Dalam kejadian kira-kira pukul 4.45 pagi itu, Mohd. Izuan Che Azam dan Mohd. Haniff Ramlee masing-masing berusia 18 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian.

Kedua-dua mereka yang duduk di bahagian belakang van tersebut dipercayai tersepit setelah kenderaan dari arah Tokai menuju Alor Setar itu merempuh lori treler yang datang dari arah Alor Setar menuju Sungai Petani sebaik sahaja tiba di pertengahan persimpangan lampu isyarat di situ.

Lima mangsa yang cedera ialah pemandu van, Adnan Mohd. Zaki, 21, Mohd. Zambi, 30, Nur Atiqi Shafie, 20, dan Abd. Hafiz Azizan, 21, dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) manakala Muhammad Alif Hakimi Abd. Rahman, 18, pula yang cedera ringan dan dibenarkan pulang setelah mendapat rawatan.

Menceritakan kembali kejadian itu, Muhammad Alif Hakimi berkata, kesemua mereka bertolak dari Langgar di sini menuju Pulau Pinang kira-kira pukul 9 malam semalam dengan menaiki sebuah van yang disewa.
“Kami singgah makan di sebuah kedai nasi kandar di Seberang Jaya,Pulau Pinang dan di situ kami mendengar penerangan mengenai satu skim pelaburan.

“Kami bertolak pulang dari Pulau Pinang kira-kira pukul 2.30 pagi dan sepanjang perjalanan saya tidur, bila saya sedar saya sudah terpelanting keluar di atas jalan raya,” katanya ketika ditemui di HSB di sini hari ini.

Menurut Muhammad Alif Hakimi, Mohd. Izuan dan Mohd. Haniff merupakan rakan baiknya dan mereka adalah bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kepala Batas di sini.

“Kami bertiga merancang menyambung pelajaran di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Jitra dalam bidang pendawaian elektrik namun apakan daya dua sahabat saya telah pergi dahulu,” jelasnya.

Dalam pada itu, bapa kepada Mohd. Haniff, Ramlee Said, 56, berkata, anak lelakinya itu yang merupakan anak keenam daripada tujuh beradik meminta izin untuk ke Pulau Pinang bersama rakan-rakan bagi merehatkan diri selepas mendapat keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Dia beritahu nak jalan-jalan sekejap dekat Pulau Pinang dan akan pulang awal pagi hari ini sebab dia nak ikut sepupunya menghantar ais dengan menggunakan lori.

“Kami sekeluarga amat terkejut apabila mendapat panggilan daripada pihak polis mengenai kejadian ini kira-kira pukul 8 pagi dan kami reda dengan takdir yang menimpa anak kami,” jelasnya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintenden Rohana Omar ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan memberitahu, siasatan dilakukan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.