Headlines News :
Home » » Luka Memali berdarah kembali

Luka Memali berdarah kembali

Written By Warta Utara on Monday, May 5, 2014 | 3:20 PM

Oleh Amin Iskandar 

Di antara dosa terbesar dilakukan oleh kerajaan Malaysia terhadap orang Melayu-Islam di negara ini
adalah pembunuhan beramai-ramai terhadap Ibrahim Mahmud atau dikenali sebagai Ibrahim Libya dan 13 pengikutnya di Kampung Memali, Baling, Kedah pada 19 November, 1985.

Selepas 29 tahun berlalu, kes ini panas kembali apabila bekas Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Tun Musa Hitam pada awal minggu ini mendedahkan sebuah fakta penting yang beliau sembunyikan selama ini.


Menurut Musa, Tun Dr Mahathir Mohamad berada di Malaysia semasa pembunuhan beramai-ramai itu dilakukan dan dua tiga hari selepas kejadian sedangkan selama ini majoriti rakyat Malaysia difahamkan bekas perdana menteri itu berada di China.
"Titik hitam dalam politik saya adalah Memali, saya cakap terus terang," kata Musa pada majlis Diskusi Politik Malaysia: Dulu dan Sekarang anjuran kerajaan negeri Kelantan di Kota Baru minggu ini dan menambah itulah juga yang dinyatakan beliau kepada kawan-kawanya dalam politik dan di mana-mana jika ditanya mengenai tragedi berdarah Memali.
Ramai yang bertanya mengapa selepas 29 tahun baru perkara ini didedahkan Musa?
Saya tidak akan bertanya soalan seperti ini kerana apa yang dilakukan Musa sama seperti dilakukan Michael Corleone dalam filem The Godfather III apabila beliau membuat pengakuan kepada Cardinal Lamberto mengenai dosanya besarnya mengarahkan pembunuhan abangnya Fredo.
Manusia tidak akan mampu memendamkan sesuatu dengan terlalu lama apa lagi kesalahan besar seperti pembunuhan beramai-ramai di Kampung Memali.
Ketika ditanya pemberita di Kuala Lumpur semalam mengenai pendedahan Musa, Dr Mahathir berkata: "Saya sedang kaji kebenaran tentang apa yang disebut oleh Tun Musa.
"Pasal ini berlaku sudah begitu lama saya kena semak baliklah apa yang dia kata betul ataupun tidak," kata Dr Mahathir selepas menghadiri majlis dianjur Alumni Universiti Utara Malaysia di Hotel Istana malam tadi.
Walaupun sudah lama peristiwa ini berlalu, ianya tidak akan selesai sehingga pelaku yang bertanggungjawab terhadap pembunuhan beramai-ramai ini dihadapkan ke muka pengadilan.
Fakta baru yang didedahkan Musa boleh menjadi asas untuk kes ini dibuka semula.
Saya masih teringat beberapa tahun lalu apabila berkesempatan ke kampung Memali dan menemuramah keluarga dan sahabat Ibrahim untuk projek filem pendek arahan seorang teman mengenai tragedi berdarah itu.
Saya melihat bagaimana kesedihan masih lagi menghantui penduduk kampung tersebut terutama yang menyaksikan sendiri bagaimana serangan dilakukan terhadap kampung mereka.
Sebak di hati melihat linangan air mata Solehah, isteri kepada Ibrahim apabila menceritakan detik-detik kematian suaminya.
Ibrahim memberikan satu pengajaran besar kepada rakyat Malaysia. Beliau tidak hanya bercakap seperti ramai ahli politik Malaysia.
Beliau tidak tunduk kepada undang-undang zalim Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang menghalalkan penahanan tanpa bicara.
Ibrahim dan 13 pengikutnya bukan sahaja tidak menyerah kalah malahan membayar dengan nyawa dalam melawan kekejaman ISA.
Selepas 29 tahun, nama Ibrahim dan pengikut-pengikutnya masih lagi disebut-sebut seperti tidak pernah mati. Luka Memali berdarah kembali.
Share this article :

0 comments:

Speak up your mind

Tell us what you're thinking... !

 
Webmaster | Warta Utara Online
Proudly powered by Blogger
Copyright © 2014. Warta Utara Online - All Rights Reserved
PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER Warta Utara Online