Headlines News :
Home » » Ahli PAS lega tiada gabungan

Ahli PAS lega tiada gabungan

Written By Warta Utara on Thursday, February 26, 2015 | 2:56 PM

Oleh Abd Shukur Harun 


Penegasan pemimpin kanan PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man bahawa PAS tidak akan sesekali bergabung dengan Umno sebagaimana yang disiarkan dalam pelbagai media sangat melegakan.

“Perkara penggabungan PAS-Umno ini tidak pernah dibincang dalam mana-mana mesyuarat parti,” kata Naib Presiden itu dalam kenyataannya untuk menjelaskan keadaan sebenar bagi meredakan kebimbangan pelbagai pihak mengenai kemungkinan PAS dan Umno bergabung.

Saya kira, penegasan Tuan Ibrahim itu sangat tepat pada waktunya di mana khabar angin PAS-Umno bakal bergabung - dalam facebook, twitter, dan WhatsApp, serta percakapan umum di mana saja – sedang rancak diperkatakan mengenai isu ini.

Media yang dikuasai parti Umno/BN pula memainkan isu ini, malah melaga-lagakan di antara sesama pendukung PAS untuk keuntungan politik.

Kenyataan bijaksana Tuan Ibarhim telah meredakan keadaan dan sekaligus menyelamatkan PAS sendiri dari pelbagai andaian, tuduhan dan teka teki.

Maknanya di sini bahawa PAS akan kekal dalam Pakatan Rakyat dan ini adalah suatu yang sangat wajar.

Kata Tuan Ibrahim: “Saya ingin tegaskan bahawa PAS tidak akan sesekali bergabung dengan Umno sebagaimana yang diviralkan dalam media sosial sekarang. Perkara penggabungan PAS-Umno ini tidak pernah dibincang dalam mana-mana mesyuarat parti.

Katanya, sudah banyak kali ditegaskan bahawa tidak timbul soal penyatuan kedua-dua parti ini. PAS ada 21 kerusi parlimen, Umno mempunyai 88 kerusi parlimen. “Jika bergabung, Umno nak bagi berapa kerusi kepada PAS? 40? Daripada sudut ini saja, tuduhan bahawa PAS akan bergabung dengan Umno sudah tidak masuk akal”.

Bahkan, Presiden PAS, katanya, telah menegaskan di dalam Muktamar PAS yang lalu dan sebelumnya bahawa PAS tidak akan bergabung dengan Umno. Perkara dasar begini, kata Tuan Ibrahim, mesti melalui keputusan muktamar bukan hanya pandangan peribadi ahli parti.
“Jikalau atas alasan untuk melaksanakan sistem perundangan Islam, Umno sudahpun boleh melaksanakannya seandainya betul ingin melaksanakannya di semua negeri yang diperintahnya.

“Berdekad-dekad Umno menentang hudud dan memperlekehkan hukum Allah ini, dan tidak menggunakan Al-Quran dan Hadis sebagai rujukan tertinggi parti, apakah mungkin tiba-tiba Umno betul ingin membantu PAS melaksanakannya?

“Dalam saat Umno sedang kelemasan, tentulah ia akan sanggup melakukan apa sahaja, namun pengalaman lampau membuktikan bilamana mereka kuat, mereka akan tendang PAS keluar dari muafakat yang ada,” kata Tuan Ibrahim lagi.

Sudah sekian lama, katanya, Umno menindas Allahyarham Tuan Guru Nik Aziz dan rakyat Kelantan dengan menafikan royalti minyak, pembanguanan, lebuh raya, lapang terbang dan langsung tidak menghormati sistem federalisma. Apakah tindakan parti yang zalim terhadap PAS berdekad-dekad ini boleh dipercayai?

Menurut beliau, jika hujahnya adalah untuk perpaduan Melayu, biarlah orang Melayu bersama dengan PAS bagi membentuk sebuah kerajaan baru berteraskan Islam, dan tidak lagi dilihat sebagai komuniti yang boleh menerima rasuah, salahguna kuasa sebagai sesuatu yang patut di bawah kerajaan Umno.

Di sinilah seingat saya, untuk selama puluhan tahun, sepanjang perjuangannya, Allahyaram Tuan Guru menentang habis-habisan assobiyah (perkauman) kerana baginya perkauman itu adalah sebuah kejahatan yang menentang kemanusiaan dan menjadi musuh Islam.

Maka Almarhum Tuan Guru sejak dari dulu hingga akhir hayatnya, berada di barisan depan jamaah PAS menjadi penghalang utama dari sebarang usaha untuk menggabungkan PAS dengan Umno, atas nama apapun. Justeru Allahyarhamlah yang sangat memahami musuh politik PAS itu.

Allahyaram pernah menyebutkan bahawa “Rasululalah s.a.w. mengingatkan umat Islam supaya jangan kena patuk ular dua kali dalam lubang yang sama” iaitu merujuk pengalamannya berdepan dengan karenah Umno selama puluhan tahun.

Pada pendapat saya, jika pendukung PAS semua peringkat mahukan PAS memiliki masa depan yang cerah, maka wawasan Almarhum ini sangat wajar diteruskan. Iaitu memenuhi perlaksanaan syariat yang telah diasaskan oleh Almarhum dengan penuh kebijaksanaan dalam ruang-lingkup keluasan demokrasi dan peruntukan perlembagaan negara.

Dengan itu PAS akan berganding bahu, sama-sama memperkukuh Pakatan Rakyat untuk mencapai kemenangan mendapatkan kuasa dalam PRU seterusnya.

Di sini, saya masih ingat akan kata-kata Almarhum Tuan Guru bahawa “dengan kita berada dalam Pakatan Rakyat, maka kita mendapat medan luas untuk berdakwah kepada rakyat, khususnya kepada non-Muslim”.

Bahkan, kata Almarhum, kita boleh menunjukkan kepada dunia, akan model politik Islam yang berjaya dilaksanakan oleh PAS di negara ini di di tengah masyarakat majumk.

Sejak akhir-akhir ini, dengan kemelut yang ada dalam Pakatan Rakyat, maka rakyat umumnya dan penyokong Pakatan Rakyat khususnya, sedang tertanya-tanya dan menunggu jawapan yang pasti, sama ada PAS akan keluar dari Rakyat dan kemudian bergabung dengan Umno.

Oleh itu apabila pemimpin kanan PAS, seperti Tuan Ibrahim Tuan Man dengan tegas menyatakan bahawa PAS tidak akan bergabung dengan Umno, maka saya kira, rakyat prihatin merasa sangat lega. Bahawa ini adalah jawapan bijaksana dari seorang pemimpin PAS.

Seingat saya, sebanyak empat kali Muktamar Tahunan PAS, mempertegas komitmen PAS bersama Pakatan Rakyat, maka apapun masalah dalaman dalam Pakatan Rakyat, tentu saja boleh diselesaikan.
Di sini betapapun nyaringnya seruan, desakan dan sebagainya dari pelbagai pihak untuk melihat penyatuan PAS-Umno atas alasan untuk memperkukuh perpaduan Melayu-Islam, maka jawapannya ialah ‘tidak mungkin’.

Seperti kata Tuan Ibtrahim, biarlah orang Melayu bersama dengan PAS bagi membentuk sebuah kerajaan baru berteraskan Islam dan tidak lagi dilihat sebagai komuniti yang boleh menerima rasuah, salahguna kuasa sebagai sesuatu yang patut di bawah kerajaan Umno/BN.
Share this article :

0 comments:

Speak up your mind

Tell us what you're thinking... !

 
Webmaster | Warta Utara Online
Proudly powered by Blogger
Copyright © 2014. Warta Utara Online - All Rights Reserved
PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER Warta Utara Online