Headlines News :
Home » » Warga emas hilang di kaki bukit

Warga emas hilang di kaki bukit

Written By Warta Utara on Saturday, March 7, 2015 | 4:03 PM

KANGAR - Seorang bekas kakitangan Hospital Tuanku Fauziah (HTF) dipercayai hilang sejak kelmarin selepas ahli keluarga menemui motosikalnya dalam keadaan tumbang di Taman Rekreasi Gua Cenderawasih di sini, petang kelmarin.

Anak mangsa, Imran Ahmad, 29, berkata, bapanya, Ahmad Hashim, 65, keluar dari rumah mereka di Taman Kemajuan di sini, sejak jam 12 tengah hari dengan menaiki motosikal.

Katanya, apabila hampir jam 5 petang, ibunya mula tidak sedap hati apabila bapanya tidak pulang untuk makan tengah hari.

“Kemudian ibu mengajak abang ipar saya untuk mencari bapa di kawasan rekreasi terbabit. Apabila sampai, mereka menemui motosikal bapa dalam keadaan tumbang.

“Ibu dan bapa  selalu pergi beriadah di kawasan gua itu pada sebelah petang, sebab itulah ibu dapat meneka bapa akan pergi ke situ namun, hanya motosikal yang dijumpai,” katanya ketika ditemui di Taman Rekreasi Gua Cenderawasih ketika operasi mencari bapanya dilakukan anggota polis, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) dan Rela, semalam.

Imran yang juga anggota Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Kuala Perlis berkata, bapanya berubah menjadi pendiam sejak akhir-akhir ini setelah beberapa kali demam panas pada bulan lalu.

“Kali terakhir saya berjumpa  bapa pada pagi kelmarin namun, dia tidak banyak bercakap dan saya serta adik-beradik lain perasan perubahan ayah yang peramah dan suka bergurau sebelum ini.

“Saya berharap bapa ditemui selamat dan jika ada yang ternampaknya boleh hubungi balai polis berhampiran,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Operasi JPAM Perlis, Leftenan Muda (Pertahanan Awam) Mohd Faisal Zainol berkata, seramai 24 anggota termasuk pegawai JPAM bersama polis dan Rela terlibat dalam operasi mencari mangsa sejak jam 9 malam kelmarin.
Menurutnya, sehingga petang ini (semalam) Ahmad masih belum ditemui.

“Pihak kami memanjat bukit di kawasan itu termasuk mencarinya di sekitar kawasan kaki bukit.

"Setakat ini khidmat anjing pengesan turut digunakan namun, jejaknya hilang di kawasan kaki bukit ini,” katanya.
Share this article :

0 comments:

Speak up your mind

Tell us what you're thinking... !

 
Webmaster | Warta Utara Online
Proudly powered by Blogger
Copyright © 2014. Warta Utara Online - All Rights Reserved
PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER Warta Utara Online