Headlines News :
Home » » Anuar Zain mangsa buruan

Anuar Zain mangsa buruan

Written By Warta Utara on Monday, May 5, 2014 | 5:00 PM

"SAYA ternoda". Itu gurauan yang keluar dari mulut penyanyi ini apabila tidak putus-putus
dikerumuni tetamu wanita pada majlis Minggu Setiausaha Terindah... Anuar Zain, petang Selasa lalu.

Malah sepanjang persembahan kira-kira dua jam itu, penyanyi berusia 44 tahun itu tidak mampu menolak permintaan untuk bergambar dengan hampir setiap tetamu yang mengisi ruang dewan.

Ternyata Anuar mempunyai aura yang cukup kuat untuk menarik lebih ramai tetamu untuk merakam kenangan terindah pada majlis tersebut.

Anuar yang terlebih dahulu membuka ruang 'bermesra' dengan peminatnya apabila merakam gambar tetamu yang hadir menggunakan monopod secara tidak langsung membangkitkan gelombang selfie yang menjadi kegilaan masa kini.

Natijahnya rata-rata tetamu yang hadir bersiap sedia dengan telefon pintar masing-masing dan mencari peluang untuk mendekati penyanyi tersebut.

Bahkan sejak Anuar muncul di pentas kira-kira pukul 2.20 petang sehingga ke akhir persembahan, dia tidak terlepas menjadi mangsa 'buruan' tetamu wanitanya.

Sehinggakan ada dalam kalangan tetamu membunyikan cawan sebagai isyarat memprotes apabila Anuar terlalu lama di satu-satu sudut untuk bergambar dengan peminat.

Begitu hebat penangan Anuar yang mempunyai peminat setia yang sentiasa menyokong sehingga bertahan lebih 30 tahun dalam bidang nyanyian.
Sekiranya dilihat pada keseluruhan majlis anjuran syarikat miliknya, Anuar Zain Network sememangnya mencipta kejayaan tersendiri.
Impian Anuar untuk menjadi hos kepada acara majlis setiausaha wajar dipuji kerana penyanyi ini mempunyai cita rasa tersendiri dalam memberikan yang terbaik kepada tetamunya.
Daripada aspek makanan yang dihidang, kualiti persembahan, perjalanan atur cara majlis dan menggunakan tenaga belakang tabir yang profesional jelas mencerminkan peribadi Anuar.
Anuar cukup prihatin dalam soal memberi kepuasan kepada tetamu dan memastikan bayaran yang dilaburkan untuk menonton persembahannya itu benar-benar setimpal.
"Saya mahu memberikan yang terbaik dan berharap ini dapat memberi inspirasi buat semua," kata Anuar di hadapan kira-kira 700 tetamu .
Imbas kembali
Sejak awal penghebahan Minggu Setiausaha Terindah... Anuar Zain kira-kira tiga bulan lalu, penyanyi ini sudah berjanji untuk memberi layanan terbaik kepada tetamunya.
Biarpun majlis setiausaha yang sepatutnya diadakan pada 8 April lalu itu ditangguhkan kerana menghormati tragedi pesawat Malaysian Airlines (MH370), ternyata ada hikmah tersendiri.
Begitu juga dengan soal bayaran apabila Anuar meletakkan harga sehingga RM1,380 untuk seorang bagi penganjuran majlis setiausahanya itu.
Bayaran tersebut sebenarnya mencerminkan 'nilai' Anuar yang tidak pernah berhenti daripada memikirkan soal kepuasan yang terbaik untuk peminat.
Justeru Terindah... Anuar Zain pasti menjadi majlis penuh kenangan kepada peminat kerana dihiburkan dengan 12 lagu terbaik antaranya Lelaki Ini, Sedetik Lebih, Ajari Aku dan Ketulusan Hati.
Majlis itu menjadi lebih istimewa apabila turut dihadiri kakak Anuar, Ziana Zain bersama suami, Armin Zaharin Ahmad Zambri serta pasangan duetnya untuk lagu popular Kain Pelekat, Ellina Razak.

Share this article :

0 comments:

Speak up your mind

Tell us what you're thinking... !

 
Webmaster | Warta Utara Online
Proudly powered by Blogger
Copyright © 2014. Warta Utara Online - All Rights Reserved
PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER Warta Utara Online