Headlines News :
Home » , » Hutan bukan sekadar kehijauan

Hutan bukan sekadar kehijauan

Written By Warta Utara on Monday, May 5, 2014 | 4:38 PM

"Spesies yang terkandung dalam hutan terutamanya hutan primer adalah satu aset yang perlu
dipulihara. “Meskipun kita menggantikan pokok yang kita ambil dalam hutan berkenaan dan menanamnya semula, tidak mungkin kita dapat pokok yang sama.’’
Demikian pesanan ringkas Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr. James Dawos Mamit sempena Pelancaran Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) 2014 baru-baru ini.
Bagi mana-mana pencinta alam sekitar, mereka mementingkan kehijauan yang datang daripada pokok dan spesies hutan kerana itulah aset dan khazanah sumber semula jadi yang kita dimiliki.
Bagi James, masyarakat perlu menjaga khazanah itu, daripada laut sehingga ke gunung, tetapi hutan bukan sekadar kehijauan.
Majlis sambutan di peringkat FRIM merupakan susulan kepada sambutan Hari Hutan Antarabangsa 2014 yang diadakan di Port Dickson, Negeri Sembilan pada 21 Mac lalu dengan tema Hutan Untuk Kesejahteraan.
Oleh sebab itulah, sambutan hari hutan bukan hanya menghargai sumber semula jadi tetapi seperti hutan tetapi juga memastikan kelangsungan hidup manusia, dan sebagai jantung kepada dunia yang kita miliki.
Menurut James, Malaysia amat bertuah dianugerahi sumber hutan yang asli, kaya dengan flora dan fauna yang bukan sahaja menyumbang secara signifikan kepada pembangunan sosioekonomi, malah menjana sumber kekayaan.
“Tanpa penjagaan hutan yang baik, kawasan tadahan air akan terjejas cuaca menjadi semakin panas dan kualiti udara merosot," katanya.
Ketika dunia berdepan dengan pelbagai masalah alam sekitar seperti pelepasan karbon, jerebu, masalah air bersih, kebakaran hutan, hutan menjadi satu-satunya aset yang dapat membantu mengurangkan beban penduduk dunia berdepan situasi tersebut.
Dalam pada itu, beliau berkata, selain konsep pelancongan alam sekitar atau ekopelancongan yang diperkenalkan sebelum ini, bio pelancongan juga wajar diketengahkan. Konsep tersebut merujuk kepada kawasan hutan dikekalkan keasliannya dan hanya dibina dengan kemudahan minimum untuk dilawati.
Beliau menjelaskan, ekopelancongan adalah kunjungan ke kawasan hutan belum ada gangguan atau sebarang aktiviti manusia yang menjejaskan keasliannya manakala biopelancongan memerlukan pembinaan sedikit kemudahan untuk pengunjung seperti laluan pejalan kaki, wakaf dan calet.
Dalam perkembangan berkaitan beliau berkata, lima negeri yang mempunyai kawasan hutan yang popular di negara ini khususnya yang telah diwartakan sebagai taman negara dan menjadi tumpuan perlu memanfaafkan aset tersebut sebagai produk pelancongan.
Lima negeri terbabit ialah Johor, Selangor, Perak, Sabah dan Sarawak.
Negeri berkenaan sering menjadi tumpuan konsep pelancongan inap desa (homestay) kerana memiliki hutan yang menarik minat pelancong asing.
Sempena program tersebut, beliau merakamkan penghargaan kepada FRIM kerana kejayaannya menjalankan pelbagai penyelidikan yang meningkatkan nilai kayu.
“Dalam hutan kita ada ini pokok balak dan FRIM telah banyak menjalankan penyelidikan berkaitan teknologi kayu.
“Sebagai contoh, menggunakan teknologi tersebut, kayu getah boleh dijadikan kayu struktur dengan meningkatkan ketumpatannya manakala terdapat kayu yang boleh dilenturkan dengan tujuan tertentu khususnya sebagai bahan binaan.
Sesungguhnya kata beliau, hutan telah memberi sumbangan yang tidak ternilai kepada kehidupan manusia dalam aspek sosial atau ekonomi.
Hutan menjadi penstabil kepada alam sekitar, menyimpan kelembapan dan sumber oksigen. Kejadian jerebu dan pembakaran hutan baru-baru ini melibatkan 1,478 kawasan memberi khabar buruk kepada kita bahawa sebahagian asset tersebut telah terjejas.
Sementara itu, Ketua Pengarah, FRIM, Datuk Dr. Abd. Latif Mohmod berkata, hampir 52 peratus spesies flora di negara ini hampir pupus atau terancam.
Ujarnya, jika tiada tindakan yang diambil segera kemungkinan jumlah tersebut akan terus meningkat saban tahun.
“Kebanyakan flora yang terancam ini memiliki nilai farmaseutikal yang tinggi yang mana masih banyak belum kita terokai.
“Malah, pelbagai pesies fauna kita juga turut diancam kepupusan, sebagai contoh kumbang tanduk yang dahulu sering kita katakan sebagai serangga perosak bagi pokok kelapa sawit kini sedang terancam kerana serangga ini diseludup keluar dan dijual pada kadar harga yang tinggi, iaitu sekitar sehingga RM300 seekor untuk dijadikan koleksi, '' katanya ketika berucap pada majlis Penghargaan Media di FRIM, Kepong , Selangor baru-baru ini.
Jelasnya lagi, majoriti sumber makanan juga pada asalnya berasal daripada hutan justeru kawasan hijau tersebut perlu terus dipulihara dan dikekalkan.
“Tanggungjawab memelihara khazanah negara ini tidak hanya berada di bahu FRIM semata-mata, malah masyarakat di negara ini, agensi seperti FRIM pasti tidak akan berjaya melaksanakan tugasnya dengan baik tanpa sokongan orang ramai," katanya.
Beliau berkata, selain menjadi habitat kepada kepelbagaian biologi dan sinki karbon, hutan juga berfungsi sebagai kawasan tadahan air yang kebiasannya dirujuk kepada sepan penyerap air hujan
Air hujan yang diserap itu dituras dan dialirkan ke dalam sungai bagi memastikan bekalan air bersih yang kemudian dikeluarkan sebagai mata air atau dibebaskan dalam bentuk wap ke atomosfera.
Tegas beliau, pembukaan hutan yang tidak dirancang dan pengurusan yang tidak mampan menjejaskan sumber air, perubahan iklim dan cuaca panas dan mengakibatkan hakisan tanah dan banjir.
Dalam pada itu beliau berkata, pengenalan Symbiosis iaitu program Keusahawanan Siswazah menerusi kerjasama Malaysia Technology Development Corporatioan (MTDC) berjaya membangunkan 10 syarikat terbitan yang memanfatakan teknologi daripada FRIM.
FRIM juga berjaya membentuk kaedah inovatif dalam memulihara hutan terosot dan bakau bagi perlindungan pesisiran pantai daripada hakisan serta bencana alam
Usaha tersebut telah dijalankan di kawasan bekas lombong bijih timah di Bidor Perak, dan penghijauan sebahagian kawasan Paya Indah Wetlands.
Kampus FRIM di Kepong juga telah diiktiraf sebagai tapak warisan semula jadi negara dan warisan kebangsaan.
“Kawasan FRIM merupakan hutan buatan manusia yang menjadi pusar rujukan antarabangsa sebagai model penghutanan semula kawasan bekas lombong selain menyimpan 20 peratus spesies terancam dan hampir pupus di negara ini.

Share this article :

0 comments:

Speak up your mind

Tell us what you're thinking... !

 
Webmaster | Warta Utara Online
Proudly powered by Blogger
Copyright © 2014. Warta Utara Online - All Rights Reserved
PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER Warta Utara Online