Oleh Fathi Aris Omar
Tidak semua Islamis, termasuk dalam PAS,
percaya strategi politiknya harus mengutamakan
pelaksanaan hudud. Mereka
percaya pada hudud tetapi tidak melihat keutamaannya membuta tuli.
Golongan ini bolehlah digelar "Islamis moderat" atau "rasionalis", bagi
membezakan puak fundamentalis totok yang menafsir hudud sebagai
keutamaan politik.
Kita gelar mereka ini "moderat" atau "rasionalis" kerana mereka lebih
memberatkan realiti semasa dan konteks zaman dalam projek Islamisasi.
Mereka ini "kaum kontekstual" – yang menyusun strategi kuasa melalui
kajian, pujukan dan bahasan – berbeza daripada "puak tekstual" yang
memberatkan firman kitab suci dalam kerangka pertolongan ghaib dari
Tuhan melalui tekanan propaganda.
Semua
Muslim, termasuk dalam gerakan-gerakan Islam, yang beriman pada
pelaksanaan hudud dan syariah berada dalam dua kelompok besar ini.
Tidak sama dengan Muslim yang ragu atau risau, Islamis moderat ini lebih
mempercayai hudud dalam semangat asas atau tujuan pokok agama: Keadilan
dan rahmat seluruh alam.
Hudud itu hanya satu "bentuk" kehidupan beragama yang harus bernafas dalam "semangat" agama yang lebih besar.
Mereka melihat "isu keselamatan" yang luas; bukan sekadar pakaian
seragam, gelar ketenteraan atau persenjataan. Mereka melihat "persoalan
pendidikan", bukan sekadar buku teks, sukatan pelajaran atau bilik
darjah.
Fundamentalis percaya hudud sebagai senjata dan pakaian seragam; sebagai
buku teks dan bilik darjah; bukan persoalan-persoalan keselamatan dan
pendidikan. Mereka melihat "bentuk hukuman", bukannya keadilan,
kesejahteraan awam atau kesaksamaan umum.
Islamis moderat atau rasionalis selalunya tidak terburu-buru menyediakan
enakmen hudud; sebaliknya mereka lebih memikirkan strategi meyakinkan
masyarakat, mengukuhkan kerjasama politik dan mengekalkan populariti
kuasa.
Sebab tanpa kuasa, hudud hanyalah angan-angan, buku teks atau kuliah di rumah ibadat.
Fundamentalis totok tidak memberatkan hal ini. Paradoks pelik yang
mereka lupakan dalam imaginasi keagamaan; paradoks Tuhan tanpa manusia.
Paradoks
atau tidak, fundamentalis lebih yakin pada pertolongan ghaib dari Allah
jika kita sungguh-sungguh beriltizam inginkan hudud. Laksanakan dulu,
sediakan enakmen, cuba dulu dan kita lihatlah kesannya nanti.
Sebab itu, PAS dalam semangat fundamentalismenya segera meluluskan
enakmen hudud di Kelantan dan Terengganu, masing-masing tiga tahun
selepas memenangi pilihan raya umum.
Soal bagaimana mengekalkan kuasa, dan melegakan pengundi agar terus
selesa bawah pentadbirannya, bukan isu terlalu pokok. Bagaimana mencipta
keyakinan rakyat pada kepemimpinannya dan mensejahterakan mereka, itu
bukanlah isu utama.
Biar rakyat tolak, termasuk majoriti pengundi Islam di Terengganu, yang
penting -- sewaktu berkuasa, PAS mesti melaksanakan hudud sebagai tiang
seri pentadbiran Islamnya.
Tidak penting bagaimana pengundi menaikkan PAS, atas semangat agama atau
sentimen lain; yang penting, selepas diberi kuasa, kita mesti
laksanakan hudud.
Kata-kata Tuhan harus dengan pantas dipasakkan begitu sahaja atas
kepala-kepala manusia. Lagi pula, bagi fundamentalis, kata-kata suci
memang untuk ditukulkan saja ke dalam benak manusia yang banyak
kerenahnya.
Namun, sama ada Islamis moderat atau fundamentalis totok, jika
strateginya kini mendendangkan agenda hudud, maka tokoh-tokoh PAS tiada
pilihan lain kecuali mengazankan seruan yang sama.
(ii)
Di luar lingkungan fundamentalis, Muslim moderat, modenis atau
rasionalis melihat agenda hudud PAS dengan sejumlah keraguan pelik.
Bagi fundamentalis, hudud itu ibarat Tuhan yang diktator; manusia harus diam; hanya Tuhan berbicara.
Bagi
Islamis moderat atau rasionalis, hudud itu umpama Tuhan yang memimpin
di tengah-tengah manusia. Dialog dimungkinkan tetapi keputusan-Nya
muktamad.
Bagi Muslim yang bukan fundamentalis dan bukan pula Islamis, hudud itu
bicara Tuhan di pentas perdebatan; banyak pertikaian dan banyak pula
sanggahannya.
Apakah memang hudud itu sejenis hukuman beku yang tidak boleh
diubah-ubah lagi? Bukankah masyarakat sebelum Quran juga pernah
melaksanakan hukuman itu?
Apakah sememangnya begitulah maksud Tuhan atau Dia hanya menyampaikan
hukuman dalam konteks zaman Nabi Muhammad saja? Kita boleh mengubah
"bentuknya" selagi tujuan asasinya – keadilan – tercapai.
Kita boleh menambah lagi pertikaiannya; kita tidak meragui hukum hudud
tetapi tidak yakin PAS boleh melaksanakannya atas was-was kita pada
parti itu. Selalunya, dulu, beginilah hujah Umno mempertikaikan "hudud
PAS".
Sementara yang lain tercengang-cengang: Apakah sememangnya hudud dapat menyelesaikan kemelut umat?
Tiada negara yang melaksanakan hudud boleh dijadikan contoh; malah
pelaksanaan hudud di negara yang kacau (failed states) tidak membawa
rahmat yang dihajati.
Seperti
solat hajat tidak menemukan kita pesawat hilang; seperti ibadat dan doa
kita tidak menambahkan kemanusiaan diri Islam kita.
Semua ritual dan simbolisme agama hanya cabang kebudayaan umat yang tidak meningkatkan darjatnya di mata dunia.
Tidak mungkin hudud dengan automatis merungkai semua malapetaka itu.
Jadi, hudud atau tidak, beginilah nasib umat Islam jika hal-hal lain
tidak sama-sama dititikberatkan.
Pertikaian lain, yang selalu kita dengar, hudud itu bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Ia akan mewujudkan dualisme perundangan; akan merungkai asas kenegaraan
kita yang sekular. Hudud akan memacunya menjadi sebuah negara teokrasi.
Ada juga yang berhujah, saya menolak hudud kerana saya tidak mahu
dikawal undang-undang agama, tidak kira Islam, Kristian atau agama apa
sahaja!
(iii)
Keraguan dan was-was hudud itu di kalangan Muslim, dan bukan Muslim
juga, kadang-kadang sampai di peringkat berhujah dengan tidak konsisten.
Sehingga kaum penentang fundamentalisme agama ala PAS turut termakan
propaganda parti itu sewaktu mereka cuba mempertikaikan hudud!
Mereka menolak, atau mempertikai, pelaksanaan hudud atas dua cabang
teknikal utama (a) keperlembagaan dan dampak perundangannya, dan (b)
keagamaan dan kesan sosio-budayanya.
Cabang pertikaian (a) kini cuba diselesaikan antara Kota Bharu dengan Putrajaya.
Selain azam politik yang kuat, ia boleh diatasi dengan syarat enakmen
hudud dibuang nilai sakral agamanya dan dianggap satu ruang perundangan
sekular.
Cabang sanggahan (b) boleh dipatahkan dengan cara yang sama, dengan membuang nilai sakral agama.
Ertinya enakmen hudud itu dianggap satu set perundangan yang sama dengan undang-undang ciptaan manusia.
Ia tiada nilai agama dan tidak relevan dirujukkan pada hal-hal keagamaan (kecuali pada mereka yang meyakini sedemikian).
Seperti set perundangan nikah kahwin dan pembahagian harta yang dijadikan berbeza antara Islam dan bukan Islam.
Walaupun Muslim beranggapan hukum-hakam agama harus memandu perundangan
nikah kahwin dan pembahagian harta, hakikatnya perkahwinan dan
pengagihan harta dua kaedah sekular dan manusiawi yang rutin-rutin saja.
Hakikatnya, tanpa agama, manusia menguruskan sistem pernikahan dan pembahagian aset.
Seperti juga jual beli dan perbankan. Walau Muslim beranggapan sistemnya
mempunyai nilai agama (sakral) tetapi perbankan, insuran dan jual beli
boleh dikendalikan dengan beberapa cara, termasuk tanpa merujuk agama.
Atas pilihannya, penyimpan wang bukan Muslim boleh mengambil untung dalam kaedah perbankan Islam.
Begitu juga enakmen hudud. Kepada kaum liberal, rasionalis dan modenis
Muslim, apa lagi perlu dirisaukan jika kita anggap hudud itu seperti
akta sekular?
Ia hanya satu set undang-undang jenayah, selain tidak banyak
dilaksanakan, ia juga kelihatan kejam. Apakah anda menolak hudud atas
sandaran ini: Kerana ia tidak manusiawi dan bersumberkan sejarah purba?
Kepada bukan Islam, lupakan hudud datang daripada al-Quran atau anggap
sahaja kitab suci itu setaraf Das Kapital atau Mahabharata. Apakah
agaknya hujah anda?
Kita belum membahaskan merit perundangan hudud atas merit sekularnya tetapi sering risau kerana bayangan sakral agamanya.
Jika hudud itu dibayangkan sebagai satu set perundangan sekular – yang
dicipta dari akal, boleh dibantah, dipinda dan singkirkan melalui undi –
apakah tafsiran isu hudud boleh membawa kefahaman baru?
FATHI ARIS OMAR seorang editor di Malaysiakini.
0 comments:
Speak up your mind
Tell us what you're thinking... !