Setahun selepas 5 Mei 2013, kita melihat bagaimana negara menjadi terkenal di seluruh dunia kerana
Sebagai rakyat yang hidup di Lembah Klang, kita menyaksikan bagaimana Malaysia sebuah negara khatulistiwa yang terpaksa mengalami catuan air.
Di Selangor pula, kita menyaksikan bagaimana PKR bergolak di Langkah Kajang dan akhirnya gagal dalam usaha menggantikan Menteri Besar Selangor Khalid Ibrahim dengan Anwar Ibrahim.
Daripada hampir menjadi MB Selangor, nasib Anwar berubah secara drastik dan kini mungkin terpaksa ke penjara Kajang selepas dijatuhkan hukuman penjara kerana dakwaan liwat Saiful Bukhari.
Sehingga hari ini, tiga pilihanraya kecil – Kuala Besut, Sg Limau dan Kajang diadakan.
Dua lagi akan diadakan selepas ini, iaitu Bukit Gelugor dan Telok Intan, kedua-duanya kerusi milik DAP.
Dua tokoh politik besar pula meninggalkan kita – Ustaz Azizan Razak, bekas Menteri Besar Kedah dan saudara Karpal Singh, bekas pengerusi DAP yang meninggal dalam satu kemalangan.
Begitulah sudahnya tahun pertama selepas 505. Semua ini menunjukkan senario politik di Malaysia cukup dinamik.
Apakah 52% masih menyokong Pakatan Rakyat? Apakah BN masih kerajaan minoriti? Keputusan PRU13 tidak lagi boleh dijadikan ukuran populariti hari ini.
Hari ini kita melangkah masuk ke tahun kedua.
Di sebelah BN, masalah yang menghantui popularitinya sudah tentu ialah GST. Manakala di sebelah PR pula ialah isu hudud yang bergema semula.
Pada 1 Mei lepas, sebanyak 50 ribu orang menghadiri perhimpunan bantah GST.
kejadian MH370.
Yang menakutkan Umno ialah siapa yang hadir. Apakah momentum menentang GST ini akan membara seperti perhimpunan Bersih dulu?
Umno sudah tentu sedar golongan berpendapatan sederhana dan rendah adalah golongan yang paling terkesan dengan pelaksanaan GST yang bermula pada 1 April 2015 nanti.
Dan kebetulan majoriti golongan ini adalah kumpulan pengundi yang memenangkan mereka di PRU13.
Sempena kelahiran GST tahun depan, penulis percaya pemberian BR1M juga akan mencapai rekod tertinggi.
Ini adalah bagi mengalihkan kesakitan GST kepada golongan berpendapatan sederhana dan rendah untuk sementara waktu di samping mengharapkan pemberian BR1M ini dapat mengurangkan jumlah hadirin di himpunan anti-GST pada 1 Mei 2015 (bakal diadakan sekiranya pembangkang bijak.)
Sebelum PRU14, perkara yang paling dibimbangi Umno ialah kesan pada kadar inflasi akibat GST.
Antara semua isu, Umno tahu rakyat paling mementingkan keadaan ekonomi mereka, dan sudah terbukti di banyak negara, isu ekonomi paling mudah digunakan untuk menumbangkan sesebuah kerajaan.
Sekiranya rakyat mendapati harga barangan naik melambung secara mendadak sehingga mengganggu kehidupan mereka selepas GST, nyawa Umno akan berada di hujung tanduk apabila datangnya PRU14.
Oleh itu, adalah penting lawan Umno dapat dihapuskan terlebih dahulu sebelum itu.
Oleh itu, Umno kini bernafas agak lega apabila isu hudud bergema kembali di persada politik tanah air tatkala mereka bergelut dengan isu GST.
Penasihat DAP, Lim Kit Siang dalam satu kenyataan semalam menyatakan kebimbangannya bahawa PR akan berpecah kerana isu hudud.
Betul kata Kit Siang, Umno akan terus berkuasa meskipun ia melaksanakan sistem GST, sekiranya PR berpecah. Andaian ini sudah tentu menggembirakan Umno.
Masalahnya – wajarkah PR berpecah kerana hudud? DAP sudahpun tahu apa yang berlaku pada 2004 selepas mereka berpecah daripada Barisan Alternatif.
Umno di bawah Pak Lah memenangi 91% kerusi di Parlimen. Pernahkah DAP terfikir apakah kesudahannya jika Barisan Alternatif tidak berpecah?
Kontroversi hudud ialah masalah prinsip. Prinsip PAS ialah melaksanakan Islam. Prinsip DAP ialah mempertahankan Perlembagaan yang sekular.
PAS berpegang kepada Al-Quran yang tidak boleh diubah.
DAP berpegang pada Perlembagaan yang dikatakan menjaga semua hak rakyat Malaysia meskipun di dalamnya pernah terkandung Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Hasutan, sebatan kejam dan hukuman gantung sampai mati yang dikenali kezalimannya.
Hudud mendapat persepsi negatif bukan kerana hudud tidak baik mahupun sempurna.
Seperti kata Naib Presiden PAS, Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man, manusia paling takut pada benda yang mereka tidak tahu, dan hudud tersenarai dalam kategori benda yang rakyat Malaysia tidak tahu.
Hakikatnya, para pendokong hudud menghadapi masalah persepsi negatif pada hudud kerana tiada negara Islam di dunia yang boleh memberikan contoh yang baik pada masyarakat dunia mengenai keberkesanan hudud dan keadilan Islam yang baik.
Ini menyebabkan mereka terpaksa menggunakan contoh pelaksanaan hudud di zaman Nabi untuk berhujah.
Nabi Muhammad berjaya kerana keadilan yang ditunjukkan Baginda. Kerana adil, hudud tidak menjadi masalah di zaman Rasullulah.
Sudah tentu hujah ini susah diterima oleh golongan yang masih tidak beriman pada Islam yang tidak mengenali siapa Rasullulah.
Ada yang takut ramai orang Melayu akan kudung tangan selepas hudud dilaksanakan.
Penulis tertanya-tanya, apakah mereka yang memberikan hujah ini berkata hudud ini bukan undang-undang yang baik atau hendak menuduh orang Melayu suka mencuri?
Di negara Saudi yang melaksanakan hudud, apakah mereka jumpa ramai orang Arab yang tangannya kudung kerana dipotong ketika berumrah ke sana?
Barangkali kita akan terjumpa lebih ramai orang yang kakinya terpaksa dipotong kerana diabetes berbanding mereka yang tangannya dipotong kerana hudud.
Ada yang melihat hudud ini kejam. Sebenarnya undang-undang manusia sama kejamnya. Di Malaysia, ada hukuman gantung sampai mati, di China, ada hukuman tembak sampai mati.
Sebatan yang dikenakan undang-undang manusia meskipun kurang daripada jumlah sebatan hudud, jauh beza kesakitan yang terpaksa ditanggung oleh penerima hukuman tersebut.
Satu menyebat untuk menghukum, satu lagi bersifat memalukan dan mendidik.
Ada yang terdengar hudud sahaja teringat upacara tangan dipotong, bagaikan mereka ini pencuri.
Cuba tanya mangsa ragut yang hampir kehilangan nyawa, apakah wajar tangan peragut dipotong?
Sudah tentu jawapan mereka berbeza daripada peguam yang berpendapat peragut juga ada hak untuk membela dirinya.
Cuba tanyakan ahli keluarga mangsa bunuh yang terpaksa berdepan dengan peguam handal yang membela pembunuh anak mereka?
Apakah pula pandangan mereka mengenai hudud berbanding dengan mereka yang bergelar pakar Perlembagaaan?
Bagi penulis, sungguh tidak berbaloi jika PR berpecah kerana masalah hudud, kerana kontroversi hudud lebih kepada masalah persepsi daripada Perlembagaan, seperti juga masalah politik yang lain-lain.
PAS dan DAP bersetuju untuk bekerjasama untuk perkara-perkara yang mereka persetujui bersama dan bergerak atas inisiatif sendiri bagi perkara-perkara yang masih tidak dipersetujui.
Apakah kerana hudud, DAP sudah tidak bersetuju dengan PAS untuk segala perkara yang mereka persetujui bersama di PR? Sudah tentu tidak.
Kerajaan negeri Pulau Pinang pada hakikatnya ialah kerajaan DAP, bukan PR. Begitu juga kerajaan negeri Kelantan, yang pada hakikatnya ialah kerajaan PAS, bukan PR.
Hanya kerajaan negeri Selangor yang betul-betul adalah sebuah kerajaan PR.
Jika DAP dan PKR boleh mengakui Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan 1993 ada sebelum wujudnya PR, mengapa tidak mahu menerima hakikat bahawa kerajaan PAS negeri Kelantan yang menawarkan hudud sudah wujud sebelum wujudnya PR lagi?
Dan hakikat bahawa sokongan rakyat Kelantan terhadap PAS tidak pernah terjejas kerana hudud, sehinggakan tsunami Umno 2004 juga gagal menumbangkan kerajaan PAS Kelantan.
Kemungkinan itulah keistimewaan yang dimiliki kerajaan PAS Kelantan yang wajar dihormati bagi para penentang hudud.
Barangkali keistimewaan inilah yang DAP boleh berikan kepada rakan strategiknya di Kelantan pada cubaan melaksanakan hudud tanpa memberikan tekanan bahawa usaha mereka menunaikan janji mereka ini akan meretakkan PR.
Hudud ataupun tidak, DAP dan PAS perlu komited untuk memastikan PR terus wujud atas dasar bersama.
Yang dasar berbeza, biarlah parti yang memperjuangkannya bergerak secara parti individu.
Itulah keistimewaan PR, bukan satu keburukan, yang wajar dipertahankan supaya ia kekal berbeza sebagai pilihan alternatif kepada Umno-BN.
Buat apa berpecah kalau tahu ia akan menguntungkan Umno? Buat apa bergaduh kalau sudah setuju untuk tidak bersetuju dalam isu hudud?
Apa lagi yang perlu didesakkan selepas setuju untuk tidak bersetuju?
Akhirnya, hudud tidak sepatutnya menjadi alasan bagi PAS dan DAP untuk melepaskan peluang untuk menumbangkan Umno di PRU14 menggunakan isu GST yang diperkenalkannya
0 comments:
Speak up your mind
Tell us what you're thinking... !