Headlines News :
Home » » Harum manis dalam rumah hijau

Harum manis dalam rumah hijau

Written By Warta Utara on Monday, May 5, 2014 | 5:11 PM

KANGAR - Universiti Malaysia Perlis (Unimap) dijangka meraih hasil jutaan ringgit setahun melalui projek penanaman mempelam harum manis dalam rumah hijau yang dilaksanakan secara komersial.

Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Kamarudin Hussin berkata, kawasan seluas 12 hektar di Sungai Chuchoh dekat sini telah dikenal pasti sebagai tapak projek tersebut.

Katanya, pelaksanaan projek itu mendapat kerjasama Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) manakala sebuah syarikat Jepun memberi jaminan untuk menguruskan pemasaran mempelam harum manis di negara matahari terbit itu.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perasmian Makmal Field Programmable Gate Array (FPGA) sumbangan bersama NCIA dan syarikat Asia Pasifik Altera Corp Sdn Bhd (Altera) di Kuala Perlis baru-baru ini.

Kerja-kerja menanam pokok mempelam berkenaan dijangka dilancarkan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail tidak lama lagi.

Menurutnya, berdasarkan harga semasa yang mencecah RM28 sekilogram, projek tersebut dijangka memberi pulangan jutaan ringgit setahun dengan pasaran utama di Jepun dan beberapa buah negara lain.

Katanya, penyelidikan oleh pakar-pakar pertanian Unimap membolehkan pokok mempelam harum manis yang ditanam di dalam rumah hijau berbuah dalam masa dua setengah tahun sahaja dan mengeluarkan hasil sepanjang masa setiap tahun.

“Buah yang dihasil bermutu tinggi selain terkawal daripada serangan serangga perosak dan bebas racun,” kata Dr Kamarudin.

Mengenai makmal tersebut, beliau berkata ia adalah hasil kerjasama Unimap dengan Altera dan NCIA di bawah konsep bersepadu untuk menyediakan kemudahan tempat belajar kepada pelajar-pelajar Unimap mempelajari kursus profesional FPGA
selama satu penggal yang melayakkan mereka mendapat sijil di bawah pengendalian Pusat Pengajian Kejuruteraan Mikroelektronik Unimap.

Sebanyak 120 pelajar Unimap telah menamatkan kursus sulung di bawah program itu menerima sijil mereka sempena majlis itu semalam.

Turut hadir pada majlis itu Pengarah Urusan dan Naib Presiden Altera, Datuk Dr Mohd Sofi Osman dan Ketua Pegawai Eksekutif NCIA, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak. - Bernama
Share this article :

0 comments:

Speak up your mind

Tell us what you're thinking... !

 
Webmaster | Warta Utara Online
Proudly powered by Blogger
Copyright © 2014. Warta Utara Online - All Rights Reserved
PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER Warta Utara Online