SAHABAT merupakan insan yang selalu berdampingan dengan kita. Teman,
rakan, kawan atau apa
jua istilahnya, ia dapat difahami sebagai sesuatu
yang menjadi lumrah dalam kehidupan umat manusia. Sebagai sebuah agama
yang lengkap lagi sempurna, Islam turut mengajar manusia tentang sahabat
dan nilai-nilai penting yang perlu ada dalam sebuah persahabatan.
Sejarah bangsa terdahulu menyaksikan dengan jelas bagaimana Islam
membawa nilai persahabatan yang sebenar. Dengan hadirnya Islam,
permusuhan antara kaum Aus dan Khazraj di Madinah yang terjadi sekian
lama berjaya dihentikan. Bahkan, bukan sekadar itu, mereka akhirnya
bersahabat baik seperti saudara kandung dan berjuang bersama-sama
menegakkan agama Islam ketika itu.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: Dan berpegang teguhlah kamu
sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu
bercerai-berai dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu
bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dahulu), lalu Allah menyatukan di
antara hati kamu (sehingga kamu bersepadu dengan nikmat Islam), maka
menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang
bersaudara. (Ali Imran: 103)
Bagi mereka yang mengamati dengan teliti, tentu akan timbul rasa
kagum bagaimana permusuhan yang terjadi sekian lama mampu dihapuskan
dengan nilai-nilai Islam. Islam mengajar agar sentiasa menanamkan sifat
kasih dan sayang terhadap manusia baik terhadap orang Islam mahupun yang
belum Islam.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Kamu akan melihat orang-orang
mukmin saling mengasihi, mencintai dan menyayangi bagaikan satu tubuh.
Apabila ada salah satu anggota tubuh yang sakit, maka seluruh tubuhnya
akan ikut terjaga (tidak boleh tidur) dan panas (turut merasakan
sakitnya). (riwayat al-Bukhari)
Islam mengajar manusia agar saling berkasih-sayang dalam kehidupan.
Namun nilai ini hanya tinggal teori semata-mata. Umat Islam kini sesama
sendiri saling bertelagah dan berpecah belah, seakan-akan sifat
kasih-sayang sesama Muslim telah hilang sama sekali.
Sedangkan apabila adanya pertelingkahan, Islam mengajar kita agar
saling mendamaikan kedua-dua pihak, bukan menambah api permusuhan. Allah
SWT berfirman yang bermaksud: Sebenarnya orang-orang yang beriman itu
adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang
bertelingkah) itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh
rahmat. (al-Hujurat: 10)
Amalan mulia
Kawan menjadi tempat meminta pertolongan dalam urusan kehidupan di
dunia ini. Sememangnya sifat tolong-menolong tidak dapat dipisahkan
dalam persahabatan kerana ia antara sebab persahabatan itu terjalin dan
menjadi kukuh.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Sesiapa membebaskan seorang
mukmin daripada suatu kesusahan dunia, maka Allah akan membebaskannya
daripada suatu kesusahan di hari kiamat. Barang siapa memberi kemudahan
kepada orang yang berada dalam kesusahan, maka Allah akan memberikan
kemudahan di dunia dan akhirat. Barang siapa menutupi aib seorang
Muslim, maka Allah akan menutup aibnya di dunia dan akhirat. Allah akan
selalu menolong hamba-Nya selama hamba tersebut menolong saudaranya
sesama Muslim. (riwayat Muslim)
Tolong-menolong sememangnya amalan mulia. Namun, Islam hanya
membataskan pertolongan kepada manusia dalam hal yang baik sahaja. Tidak
dibenarkan tolong-menolong dalam perkara maksiat dan keburukan
sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Tolong-menolonglah untuk
membuat kebaikan dan bertakwa dan janganlah kamu tolong-menolong dalam
melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan dan bertakwalah kepada Allah,
kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya. (al-Maidah: 2)
Berlapang dada
Tegur-menegur juga penting antara satu dengan yang lain. Hanya kerana
seseorang itu merupakan kawan kita, ia tidak bermakna dia terlepas
daripada ditegur jika melakukan kesalahan. Menegur atau mengkritik
bukanlah bermakna kita mahu bermusuhan dengannya. Namun atas dasar
persahabatan dan inginkan kebaikan buatnya, maka kesalahan yang
dilakukan hendaklah ditegur, dikritik dan dibaiki dengan baik lagi
berhikmah.
Rasulullah S.AW bersabda yang bermaksud: Tolonglah saudaramu yang
zalim atau yang dizalimi. Salah seorang sahabat bertanya, Wahai
Rasulullah, Kami boleh menolong orang yang dizalimi tapi bagaimana mahu
menolong orang yang zalim? Baginda menjawab, Menghalangnya agar tidak
melakukan kezaliman. Itulah cara untuk menolongnya. (riwayat al-Bukhari)
Hari ini, menjadi satu kebiasaan jika keburukan yang dilakukan kawan
dibiarkan begitu sahaja. Serba salah untuk menegur kawan sendiri kerana
bimbang berkecil hati dengan teguran tersebut.
Seharusnya seorang kawan yang baik, hendaklah berlapang dada dan
menerima teguran yang diberikan untuk berfikir dan memperbaiki diri.
Bukan memarahi atau memandang serong apabila ditegur oleh rakan.
Semoga kita dapat memperbaiki nilai-nilai persahabatan agar ia berkekalan dengan lebih baik. Insya-Allah.
PENULIS sedang mengikuti pengajian dalam bidang Pengajian Islam Kontemporari di Kuliyyah Islamiyyah Alamiyyah Gombak.



0 comments:
Speak up your mind
Tell us what you're thinking... !