Dianggarkan seramai 2,000 orang keluar masuk di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Padang Besar untuk menjalankan urusan masing-masing setiap hari.

Namun tahukah anda sebahagian daripada mereka yang keluar masuk di pintu sempadan, terletak bersebelahan Wilayah Songkhla, Thailand di situ, langsung tidak menjalani pemeriksaan dokumen perjalanan.

Keadaan itu dapat dilihat di pintu sempadan tersebut terutama­nya ribuan motosikal bernombor pendaftaran Thailand yang melalui la­luan khas di situ tanpa perlu me­nunjukkan pasport atau pas sempadan.

Pas sempadan merupakan dokumen diberikan kepada mereka yang sering berurusan di kawasan antara kedua-dua negara, dengan syarat tidak melebihi satu kilometer.

Menurut sumber, keadaan itu menimbulkan persoalan tentang status keselamatan pintu sempadan negara ini yang seakan-akan mudah dibolosi pihak asing.

Katanya, perkara itu menyalahi­ Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 kerana warga asing yang keluar masuk gagal me­nunjukkan dokumen perjalanan sah.

Tambah sumber itu, dianggarkan terdapat 80 orang anggota dan pegawai daripada pelbagai agensi bertugas di situ setiap hari bermula dari pukul 6 pagi sehingga pukul 10 malam.

“Diakui sebahagian besar pengguna motosikal itu merupakan peniaga di pekan Padang Besar tetapi seharusnya kita tidak memandang ringan perkara tersebut.

“Kita bimbang ada pihak yang mengambil kesempatan dengan berlagak seperti peniaga dan membawa barang terlarang seperti senjata api dan dadah,” katanya.

 Tambah sumber, para peniaga di Padang Besar mempunyai pas sempadan bagi membolehkan mereka keluar masuk untuk tujuan berniaga tetapi tetap perlu dicop oleh pegawai imigresen bertugas di CIQ.
“Malangnya, pemegang pas sempadan yang hanya dibenarkan berada dalam jarak satu kilometer dari sempadan tidak diperiksa langsung atau hanya angkat tangan ketika melalui pintu pemeriksaan,” katanya.

Dalam pada itu, tinjauan Mingguan Malaysia yang melalui CIQ mendapati kesemua penunggang motosikal tidak menjalani pemeriksaan dokumen perjalanan.

Hasil siasatan mendapati keada­an tersebut berlaku disebabkan anggota dan pegawai agensi bertanggungjawab, mempercayai golongan itu sebagai peniaga di pekan berkenaan selain kekurangan kakitangan.

Kata sumber itu, kebanyakan peniaga Thailand di situ akan keluar masuk kira-kira tiga kali sehari yang bertujuan menghantar wang ke negara mereka sebaik sahaja mengaut keuntungan lumayan.
Sumber memberitahu, terdapat pemeriksaan keselamatan di sempadan oleh Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) kira-kira satu kilo­meter dari Padang Besar, namun lebih tertumpu kepada kenderaan dengan pendaftaran asing sahaja.

“Bagaimana pula sekiranya warga asing yang tidak diperiksa itu menggunakan kenderaan tempatan, sudah tentu dia tidak diperiksa pihak berkuasa,” katanya.