Headlines News :
Home » » Joe Flizzow Dedah 'Apa Khabar' Di Sebalik Kejuaraan AJL 29

Joe Flizzow Dedah 'Apa Khabar' Di Sebalik Kejuaraan AJL 29

Written By Warta Utara on Monday, January 19, 2015 | 4:03 PM

KUALA LUMPUR: Penyanyi rap, Joe Flizzow mendedahkan lagu Apa Khabar  hampir-hampir tidak dimasukkan sebagai senarai lagu akhir untuk album Havoc yang dipasarkan pada 2013 yang mana karya itu akhinya diumumkan sebagai lagu terbaik Anugerah Juara Lagu ke 29 (AJL 29) pada Ahad.

Joe atau nama sebenarnya Johan Ishak, 37, berkata, idea untuk menulis lagu berkenaan hadir pada saat-saat akhir dengan bantuan anak didiknya, SonaOne dan dia mengambil keputusan untuk memasukkan Apa Khabar dalam album berkenaan.

"Sebetulnya Apa Khabar bukan pilihan senarai akhir untuk album Havoc dan pada saat akhir iaitu ketika bulan Ramadan saya dan SonaOne mendapat idea untuk menulis lagu ini.

"Ia sangat peribadi untuk saya kerana menerusi lagu ini saya cuba menjawab pertanyaan mengenai Malique dan Too Phat dan isi hati kepada peminat.

"Tidak sangka ia diangkat begitu tinggi dan saya hampir kehilangan kata-kata," katanya kepada mStar Online.

Apa Khabar muncul sebagai juara Anugerah Juara Lagu ke-29 (AJL29) yang berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil di sini pada malam Ahad.
Joe dan SonaOne mendedikasikan kemenangan Apa Khabar kepada muzik Rap dan Hip Hop.
Dengan kemenangan itu, Joe dan SonaOne menggondol hadiah utama berupa trofi dan wang tunai berjumlah RM50,000.

Dalam pada itu, SonaOne atau nama sebenarnya, Mikael Adam Mohd Rafae, 27, berkata, sebagai pendatang baharu dalam industri muzik kemenangan tersebut menaikkan semangatnya sebagai komposer dan penyanyi rap untuk menghasilkan karya lebih baik pada masa hadapan.

"Berdirinya saya di sini pada malam ini adalah kerana individu seperti Joe yang banyak memberi inspirasi selain membuka ruang kepada generasi baharu untuk berkarya.

"Kemenangan ini menaikkan semangat kami untuk terus berkarya dengan lebih baik pada masa hadapan," ujarnya.

Sementara itu, mengulas mengenai kemenangannya di AJL 29, Joe berkata, kejayaan itu bukan hanya milik mereka tetapi ia adalah hadiah untuk muzik rap dan hip hop di negara ini.

"Selepas 15 tahun saya berjuang dalam bidang ini akhirnya rap dan hip hop mula mendapat perhatian sewajarnya dan segala usaha keras selama ini akhirnya terbayar.

"Ini bukan sahaja kemenangan untuk kami berdua tetapi ia didedikasikan kepada semua penggiat muzik ini," katanya.
Share this article :

0 comments:

Speak up your mind

Tell us what you're thinking... !

 
Webmaster | Warta Utara Online
Proudly powered by Blogger
Copyright © 2014. Warta Utara Online - All Rights Reserved
PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER Warta Utara Online