Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd. Yazid berkata, cabaran untuk berjaya sememangnya berat namun mereka tidak seharusnya menunggu ‘yang bulat datang bergolek, yang pipis datang melayang’.

Menurutnya, golongan wa­ni­ta boleh menggunakan saluran yang betul untuk mendapatkan dana suntikan melalui agensi-agensi kerajaan yang menawarkan pinjaman mudah dan mampu dibayar secara ansuran.

“Pelbagai agensi kerajaan menyediakan bantuan perniagaan seperti Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) dan Amanah IKhtiar Malaysia (AIM) serta lain-lain agensi.

“Golongan wanita tidak boleh mengatakan mereka tersisih atau tidak diberikan peluang untuk menceburi bidang perniaga­an,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis Penerangan dan Dailog Bajet 2018 Tahun Memperkasakan Wanita di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) di sini yang disertai 300 orang, baru-baru ini.

Program tersebut dianjurkan Wanita UMNO bahagian, Persa­tuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) serta pertubuhan bukan keraja­an (NGO) di Kuala Kangsar.

Menurut Mastura, tahun 2018 wajar menjadi pemangkin kepada golongan wanita yang mahu menceburi bidang perniagaan.

Katanya, mereka perlu mendapatkan bimbingan awal de­ngan cara menimba pengalaman daripada rakan-rakan yang telah berjaya dan menempa nama dalam perniagaan.

“Saya bangga kerana semakin ramai usahawan wanita yang berjaya, membuktikan mereka mampu menghadapi persaingan dan cabaran dalam dunia perniagaan,” katanya.