Oleh Fathi Aris Omar
Setelah berkempen lebih tiga dekad, dan mula
meraih saki-baki kuasa di beberapa negeri, PAS
sebagai parti
fundamentalis sejak 1982 berjaya menekan Umno untuk menerima jawapannya
itu.
Jadi, dalam minda pemimpin-pemimpin Umno, berpusing-pusing pertanyaan
PAS: Anda beriman atau tidak; anda percaya pada kalimah Tuhan atau
tidak; anda mahu Islam atau tidak?
Sebagai parti pragmatis, separuh sekular dan separuh modernis, Umno
menyatakan sikapnya dengan jelas melalui (a) jawapan Najib Abdul Razak
dan (b) penubuhan jawatankuasa teknikal bersama antara Putrajaya dengan
Kota Bharu.
Presiden Umno tidak berani mengatakan hudud tidak relevan atau bukan sebahagian kepercayaan agama.
Najib tidak mampu mengungkap alasan teknikal, hujah agamawan semasa atau
konteks zaman seumpama Anwar Ibrahim (dalam Umno) menangguhkan hudud.
Sebaliknya, perdana menteri ingin melihat sama ada konsep dan agenda
hudud PAS itu "serasi dengan kehendak Islam" atau tidak. Sama ada mereka
faham atau tidak, Islam tetap diimani tetapi agenda agama PAS harus
pula diragui.
Mereka tidak lagi in toto menolak hudud seperti disebutkan
dalam al-Quran tetapi mengambil sikap lunak, berjinak-jinak mengajak PAS
berbincang tentang enakmen hudud Kelantan dan draf rang undang-undang
persendirian parti Islam.
Mudah disergah PAS
Tidak seperti penentangan awal Umno, waktu itu diterajui Dr Mahathir
Mohamad, terhadap fundamentalisme PAS pada 1980-an, Najib tiada tiang
intelektual atau benteng moral untuk menentangnya secara berdepan.
Sejak kejayaan Islamisasi mulai 1970-an, intelektual agama dalam Umno
dan birokrat Islam dalam kerajaan sudah hilang tenaga batinnya untuk
tegak berdepan menentang agenda hudud PAS.
Parti Islam berjaya menghududkan legitimasi Umno sehingga parti Melayu
itu tiada pilihan lain kecuali meyakini jawapan PAS: Anda beriman atau
tidak; anda percaya pada kalimah Tuhan atau tidak; anda mahu Islam atau
tidak?
Seperti Islamis berjaya menukar PAS yang nasionalis kepada PAS yang
fundamentalis sewaktu arus fundamentalisme menjadi "game changer"
politik negara.
Hari ini, Najib terbiar sendirian menangkis serangan agenda PAS.
Tidak seperti Anwar atau Abdullah Ahmad Badawi, presiden Umno kini tiada
sebarang legitimasi agama -- sama ada pada bibirnya, batang tubuhnya
atau pakaiannya -- untuk berhujah isu hudud.
Dalam keadaan seperti ini, Najib lebih mudah disergah PAS dalam agenda hudud berbanding Anwar, Abdullah atau Mahathir.
Anda beriman atau tidak?
Najib awal-awal lagi direjam dengan lontaran-lontaran hujah PAS. Tiada
lagi barisan ulama Umno ingin menyelamatkan presiden parti daripada PAS;
tidak seperti tokoh-tokoh agamawan parti itu membentengi Dr Mahathir.
Gaya kepemimpinannya, termasuk sejumlah imej negatif dirinya dan
isterinya Rosmah Mansor, Najib tidak banyak pilihan kecuali mengeluarkan
hujah pro-hudud dalam al-Quran. Pada masa sama, beliau tetap waspada
pada agenda hudud PAS.
Maka
muncullah saranan jawatankuasa teknikal bersama antara Putrajaya dengan
Kota Bharu yang disimbolkan melalui Jamil Khir Baharom.
Jamil Khir pula bukanlah tokoh-tokoh besar agamawan Umno era Dr
Mahathir: Wan Mokhtar Wan Ahmad, Dr Yusuf Nor, Dasuki Ahmad, Dr Hamid
Othman atau Dr Faisal Osman.
Jamil Khir itu sendiri muncul di pinggir bayang-bayang jubah Dr Haron
Din, Dr Hasan Ali dan Tuan Ibrahim Tuan Man pada 1990-an, sewaktu
Islamisasi sudah kian sukar dibendung.
Islamisasi itulah yang membangkitkan pertanyaan PAS: Anda beriman atau
tidak; anda percaya pada kalimah Tuhan atau tidak; anda mahu Islam atau
tidak?
Agenda sebenar jawatankuasa
Sementara kita pula tertanya-tanya apakah agenda sebenar, tersurat dan
tersirat, rundingan jawatankuasa teknikal hudud antara Umno dan PAS.
Apakah Umno begitu terdesak sehingga terpaksa menelan agenda hudud PAS?
Atau, Umno nampak ada peluang terbaik untuk meningkatkan legitimasi agamanya dan melemahkan Pakatan Rakyat?
Atau, seperti siri-siri rundingan dan mesyuarat-mesyuarat teknikal, ia
sekadar taktik Umno melengah-lengahkan masa dan mengendurkan PAS?
Atau, sememangnya Umno sudah insaf dan ikhlas melaksanakan tuntutan ini sehingga tidak lagi berfikir beberapa kali dengan licik?
Di sebalik jawatankuasa teknikal bersama ini, kita tertanya-tanya, apa lagi Najib mahu?
FATHI ARIS OMAR seorang editor di Malaysiakini.
0 comments:
Speak up your mind
Tell us what you're thinking... !