Headlines News :
Home » » Pengurusan kewangan negara masih teruk

Pengurusan kewangan negara masih teruk

Written By Warta Utara on Monday, May 5, 2014 | 4:19 PM

Oleh AZIZ MUDA 

PENGURUSAN kewangan negara ternyata masih teruk. Laporan Ketua Audit Negara 2013
membuktikan beberapa kementerian masih bermasalah dalam menguruskan kewangan negara, khususnya membabitkan pelaksanaan projek-projek di bawahnya, sehingga menyebabkan negara terus mengalami kerugian.

Setelah ditegur setiap tahun menerusi laporan yang dibuat, kerajaan BN selaku pihak yang bertanggungjawab memantau perkembangan itu seperti tidak pernah mengambil pengajaran dengan kejadian yang berlaku.

Hasilnya, harapan rakyat untuk melihat keadaan yang lebih baik berhubung pengurusan kewangan daripada agensi-agensi kerajaan dan syarikat-syarikat yang dimiliki kerajaan (GLC) tetap tidak tercapai.

Berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara bagi tahun 2013 yang dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat 7 April lalu didapati masalah ketirisan, penyelewengan, tidak amanah, sambil lewa, cuai dan mengutamakan kroni masih menjadi budaya di dalam kerajaan pimpinan Umno-BN.
Menerusi laporan itu, masih lagi terdapat catatan menyedihkan seperti projek gagal disiapkan mengikut jadual, nilai kontrak lebih tinggi daripada sepatutnya, pemberian kontrak kepada syarikat muflis, peralatan berhabuk dalam stor, bekalan tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan, syarikat yang dilantik lewat menyerahkan kutipan rumah PPR sehingga kerajaan menanggung kerugian, syarikat gagal menyiapkan projek dan sebagainya.
Dilaporkan lima kementerian iaitu Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Pendidikan, Kementerian Kesihatan, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri akan dipanggil dan 121 kes pula berkemungkinan akan berdepan dengan tindakan.
Projek kajian universiti banyak tersasar
Berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara 2013, projek bagi kajian di universiti dengan dana RM353.20 juta yang dibiaya di bawah Skim Geran Penyelidikan Fundamental (FRGS) dari tahun 2010 hingga 2011 dan masih diteruskan hingga sekarang, masih belum disiapkan dan tidak mencapai sasaran.
Pengurusan kewangan negara masih teruk Najib Razak Audit yang dijalankan ke atas Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) itu mendapati hanya 61 peratus daripada projek yang bermula pada 2010 disiapkan, manakala hanya sebanyak 19 peratus daripada projek yang bermula pada 2011 disiapkan.
Projek berkenaan sepatutnya siap dalam tempoh dua hingga tiga tahun daripada perolehan geran, walaupun ada di antaranya diberikan lanjutan selama satu tahun.
Masalah itu berpunca dari kelemahan pemantauan Jabatan Perancangan Kecemerlangan IPT di Kementerian Pendidikan Malaysia. Bahagian itu menerima laporan prestasi projek dua kali setahun daripada IPTA (bulan Februari dan Ogos), tetapi tidak mengambil tindakan susulan walaupun projek tidak tamat dalam tempoh sepatutnya.
Selain itu, kementerian kurang tegas dalam memantau pencapaian projek dan kewangan. Malah, semakan audit mendapati kementerian masih memberikan geran kepada IPTA walaupun projek terdahulu gagal dilaporkan.
KSAS UPSI siap dalam keadaan kurang memuaskan
Sementara itu, pembinaan Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bernilai RM459.58 juta, siap dalam keadaan secara keseluruhannya kurang memuaskan.
Sehingga 31 Disember 2013, bangunan itu didapati masih belum dianugerahkan sijil layak menduduki walaupun certificate of practical completion dikeluarkan pada 31 Januari 2012 dan bangunan mula digunakan bermula Februari 2012.
Pihak audit mengesyorkan UPSI dan Jabatan Kerja Raya sebagai pengarah projek memastikan kontraktor membaiki semua kecacatan yang berlaku sebelum tempoh tanggungan kecacatan tamat, di samping melaporkan kontraktor dan perunding kepada badan profesional berkaitan agar mereka dikenakan tindakan tatatertib.
Kampus yang terletak di Bandar Proton, Tanjung Malim itu menerima peruntukan dari Unit Perancang Ekonomi (UPE) dan dianugerahkan secara runding terus oleh Kementerian Kewangan kepada Kumpulan SAKATA Sdn Bhd.
Audit yang dibuat di antara bulan Oktober hingga November 2013 mengesan lapan kelemahan pada kampus itu. Antaranya termasuklah sehingga ke peringkat dinding luar bilik lembap, menggelembung, berkulat dan besi pada bucu dinding berkarat disebabkan air yang meresap ke dalam bangunan secara berterusan.
MTDC rugi sejak tiga tahun lalu
Manakala sebuah syarikat milik penuh Syarikat Khazanah Nasional Berhad, Malaysian Technology Development Corporation Sdn Bhd (MTDC) mengalami kerugian bersih sebanyak RM57.3 juta sejak tahun 2010 hingga 2012.
Ini bermakna, MTDC mencatat kerugian bersih bagi ketiga-tiga tahun tersebut yang masingmasing berjumlah RM8.23 juta, RM17.34 juta dan RM31.73. Jumlah kerugian keseluhannya RM57.3 juta, disebabkan peruntukan rosot nilai pelaburan berjumlah RM7.67 juta, RM24.78 juta dan RM34.22 juta.
Beberapa kelemahan telah dikenalpasti termasuk sebahagian Key Performance Indicator (KPI) tidak tercapai, prestasi kelulusan dan pembayaran geran tidak mencapai sasaran yang ditetapkan, aktiviti promosi yang kurang berkesan dan tertumpu kepada kawasan bandar disebabkan tiada perancangan yang terperinci.
Selain itu, kelemahan dari segi penerimaan wang geran tidak direkodkan dalam penyata kewangan tahunan menyebabkan kedudukan kewangan tidak menggambarkan keadaan sebenar syarikat dan pengurusan faedah simpanan tetap tanpa perancangan dan pemantauan yang berkesan.
Projek Empangan Paya Peda tak memuaskan
Laporan Ketua Audit Negara 2013 mendedahkan, Empangan Paya Peda di Besut, Terengganu yang dibina dengan kos RM348 juta tidak memuaskan kerana hanya baru 65.21 peratus disiapkan.
Empangan tersebut dicadangkan pada 1995 dan hanya dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan untuk membekal 1,120 juta liter air sehari bagi kegunaan isi rumah, pertanian dan pembangunan di daerah itu.
Projek untuk Skim Pengairan Besut di Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu Terengganu Utara itu juga dirancang sebagai struktur kawalan risiko banjir di hilir Sungai Besut.
Berdasarkan laporan audit, projek yang bermula 1 Jun 2010 hingga 30 November 2013 lewat disiapkan disebabkan kontraktor gagal menepati terma kontrak yang ditetapkan, tidak mematuhi sepenuhnya syarat dalam kontrak pembinaan, dengan mengurangkan bilangan jentera dan pelantikan subkontraktor tanpa kebenaran.
Kementerian Pertanian dan Sumber Asas Tani turut ditegur kerana memberikan projek itu kepada kontraktor yang mungkin tidak berpengalaman untuk menjalankan projek besar itu, di samping tidak mengikuti syor yang ditetapkan dalam laporan Penilaian Impak Alam Sekitar.
Laporan Audit turut menegur kementerian kerana membuat bayaran berlebihan sebanyak lebih RM500,000 kepada satu syarikat juruukur tanah.
Prestasi PMSB dan Selangor memuaskan
Di tengah kutukan dan fitnah yang berterusan daripada para pemimpin Umno-BN ke atas Pakatan Rakyat, prestasi yang ditunjukkan oleh kementeriankementerian terbabit amat berbeza sama sekali dengan prestasi yang ditunjukkan oleh kerajaan-kerajaan negeri di bawah Pakatan Rakyat.
Malah Ketua Audit Negara sendiri berpuas hati dengan prestasi kewangan syarikat Prokel Management Sdn Bhd (PMSB), milik penuh Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), yang begitu memuaskan kerana memperolehi keuntungan bersih dan terkumpul semakin meningkat bagi 2010 hingga 2012.
Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor di bawah kepimpinan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim pula dipuji oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah ketika baginda merasmikan Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Selangor kali ke-13 pada 7 April lalu.
Dalam titah ucapannya, Sultan Selangor sendiri menjelaskan pelaburan ke negeri Selangor sepanjang tahun 2013 terus meningkat, iaitu berjumlah RM9.8 bilion, dengan bilangan 228 projek dan menyediakan lebih 200,000 peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor.
Kedudukan kewangan kerajaan Selangor sehingga 7 Mac 2014 sangat memberangsangkan dengan Kumpulan Wang Disatukan berjumlah RM2,948.97, manakala pembangunan ekonomi negeri yang memberangsangkan terutamanya menerusi sektor perkhidmatan telah menyumbang 56.4 peratus kepada KDNK Selangor.
Pertimbangan rakyat
Kecemerlangan prestasi kerajaan Pakatan Rakyat yang hanya diberikan mandat memerintah tiga buah negeri oleh rakyat boleh dijadikan kayu ukur sendiri oleh rakyat berbanding prestasi yang ditunjukkan oleh kerajaan BN.
Sedangkan perbezaan yang besar itu akan menyumbang kepada bertambahnya jumlah defisit dalam bajet negara setiap tahun, kurang atau bertambahnya bebanan hidup rakyat akibat tekanan kerajaan untuk mengumpulkan kembali wang bagi menampung kebocoran, terbela atau tidaknya rakyat dalam pelbagai aspek.
Share this article :

0 comments:

Speak up your mind

Tell us what you're thinking... !

 
Webmaster | Warta Utara Online
Proudly powered by Blogger
Copyright © 2014. Warta Utara Online - All Rights Reserved
PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER Warta Utara Online