Difahamkan, lelaki berusia 25 tahun yang bekerja sebagai tukang masak di Melaka itu kali terakhir menerima rawatan di hospital tersebut pada Julai lalu.

Berdasarkan kad rawatan tersebut, tarikh paling awal lelaki yang tidak mempunyai rekod kesalahan lampau itu menerima rawatan bagi penyakit berkenaan adalah pada Jun 2013.

Pemangku Ketua Polis Daerah, Superintenden Ismail Che Isa berkata, lelaki itu kini direman selama tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut.

Katanya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Ke­seksaan.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian,'' katanya.

Dalam pada itu, suspek yang tiba di Balai Polis Parit Buntar kira-kira pukul 10 pagi telah dibenarkan direman selama tujuh hari sehingga 9 Februari ini oleh Majistret Mahkamah Parit Buntar, Rosnee Mohd. Radzuan.

Lelaki itu kemudiannya dibawa semula ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping kira-kira 45 minit selepas itu sebaik sahaja proses permohonan tahanan reman selesai.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari semalam, Nursyuhada Johari, 20, yang merupakan pelajar Diploma Pengurusan Hotel dan Pelancongan terbunuh selepas lehernya dikelar suspek di Kilometer 228.2, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan berhampiran Bukit Gantang.

Nursyuhada yang dibawa ke Hospital Kuala Kangsar untuk menerima rawatan bagaimanapun disahkan meninggal dunia kira-kira dua jam kemudian.