Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, menerusi usaha sama yang dijalankan tersebut juga dapat mewujudkan kepakaran usahawan di dalam hal ehwal halal secara global.
Titah baginda, pada masa sama, promosi usahawan tempatan terhadap industri makanan halal turut dapat diperluaskan lagi seiring dengan permintaannya yang semakin berkembang baik di rantau ini dan dunia.

"Ia sekali gus membolehkan usahawan Malaysia dapat mengeksport produk mereka ke luar negara serta mendapatkan maklumat terkini tentang tata cara pengeksportan produk ke Thailand.
"Menerusi penghasilan produk tempatan (berkualiti) yang dieksport ini, secara tidak langsung juga boleh meningkatkan imej negara pada mata masyarakat luar selain mengoptimumkan pemasaran dan jualan," titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika berkenan bercemar duli merasmikan Forum Keusahawanan dan Halal dengan kerjasama Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs).

Turut menjalin kerjasama ialah Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) dan majlis-majlis agama Islam di enam wilayah Andaman yang diadakan di sebuah hotel di sini, semalam.
Keberangkatan baginda disambut oleh Pengarah Mara Perlis, Lukman Hakim Hasan dan Pengarah JAIPs, Dr. Hazman Hassan.

Dalam program tersebut turut diadakan sesi suai niaga bersama usahawan di enam wilayah Andaman dan Perlis yang antara lain bertujuan untuk pembangunan ekonomi ummah yang mantap dan kukuh.
Tuanku Syed Faizuddin dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil kemudian berkenan bercemar duli melawat sebuah kilang pemprosesan makanan terbesar di wilayah ini iaitu Kuang Pei San Food Products.

Syarikat itu menjual pelbagai produk makanan dalam tin yang merangkumi produk-produk hasil laut seperti ikan sardin dan mackere