Oleh Fathi Aris Omar
Jika ada pemimpin Pakatan Rakyat, khususnya
bukan Islam, percaya PAS inginkan hudud demi
meraih undi Melayu,
jelaslah mereka tersilap memahami parti Islam.
PAS, sebagai parti fundamentalis, tidak memikirkan undi atau kuasa. Ia
hanya mahu menyebarkan idea-idea agama sejajar dengan fahaman agamanya.
Dengan kata lain, hudud PAS itu sebahagian agenda Islamisasi yang
semakin meluas sehingga seluruh tata hidup bernegara, berbudaya dan
berfikir dikuasai sepenuhnya oleh agama.
Islamisasi PAS ertinya totalisasi agama atas setiap denyut nafas, kelipan ingatan dan derap peluh rakyat.
Jika ia gagal berkuasa, dan melaksanakannya, kempen keagamaan itu
sendiri sudah cukup untuk melepaskan tanggungjawabnya di sisi Tuhan.
Mereka boleh mati dengan tenang, dengan kesedaran agenda hudud telah
disebarkan kepada umum dan tindak politiknya pula jelas menunjukkan
mereka serius memperjuangkan hukum Allah itu.
Bagi fundamentalis, kehidupan berpolitik juga dipertanggungjawabkan
dalam kehidupan selepas mati. Bukan saja politik, malah semua sendi
kehidupan seorang Muslim akan dipersoalkan di akhirat.
Dan bagi fundamentalis Islam, agama itu lebih mudah difahami secara
literal seperti dinyatakan dalam Quran, hadis, pandangan ulama klasik
dan tradisi politik khalifah-khalifah Islam.
Tidak seperti Muslim moderat, modenis, rasionalis atau liberal, kaum
fundamentalis tidak berfikir panjang dengan bahasan mendalam dan rumit
ala dolak-dalik yang pelik-pelik.
Quran sebagai manifesto
Yang penting, apa yang dinyatakan dalam Quran sudah jelas meletakkan beban pelaksanaannya pada seluruh umat Islam.
Jadi, agenda pelaksanaan hudud di Kelantan sejak 20 tahun dulu itu bukan
sebahagian manifesto politik pilihan raya yang disusun mengikut arah
sentimen pengundi atau keperluan konteks politik semasa.
Malah, bagi parti fundamentalis, al-Quran itu sendiri sebagai manifesto
politik mereka; al-Quran itu sendiri sebagai perlembagaan utama, lebih
asasi dan tinggi daripada Perlembagaan Persekutuan.
Jadi,
sama ada hudud tercatat dalam manifesto PAS atau tidak; sama ada hudud
dijadikan agenda kempen PAS atau tidak; itu semua bukan persoalannya.
Isunya, apabila diberikan mandat selepas pilihan raya umum, PAS dengan
segera kembali merujuk al-Quran, dokumen manifesto asasinya.
Sama ada hudud akan menguntungkan PAS di luar Kelantan atau
merugikannya, itu bukanlah isu pokok. Sebagai fundamentalis, PAS percaya
"jika mereka membantu Allah, sebagai balasannya Allah akan membantu
mereka."
PAS percaya pada bantuan ghaib ini -- rahmah dan barakah yang boleh
"menyelesaikan" pelbagai kemelut umat Islam di negara ini. Malah ia
percaya agamalah satu-satunya unsur penyelamat "kehinaan" umat Islam di
seluruh dunia.
Yang lain-lain -- teknologi, ekonomi, ketenteraan, diplomasi atau
pendidikan -- hanya sekunder, hanya membantu teras kepercayaan agamanya.
Yang lain-lain -- rasuah, demokrasi, pilihan raya adil, kebebasan media,
kemiskinan, kemerosotan universiti, kerjasama dengan DAP atau Pakatan
Rakyat -- semuanya berada di barisan kedua, ketiga atau keempat selepas
aspirasi agamanya.
Sandaran kontekstual
Jangan ditanya di mana logikanya, apa sandaran kontekstualnya atau
bagaimana memahami aras-aras keutamaan program politik antara hudud
dengan realiti semasa.
PAS tiada jawapannya kerana jawapannya tidak dapat disuarakan. Lagipun,
iman pada sumber kekudusan Ilahi dan kehebatan bantuan ghaib dari Tuhan
itu tidak mungkin dijawab dengan rasional.
Jawapannya satu saja -- anda beriman atau tidak; anda percaya pada kalimah Tuhan atau tidak; anda mahu Islam atau tidak?
Jika pemimpin DAP seperti Teresa Kok percaya pada penjelasan PAS --
hudud itu bagi menahan kemerosotan undi Melayu -- maka jelaslah beliau
terperangkap dalam retorika PAS.
Jawapan PAS itu hanya untuk hiburan akal "pemimpin kafir" yang tidak dapat memahami asas-asas logika parti fundamentalis.
Begitu juga tokoh utama DAP Lim Kit Siang yang cuba merasionalisasikan agenda hudud PAS dengan prestasi undi.
Canggih atau tidak analisa Lim, berbobot atau tidak bacaan politik Kit Siang, itu semua tidak penting bagi PAS!
Parti fundamentalis tidak memikirkan itu semua; termasuk menyediakan jawapan-jawapan rasional tindak politik hudud.
Lebih tepat lagi, PAS sebenarnya tiada jawapan, termasuk untuk meyakinkan orang Islam.
Jawapannya hanya satu; itu pun dalam bentuk persoalan berat lagi besar:
Anda beriman atau tidak; anda percaya pada kalimah Tuhan atau tidak;
anda mahu Islam atau tidak?
FATHI ARIS OMAR seorang editor di Malaysiakini.
0 comments:
Speak up your mind
Tell us what you're thinking... !