Ahli psikologi Barat, Peiffer yang memperkenalkan Positive Thinking (1989) iaitu satu perbahasan mengenai pemikiran positif dan pemikiran negatif telah menjelaskan tentang apa itu berfikiran positif. Berfikiran positif bermaksud seseorang itu melihat kebaikan, kegunaan, keuntungan dan faedah terhadap apa-apa sahaja. Juga dikenali sebagai gaya berfikir yang membina kerana sentiasa mahu melihat perkembangan yang menggalakkan, berusaha memperbaiki kelemahan dan memberikan fokus kepada apa-apa yang dicita-cita dan harapan masa hadapan tanpa memikirkan masa lalu. Pemikiran negatif pula bererti melihat kepada masalah, keburukan, bahaya dan risiko. 

Orang negatif hanya akan nampak keburukan, kelemahan, kesusahan, kegagalan dan kerugian.
Bagaimanapun bagi Peiffer meskipun situasi dan hasil pemikiran negatif ini amat buruk namun gaya pemikiran ini tetap ada gunanya dalam membantu mengimbangi gaya berfikir positif yang sentiasa berasa selesa dan tidak menyedari kemungkinan akan berlakunya kesusahan. Gaya berfikiran negatif dapat membantu meramalkan kesulitan, bahaya, kerugian, kegagalan dan risiko yang mungkin boleh berlaku. 

Pemikiran negatif ini juga, menurut Peiffer, menyediakan ‘pelan kecemasan’ dalam usaha menghindari masalah yang dijangka berlaku. Malah gaya pemikiran ini juga dapat membantu memperbaiki dan menghujahkan idea yang sedia ada supaya menjadi lebih bernas. Sungguhpun begitu gaya pemikiran negatif ini tidak boleh digunakan secara berleluasa kerana akan membunuh idea baharu yang sedang bertunas.

Pandangan Peiffer ini bertentangan dengan gaya atau konsep pemikiran ‘Reset Minda’. ‘Reset Minda’ hanya membenarkan pemikiran dan perasaan yang positif sahaja berada dalam minda dan hati seseorang. Dalam Islam, kita percaya kepada qada dan qadar Allah iaitu segala perkara yang baik dan perkara yang buruk semuanya datang daripada Allah. Biarpun yang datang daripada Allah itu membawa keburukan (negatif) kepada hamba-Nya dalam konteks mata fizikal tetapi dari sudut mata hati (keimanan) terdapat banyak keindahan dan kemanisannya di sebalik kejadian itu. Jika keburukan menimpa hamba-Nya, musibah itu adalah sebagai ujian daripada-Nya dan Allah hanya menguji hamba-Nya yang benar-benar mampu menanggung segala ujian diberikan. Ini kerana setiap ujian ada ganjaran nikmat yang akan diberikan Allah kepada hamba-Nya yang terpilih itu. 

Justeru, ubahlah cara melihat sesuatu kejadian atau peristiwa yang dilalui dalam kehidupan ini. 

Pandanglah dengan mata akal dan mata hati dan positifkan fikiran dan perasaan. Hal ini amat penting kerana berdasarkan hadis Rasulullah yang bermaksud;“Allah bertindak berdasarkan apa yang ada dalam fikiran hamba-Nya. Jika baik fikirannya, maka baiklah jadinya, jika buruk fikirannya, maka buruklah jadinya.” Oleh itu bersangka baiklah dengan Allah SWT.

Secara teori, menurut Peiffer, minda manusia dibahagikan kepada dua bahagian, iaitu minda sedar dan minda separa sedar. Minda sedar adalah minda yang menolong seseorang melaksanakan aktiviti harian yang melibatkan proses membuat keputusan selain menggunakan pemikiran rasional dalam situasi baharu. Minda separa sedar pula merangkumi sebahagian besar minda dan terbabit dalam pengulangan sifat atau tabiat yang boleh dipelajari. Keadaan ini membolehkan kita bertindak balas dengan lebih cepat apabila berlaku situasi yang sama berulang. 

Maklumat atau fakta daripada minda sedar akan disalurkan terus ke dalam minda separa sedar dan kemudian disimpan dalam memori. Memori itu disimpan sebagai insiden atau situasi bersama-sama perasaan atau emosi yang dirasai ketika itu. Jika rangkaian maklumat berkaitan tabiat disimpan dengan kuat dalam minda separa sedar, memori akan berfungsi secara automatik apabila insiden itu berulang. Perasaan emosi yang disimpan dalam memori akan dikeluarkan sebagai tabiat atau perangai seseorang. Inilah yang akan menentukan sama ada seseorang itu akan berfikir secara positif atau negatif terhadap sesuatu isu dan seterusnya cara bertindak balas terhadap apa jua insiden dan situasi.

Dipercayai jika seseorang itu sering menggunakan perkataan negatif, seperti “kita tak berguna”, “kita tak boleh”, “kita bodoh” dan seumpamanya, lama-kelamaan kata-kata itu akan tersimpan dalam minda separa sedar. Menyedari hal inilah maka banyak ahli psikologi berpendapat untuk menyelamatkan kehidupan seseorang, orang yang berfikiran negatif terhadap sesuatu isu perlu dipaksa untuk mengarahkan pemikirannya ke arah positif. 

Dalam ‘Reset Minda’ saya menyarankan pertama, didik diri supaya bercakap yang baik-baik (positif) sama ada yang keluar daripada mulut atau berbisik di hati. Kedua, jaga minda. Jangan ada fikiran negatif. Jika fikiran negatif itu datang walau sekilas cantas segera dan balaskan dengan fikiran positif. Fokus hanya perkara yang positif. Jangkakan perkara yang baik-baik atau positif sahaja dalam fikiran. Maka bijaksanalah dalam berfikir! “Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak”.