bagi menentukan tindakan yang perlu diambil bagi membantu mereka menyelesaikan masalah tersebut.

“Setakat ini kami sudah mengatur beberapa pertemuan termasuk dengan pegawai daerah dalam masa terdekat. Kami mahu memohon bantuan bagi memulihkan rumah yang rosak teruk,” katanya.