KANGAR - Timbalan Pengerusi Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam)
Perlis, Sabri Ahmad berharap Kerajaan Pusat akan menggubal undang-undang
untuk mengharamkan penanaman daun ketum bagi mengelak rakyat terus
menderita akibat ketagihan.
Sabri berkata, di negeri itu daun ketum juga dijual kepada penduduk di
negara jiran yang sanggup masuk ke negeri ini untuk menyeludup daun
ketum.
Katanya, segelintir penduduk yang menanam daun ketum di negeri ini
menjadi kaya raya sehingga dapat membina sebuah rumah besar hasil jualan
daun ketum.
“Pihak kami memandang serius kegiatan menanam daun ketum yang ditanam
secara berleluasa terutama di kawasan kampung sehingga menyumbang kepada
peningkatan jumlah penagih air ketum.
“Ketagihan air ketum menyebabkan ramai anak muda termasuk orang dewasa
mahupun orang tua sanggup berhabis duit untuk mendapatkan air ketum
tersebut.
“Selain itu, ketagihan air ketum juga boleh menyebabkan runtuhnya
institusi keluarga, malah menyebabkan gangguan kesihatan,” katanya
semasa merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pemadam Daerah Kangar ke 19 di
sini, kelmarin.
Sabri yang juga Exco Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan
kepenggunaan, Pengangkutan, Pembangunan Wilayah, Koridor, Kawasan
Pertumbuhan Baru, Bandar Baru berkata, pihaknya akan menyokong segala
usaha kerajaan bagi membasmi ketagihan daun ketum.
Kelmarin, semasa sidang Dun di sini, Menteri Besar Azlan Man (BN-Pauh)
dalam jawapan bagi menjawab soalan tambahan Khaw Hock Kong (BN-Titi
Tinggi) berkata kerajaan Perlis telah mengusulkan kepada kerajaan
persekutuan agar kesalahan bersabit daun ketum dimasukkan di bawah akta
dadah berbahaya sebagai usaha membendung penyalahgunaan tumbuhan itu.
0 comments:
Speak up your mind
Tell us what you're thinking... !