Jika keadaan kemarau yang berpanjangan seperti yang dialami sebelum
ini melanda apakah tindakan
alternatif yang boleh kita lakukan?.
Akibat cuaca panas yang berpanjangan tersebut juga menyebabkan air di
empangan menyusut sehingga ke paras kritikal membawa kepada pendekatan
mencatu air terpaksa dilakukan.
Biarpun tindakan tersebut bukanlah penyelesaian yang terbaik kerana
catuan air akan merencatkan aktiviti seharian dan lebih parah
menyebabkan kerugian di pihak industri kerana terpaksa menutup operasi
ekoran ketiadaan air.
Lebih kritikal, penduduk yang tinggal di kawasan bandar berikutan
terpaksa bergantung sepenuhnya kepada bekalan air daripada paip rumah,
tiada alternatif seperti sungai, tasik dan telaga yang benar-benar
bersih untuk kegunaan seharian.
Bagi penduduk di kawasan luar bandar, harapan masih ada sekiranya
catuan air dilaksanakan kerana kawasan sekitar masih tidak tercemar dan
antara alternatif paling popular adalah telaga.
Namun, telaga membekalkan air mentah yang tidak terawat, justeru
pelbagai enapan dan kandungan mineral berbahaya terdapat di dalamnya.
Menurut pencipta muda, Muhd. Muiz Zulkifli, pengunaan air bawah tanah atau air telaga amat membantu tatkala krisis air melanda.
“Ramai dalam kalangan kita amat arif dalam membina telaga untuk
mendapatkan air untuk kegunaan seharian seperti mencuci, mandi malah
untuk diminum.
“Tetapi air telaga kebiasaannya mengandungi bahan-bahan merbahaya
untuk kesihatan seperti kandungan ferum (besi) yang mana boleh
menyebabkan kita sakit perut apabila air tersebut diminum," katanya
ketika ditemui di kediamannya di Sungai Choh, Rawang, Selangor baru-baru
ini.
Muhd. Muiz yang juga anak kepada pereka cipta terkenal, Zulkifli
Haron menyatakan satu sistem penapisan khas telah dibina olehnya untuk
mengatasi masalah tersebut.
Sistem yang dikenali sebagai penapis ferum air perigi tersebut amat
ringkas namun praktikal untuk dibangunkan sebagai sumber air alternatif
apabila berlakunya krisis kekurangan air.
Jelas Muhd. Muiz, sistem tersebut hanya terdiri tentunya sumber air
iaitu perigi yang digali sedalam 20 kaki, pam air perigi, pam air untuk
kegunaan akuarium, sebuah mesin udara, tiga buah tong, paip air (PVC)
pasir dan cecincin bio (bio ring) untuk kegunaan menapis air.
“Jika kita perhatikan air perigi yang tidak ditapis akan meninggalkan
kesan karat pada lantai rumah mahupun pakaian yang dibasuh.
“Itu merupakan petanda terdapatnya kandungan ferum yang tinggi dalam air," katanya.
Untuk mengatasi masalah tersebut, Muhd. Faiz mengaplikasikan
pengunaan gelombang udara (oksigenated) untuk mengasingkan kandungan
ferum daripada air perigi.
Langkah tersebut adalah amat mudah, bermula daripada air perigi yang
disedut akan disalurkan ke dalam tong pertama yang akan diletakkan tiub
udara untuk tujuan pengudaraan dan penghasilan buih seperti meletakkan
tiub oksigen untuk akuarium ikan.
Kemudian sebuah pam akuarium yang lebih kecil digunakan untuk
menyedut air pada bahagian bawah tong yang telah diasingkan daripada
ferum yang terperangkap semasa dalam buih menerusi proses oksigenated
selama hampir sejam ke dalam sebuah tong khas (tong kedua) yang diisi
bersama pasir dan gegelang-bio.
Air yang telah ditapis tersebut akan disalurkan ke dalam tong ketiga dan sedia untuk digunakan untuk kegunaan seharian.
Menurut Muhd. Muiz, sebanyak 50 peratus kandungan ferum dapat
dikurangkan menerusi sistem tersebut dan untuk memastikan air
benar-benar bersih, sistem penapisan moden yang terdapat di pasaran
boleh digunakan.
Antaranya seperti penapis karbon, seramik dan pelbagai lagi bagi
menghapuskan bau dan bakteria yang terdapat di dalam air telaga
tersebut.
Ketika ditanya bagaimanakah tercetusnya idea untuk menghasilkan
sistem tersebut, Muhd. Muiz memperolehinya ketika melayari internet dan
membaca buku berkenaan kandungan air bawah tanah.
“Di rumah ada telaga dan airnya digunakan untuk kegunaan seharian,
namun tidak sesuai untuk diminum, jadi saya terfikir bagaimana untuk
membersihkan air tersebut dan mula mencari di internet dan buku.
“Dalam proses pembinaan penapis ferum ini saya turut dibantu bapa dan kini sistem tersebut terbukti boleh digunakan," katanya.
Ujarnya lagi, sistem tersebut sangat sesuai untuk digunakan di rumah yang memiliki telaga sebagai sumber air alternatif.
“Sistem ini mudah untuk dibangunkan selain kosnya juga amat murah.
“Rekaan saya ini (yang dihasilkan) hanya diperbuat daripada tong dan
bahan-bahan terpakai seperti pam akuarium dan mungkin sedikit mahal
adalah seperti mesin pengudaraan dan pam air perigi," katanya.
Dia menganggarkan kos pembinaan bagi sistem yang lebih sempurna cuma
sekitar RM800 hingga RM1,500 sahaja dan sistem tersebut mampu dimiliki
bagi mereka yang duduk di luar bandar.
Sehingga kini sistem tersebut masih belum dikomersialkan dan dia
tidak menolak jika terdapat mereka yang berminat berbuat demikian.
“Apa yang penting harganya bukan berdasarkan nilai bahan yang
digunakan tetapi idea yang tercetus untuk menghasilkannya (sistem),"
ujarnya sebagai penutup bicara.
Tapis air perigi
Written By Warta Utara on Monday, May 5, 2014 | 4:45 PM
Labels:
Sains & Teknologi,
Teknologi
0 comments:
Speak up your mind
Tell us what you're thinking... !