Headlines News :
Home » » Keupayaan awasi sempadan dipuji

Keupayaan awasi sempadan dipuji

Written By Warta Utara on Sunday, February 15, 2015 | 11:29 PM

IPOH – Keupayaan anggota dan pegawai tentera di bawah naungan 2 Divisyen dalam memastikan keselamatan di kawasan persempadanan negara terutama Thailand, dipuji.

Panglima 2 Divisyen, Datuk Mohd Shukuri Ahmad berkata, beliau berasa bangga dengan kejayaan mewujudkan kerjasama baik antara pasukan di bawah naungan 2 Divisyen dengan Tentera Diraja Thailand dalam menjalankan operasi pemantauan dan pengawasan di garisan sempadan seperti di Bukit Kayu Hitam, Rantau Panjang serta Banding.

Menurutnya, langkah penambahbaikan operasi dilakukan juga berjaya mencapai kata sepakat dengan penganjuran beberapa siri perbincangan dan mesyuarat melibatkan pucuk pimpinan tentera bagi kedua-dua negara.

“Warga tentera juga perlu membuktikan keupayaan dalam memayungi keselamatan dan memainkan peranan sebagai sebuah pasukan mampan kepada rakyat serta negara.

“Justeru, kita kena sentiasa meningkatkan tahap kesiagaan tempur, serta bersedia dalam menghadapi sebarang bentuk ancaman terutamanya yang mampu menjejaskan benteng pertahanan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika perbarisan Hari Ulang Tahun 2 Divisyen yang ke-46 di Padang Kawad Batalion ke-2 Rejimen Renjer Diraja, Kem Syed Putra, di sini.

Hadir sama, Panglima 2 Briged, Brigedier Jeneral Mohammad Abd Rahman; Panglima 6 Briged Brigedier, Jeneral Mardzuki Muhammad; Panglima 8 Briged,  Datuk Azmy Yahya dan Panglima 30 Briged, Brigedier Jeneral Zainal Abidin M Said.

Perbarisan disertai 19 pegawai dan 358 anggota lain-lain pangkat, terdiri daripada empat kontinjen yang mewakili pasukan masing-masing.

Selaras dengan perkembangan dunia sosial masa kini, Mohd Shukuri turut mengingatkan anggotanya supaya terus berpegang teguh pada Ikrar Kesatria dijunjung, di samping memelihara kedaulatan negara dengan menunjukkan ketaatsetiaan yang tinggi terhadap negara.

Katanya, kebanyakan isu semasa mewarnai dada akhbar dilihat semakin hari semakin bercambah dengan variasi yang pelbagai.

“Bahayanya ancaman masa kini didapati jauh berbeza berbanding ancaman di masa yang lalu, kita khuatir ia bakal menjurus kepada keadaan yang kucar-kacir dan mampu mengundang perpecahan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memuji kejayaan terbesar pasukan itu dalam menjalankan Ops Murni berikutan bencana banjir yang melanda sebahagian besar negeri di bawah pemerintahan 2 Divisyen seperti Kelantan, Terengganu, Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.

“Kita telah sehabis daya berusaha untuk memastikan kelancaran proses penyaluran bantuan dapat diterima dengan baik oleh kesemua mangsa terlibat,” katanya.
Share this article :

0 comments:

Speak up your mind

Tell us what you're thinking... !

 
Webmaster | Warta Utara Online
Proudly powered by Blogger
Copyright © 2014. Warta Utara Online - All Rights Reserved
PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER Warta Utara Online