Headlines News :
Home » » Taksonomi Bloom ciptaan Yahudi

Taksonomi Bloom ciptaan Yahudi

Written By Warta Utara on Tuesday, January 9, 2018 | 8:32 PM

Oleh Abdul Naser Tun Rahman 

 SIAPA yang tidak kenal sebuah sistem penilaian yang bernama Taksonomi Bloom. Bloom ialah nama seorang pakar psikologi yang membuat penyelidikan tentang tahap-tahap pemikiran seorang pelajar.

Taksonomi Bloom membahagikan tahap pemikiran kepada aras pemikiran rendah dan tinggi.

Taksonomi Bloom ini digunakan di semua sekolah dan universiti dalam membentuk silibus, kurikulum dan bagaimana memberi markah dan penilaian ke atas pencapaian seorang pelajar. Kalau anak anda dapat markah ‘A’, tahap kemahiran anak anda sebenarnya adalah dinilai mengikut Taksonomi Bloom. Nama penuh Bloom ialah Benjamin Samuel Bloom. Dari nama sahaja, jelas beliau adalah Yahudi sejati. Bahkan beliau pernah menjadi penasihat sistem pendidikan Israel.

Umat Islam tidak mempunyai masalah untuk mengambil pelbagai sistem dari budaya lain. Kata-kata hikmah ulama seperti “Tuntutlah ilmu sampai ke negara China” menjadi pegangan umat.

Tetapi terdapat perbezaan antara mengambil sebuah sistem dengan taasub atau dengan cerdik. Memang Taksonomi Bloom ini terkenal seluruh dunia tetapi adakah kerana majoriti institusi pendidikan menggunakannya, maka kita pun terhegeh-hegeh taasub  kepadanya juga?

Mungkin munasabah jika kita mengambil Taksonomi Bloom ini dulu, kemudian kita belajar darinya demi untuk membentuk taksonomi kita sendiri setelah 10 tahun membuat kajian. Taksonomi Bloom ini mula diperkenalkan ke dunia pada tahun 70-an. Adakah pada tahun 2018, kita mampu memperkenalkan taksonomi yang kita cipta sendiri? Bukankah aras pemikiran paling tinggi dalam Taksonomi Bloom ialah inovasi. Di mana kualiti universiti-universiti kita dalam inovasi?

Takkanlah selama-lamanya sistem penilaian pelajar-pelajar kita bergantung kepada sistem rekaan Yahudi Israel? Apakah maknanya kita boikot restoran yang dikatakan sokong Israel tetapi pada masa yang sama kita menilai kualiti pemikiran generasi baharu kita berdasarkan sistem penilaian Yahudi Israel? Adakah kita nampak makanan haram lebih bahaya daripada pencemaran minda kita?

Taksonomi Bloom ini telah menerima banyak kritikan sehingga di kemas kini kepada versi kedua.
Artikel saya ini hanya fokus kepada salah satu mudarat besar Taksonomi Bloom ini.

Prof Bloom telah mengkritik sistem pendidikan tradisional dalam bukunya yang bertajuk “All Our Children Learning” kerana mengandaikan personaliti guru memainkan peranan yang utama dalam mendidik pelajar. Prof Bloom berkata bahawa aktiviti mengajar, bukan pengajar atau guru, yang merupakan kunci pembelajaran pelajar (It is the teaching, not the teacher, that is the key to the learning of students).

Maknanya ialah pendidikan bukan berdasarkan siapa yang mengajar, tetapi berdasarkan apa yang di ajar dan bagaimana guru mengajar. Inilah yang menentukan pencapaian pelajar (It is not what teachers are like but what they do in interacting with their students in the classroom).

Pendidikan menjadi sekadar kemahiran semata-mata. Falsafah pendidikan Bloom ini mengetepikan inspirasi personaliti guru. Peranan guru hanyalah penyampai maklumat. Kalau seorang guru yang berpengalaman meninggal, mudah sahaja digantikan dengan guru yang lain kerana guru yang lain hanya perlu belajar kemahiran menyampaikan maklumat sahaja.

Guru menjadi umpama pelayan di restoran makanan segera. Pelayan hanya sekadar menyampaikan burger kepada klien. Pelayan tidak menentukan kualiti dan rasa burger. Kalau seorang pelayan itu berhenti kerja, ini tidak membawa apa-apa makna bagi restoran. Pelayan lain akan menggantikannya dan tetap menyampaikan burger yang mempunyai kualiti dan rasa yang sama.

Begitu juga guru yang hanya berperanan menyampaikan maklumat. Seorang guru bersara, guru lain ganti. Persaraan guru senior tidak membawa apa-apa makna bagi sekolah kerana guru baharu yang lain akan menggantikannya dan tetap menyampaikan maklumat yang mempunyai kualiti yang sama!.

Mungkin perbezaan antara guru senior dan guru baharu hanyalah guru baharu lebih mahir menekan butang tab!

Guru baharu dan senior ada kelebihan masing-masing tetapi isu di sini ialah mengapa tidak menggabungkan kelebihan guru senior dan baharu, pihak sekolah dan universiti untuk mencipta taksonomi yang membentuk identiti kita sendiri sebagai umat Islam dan sebagai bangsa Malaysia?

* Abdul Naser Tun Rahman Tokoh Pendakwah Perak
Share this article :

0 comments:

Speak up your mind

Tell us what you're thinking... !

 
Webmaster | Warta Utara Online
Proudly powered by Blogger
Copyright © 2014. Warta Utara Online - All Rights Reserved
PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER Warta Utara Online