Headlines News :
Home » » Kenapa mutu pendidikan negara kini lebih membimbangkan?

Kenapa mutu pendidikan negara kini lebih membimbangkan?

Written By Warta Utara on Monday, May 5, 2014 | 3:22 PM

OLEH Nomy Nozwir 

Saya terbaca laporan berita yang ditulis di The Malaysian Insider pada 25 Mac, bertajuk "Mutu pendidikan Malaysia lebih membimbangkan, kata pakar ekonomi Bank Dunia", dan terdetik untuk
menulis mengenai perkara ini.
Menurut pakar ekonomi Bank Dunia, Dr Frederico Gil Sander mutu pendidikan Malaysia yang jatuh merudum lebih membimbangkan berbanding kedudukan kewangan negara.



"Malaysia patutnya bimbang dengan tahap prestasi murid dalam sekolah berbanding prestasi murid di Vietnam kerana mereka lebih miskin daripada Malaysia tapi tahap pendidikan lebih baik berbanding Malaysia," kata Frederico dalam forum yang dianjurkan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu). Malaysia hanya berjaya berada di kedudukan ke-52 daripada 65 negara dalam ranking keputusan Pisa (Programme For International Assessment) .
Daripada 65 negara yang dianalisis, kita hanya lebih baik daripada 13 negara lain.
Daripada kalangan negara Asean, kita cuma lebih baik daripada Indonesia yang penduduknya 246 juta orang.
Negara Asean lain seperti Singapura, Vietnam dan Thailand mendahului kita daripada segi pelajaran matematik, sains dan membaca.
Semasa Singapura keluar dari Malaysia, pemimpin negara republik tersebut sudah memikirkan apa yang perlu dilakukan untuk mengekalkan survival negara tersebut, dan salah satu daripadanya ialah pendidikan mereka yang bermutu tinggi.
Universiti mereka seperti National University of Singapore (NUS) dan Nanyang Technological University seringkali antara yang teratas dalam ranking universiti terbaik Asia, dan mereka juga di antara yang terbaik di dunia.
Tetapi jika mahu membandingkan Malaysia dengan Singapura daripada segi pendidikan adalah sama seperti mahu membandingkan kekuatan pasukan bola sepak Barcelona menentang JDT.
Mari kita lihat negara-negara Asean lain yang mengatasi Malaysia seperti Thailand dan Vietnam, mengapa mereka lebih baik prestasinya berbanding Malaysia.
KDNK Vietnam yang berjumlah US$ 141.7 bilion dengan penduduk 88 juta orang, tidaklah segah dengan KDNK Malaysia yang berjumlah US$303.5 bilion dengan penduduk 30 juta orang.
Thailand pula mengatasi Malaysia dari segipada pendapatan KDNK berjumlah US$365 bilion, tetapi populasi berjumlah 66 juta orang menyebabkan purata KDNK mereka lebih rendah daripada Malaysia.
Jadi, mengapa kemampuan ekonomi kita yang lebih kuat berbanding negara-negara tersebut, tetapi kita masih terkebelakang dalam ketiga-tiga bidang asas pendidikan ini?
Vietnam di tangga 17, manakala Thailand pula di tangga yang ke-50. Apa yang menyebabkan kita berada di tangga ke-52?
Salah satu sebab mengapa kita terkebelakang dengan mereka ialah kerana mentaliti "tak mengapa" di kalangan rakyat Malaysia. Bukan sahaja dalam ranking bola sepak dunia, tetapi dalam pendidikan juga kita terbelakang.
"Tak apalah, ranking bukan penting pun," kata kebanyakan orang kita.
Cuba kita lihat skema pendidikan negara kita. Kita belajar algebra pada Tingkatan Dua. Di Jepun mereka belajar pada usia 9 tahun.
Semasa saya berada di sekolah rendah, perbezaan sukatan pelajaran antara satu tahun dengan tahun yang lain ialah penambahan nombor, contohnya kalau darjah satu belajar 1 hingga 10, darjah dua 10 hingga 100, darjah tiga 100 hingga 1000 dan seterusnya.
Saya hanya menemui matematik yang kompleks sedikit menjelang saya masuk Tingkatan Satu, walhal pelajaran itu sudah dipelajari oleh rakan-rakan seusia saya di Jepun atau Singapura pada usia mereka 8 atau 9 tahun.
Dan bagaimana pula dengan sains? Dalam doktrin pelajaran negara kita, kita sering mengasingkan orang yang mempelajari mata pelajaran sains dengan sastera, misalnya. Dan akibat doktrin ini, hanya segelintir sahaja yang berpeluang mempelajari mata pelajaran sains dengan sukatan yang mantap.
70% yang lain, seperti saya - belajar pelajaran sukatan aliran sastera dan kami belajar sains tidak intensif seperti aliran sains yang lain?
Kenapa perlu diasingkan kedua-dua aliran ini - sedangkan kedua-dua aliran ini penting untuk membentuk seorang manusia yang mengetahui persekitaran alam dan mengenali diri mereka sendiri?
Para saintis dan ilmuwan - dari zaman kegemilangan tamadun Arab, dan sebelumnya - seperti Greek, Mesir dan sebagainya, mereka pakar dalam kedua-dua aliran.
Ibnu Sina menulis karya akademik dalam bidang perubatan seperti al-Qanun fi al-Tibb (The Canon of Medicine), tetapi dalam masa sama seorang penyair yang unggul. Seorang polymath yang dihormati bukan sahaja dari kalangan umat Islam, bahkan Barat dan seluruh ketamadunan manusia.
Leonardo da Vinci, seorang Renaissance man, seorang saintis, seorang pereka cipta dan seorang pelukis yang hebat.
Jadi, kenapa kita perlu asingkan kedua-dua aliran ini?
Selain pengasingan kedua-dua aliran ini, kita juga perlu membandingkan satu generasi dengan satu generasi yang lain di dalam negara ini.
Saya lahir pada 1980-an dan semasa usia saya kanak-kanak, sekurang-kurangnya ibu bapa saya akan menyediakan beberapa jenis buku - tidak kira sejarah, sains, seni atau apa jua aliran sebagai bacaan saya semasa di rumah.
Saya juga dibesarkan dalam generasi di mana rancangan TV berbentuk kuiz seperti Who Wants To Be A Millionaire atau rancangan paling 'koman' pun Perdana Ria - yang sering mengajukan soalan berbentuk pengetahuan am.
Saya dan adik beradik saya sering kali berebut untuk menjawab soalan dengan jawapan yang tepat, dan untuk mendapat semangat ini, saya dan adik beradik saya perlu membaca buku.
Tetapi pada zaman ini, rancangan TV sering disuapkan dengan rancangan TV realiti yang menyebabkan lebih ramai kanak-kanak lebih berminat menjadi selebriti dan bukannya mahu menambahkan ilmu pengetahuan.
Semasa saya melawat seorang kawan di Kuala Lumpur, yang mempunyai anak berusia 6 tahun, saya perhatikan di rumah mereka tidak ada satu pun buku-buku yang boleh dibaca oleh anak mereka.
Yang saya nampak cuma majalah hiburan yang bercerita gosip artis, dan kalau ada pun pembacaan yang "ilmiah", ianya bersifat pseudo-ilmiah seperti Siri Bercakap Dengan Jin atau "Yahudi Dan Syiah Musuh Islam".
Tidak ada satu buku pun yang bersifat ilmiah dan kajian saintifik, atau ilmu-ilmu seperti seni, bahasa atau bacaan yang dapat menambah ilmu pengetahuan anak mereka.
Saya memikirkan apa yang akan terjadi kepada anak-anak seperti ini apabila mereka membesar dan mula bersekolah, adakah mereka ini berminat dengan pelajaran, dan adakah mereka berminat mencari ilmu?
Seringkali kita mendengar anak-anak zaman sekarang ini, ramai yang mendapat 'straight As' dalam pelajaran. Pada zaman saya dan sebelumnya ia adalah sangat 'rare'.
Tapi, apalah gunanya tiap-tiap tahun pelajar ramai dapat 'straight As' tapi hakikatnya mutu pendidikan di negara kita semakin merosot?
Saya belum bercakap lagi tentang evolusi dan Big Bang lagi
Share this article :

0 comments:

Speak up your mind

Tell us what you're thinking... !

 
Webmaster | Warta Utara Online
Proudly powered by Blogger
Copyright © 2014. Warta Utara Online - All Rights Reserved
PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER Warta Utara Online