Headlines News :
Home » » Dua beradik ustaz OKU

Dua beradik ustaz OKU

Written By Warta Utara on Monday, May 5, 2014 | 3:39 PM

SUNGAI PETANI - Berbekalkan semangat dan keazaman, dua beradik orang kurang upaya (OKU)
bukan sahaja menjadi kebanggaan ibu bapa malah dihormati masyarakat kerana mereka mengajar al-Quran, kelas tajwid dan fardu ain kepada kanak-kanak serta orang dewasa.

Mohd Arsyad Mohd Yusof, 27, menggunakan bantuan kerusi roda dan adiknya, Mohd Azfar, 26, terlantar sepenuh masa akibat gangguan saraf sejak kecil kini dikenali sebagai ustaz dalam kalangan penduduk tempatan.

Walaupun terlantar dan bergantung sepenuhnya kepada bantuan ibu bapa untuk menguruskan diri, Mohd Azfar membuktikan kepada seluruh dunia bahawa cacat fizikal bukan penghalang untuk berjaya.

Malah kekuatan semangat yang dimiliki dua beradik ini boleh dikatakan mengatasi individu yang dilahirkan sempurna yang cukup sifat.

Menceritakan kehidupan yang dilalui sejak kecil, Mohd Arsyad berkata, dia mula bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Petani sebelum meneruskan pembelajaran di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Khir Johari sehingga tamat tingkatan lima.

Bagaimanapun, adiknya hanya belajar di peringkat rendah sahaja memandangkan pergerakan terbatas yang memerlukan ibu bapanya mendukung setiap kali ke sekolah.

Menurut Mohd Azfar yang merupakan anak bongsu dari tiga beradik ini, dia mula serius mengajar mengaji al-Quran sejak 2005 bersama Mohd Arsyad selepas mengambil alih tugas itu dari abang sulung mereka, Mohd Asyraf, 29.

“Sejak itu, kami menerima kanak-kanak dan orang dewasa yang datang untuk belajar al-Quran,” katanya kepada Sinar Harian.

Belajar guna alat bantuan

Mohd Azfar berkata, bagi memantapkan ilmu yang dimiliki, dia sentiasa belajar dengan ustaz lain yang lebih berpengalaman.

Bagi memudahkan pembelajaran, Mohd Azfar menggunakan bantuan alat LCD yang signalnya boleh dipantau melalui telefon bimbit miliknya.

Alat bantuan mengajar serta keperluan lain dibeli melalui wang pemberian yang diperolehnya dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta orang ramai.

“Setakat ini dengan kelebihan yang diberikan ALLAH SWT, saya kongsi bersama umat Islam lain.

“Ini membuktikan tugas sebagai khalifah ALLAH di muka bumi ini dapat dilakukan walaupun terdapat kekurangan demi menyebarkan syiar Islam sepertimana yang dituntut,” katanya.

Selain itu, Mohd Arsyad berkata, pada mulanya, mereka hanya mengajar beberapa orang murid sahaja tetapi bilangan terbabit bertambah sedikit demi sedikit sehingga kini mempunyai 40 orang kesemuanya.

Pengorbanan keluarga berbaloi lihat kejayaan anak

Ibu mereka, Naimah Mohd Saad, 57, berkata, melihat kejayaan anak-anak OKU merupakan hadiah yang cukup bernilai buat dirinya dan suami, Mohd Yusof Salim, 58.

“Pengorbanan yang selama ini dipikul akhirnya berbaloi apabila kesemua tiga anak lelaki termasuk dua OKU menjadi ustaz,” katanya.

Menurutnya, anak sulung, Mohd Asyraf kini menjadi Pegawai Agama Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda manakala dua anak OKU mengajar di rumah.

“Sudah semestinya sejak kecil memerlukan pengorbanan kerana perlu memastikan kegiatan harian mereka lancar walaupun saya bekerja sebagai jururawat hospital manakala suami sebagai anggota tentera,” katanya.

Naimah berkata, walaupun sibuk bekerja, dia akan pulang pada waktu makan tengah hari bagi memastikan keperluan anak-anak tidak terabai.

“Namun sejak suami bersara lebih 17 tahun lalu, beliau yang banyak membantu menguruskan anak-anak kami,” katanya.

Katanya, segala-galanya berubah semasa dia dan suami pulang dari Makkah pada 2001 dan kedua-dua anak OKU ditinggalkan dalam penjagaan saudara.

“Selepas pulang, perubahan sangat ketara apabila setiap hari rumah kami sentiasa kedengaran ayat suci al-Quran dan berlarutan sehingga kini,” katanya.

Sementara itu Mohd Yusof berkata, dia reda dengan pemberian ALLAH terhadap keluarga itu yang akhirnya membawa anugerah terindah dalam keluarga.

Dalam perkembangan sama, Ketua Cawangan Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Merbok, Mejar (B) Wan Norshahid Zainol berkata, pihaknya akan cuba mendapatkan bantuan peralatan sebagai kemudahan mengajar buat kedua-dua OKU terbabit.
Share this article :

0 comments:

Speak up your mind

Tell us what you're thinking... !

 
Webmaster | Warta Utara Online
Proudly powered by Blogger
Copyright © 2014. Warta Utara Online - All Rights Reserved
PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER Warta Utara Online