Peniaga tersebut, Che Fauzial Doya, 47, berkata, mangsa memang ada membeli beberapa makanan ringan di kedainya kira-kira pukul 7 petang.

“Selepas mangsa membuat bayaran di kaunter, saya ternampak ada api di bahagian luar hadapan kedai yang sudah marak dan mula merebak ke tempat letak tong gas.

“Pada masa itu, saya hanya ingat untuk padamkan kebakaran kerana bimbang 23 tong gas yang berada di situ akan meletup namun api terus marak kerana keadaan angin yang kuat pada masa itu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini semalam.

Che Fauzial berkata, dia hanya menyedari mangsa terperangkap di dalam kedai apabila peniaga kedai makan berdekatan memberitahu terde­ngar ada orang menjerit di dalam kedai.

“Pada masa itu, baru saya teringat dia mungkin pelanggan perempuan yang datang ke kedai sebelum itu dan saya tidak sedar langsung dia masuk semula ke dalam kedai.

“Peniaga kedai makan yang saya kenal sebagai Che Ad berusia lingkungan 40-an cuba masuk ke dalam kedai untuk membantu mangsa namun gagal kerana api terlalu marak. Tindakan itu menyebabkan dia melecur di bahu dan tangan kanan akibat disambar api,” katanya.

Dia yang baru setahun berniaga di kampung itu berkata, mangsa yang tinggal di Kampung Pulau Tengah iaitu kira-kira satu kilometer dari kedai runcitnya gagal di­selamatkan dan ditemui rentung di bahagian belakang premis.

“Saya percaya kebakaran ini berpunca daripada litar pintas dan kerugian dianggarkan kira-kira RM100,000,” jelasnya.

Turut terbakar dalam kejadian itu dua kereta Proton Saga yang diletakkan di hadapan sebuah bengkel cat kenderaan dan dua motosikal.

Allahyarham Wan Putri Nur Aisyah yang merupakan anak sulung daripada tiga beradik dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pulau Tengah di sini.

Sementara itu, Ko­mander Operasi, Penolong Pe­nguasa Bomba Mohd. Jamalludin Mat Yusop memberitahu, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 7.21 petang dan tiba pada pukul 8.07 malam.

“Setiba di lokasi kejadian, sebuah rumah kedai terbakar 100 peratus dan api telah dipadamkan pasukan bomba sukarela.

“Semasa kebakaran, mangsa dipercayai melarikan diri ke bahagian belakang kedai dan terperangkap,” tambahnya.