Headlines News :
Home » » Dulu PM hantar surat amaran halang buat hudud

Dulu PM hantar surat amaran halang buat hudud

Written By Warta Utara on Wednesday, May 7, 2014 | 8:20 PM

Oleh MOHD NOR YAHYA 

KOTA BHARU: “Saya amat gembira perkembangan semasa berkaitan hudud sekarang. Saya tidak
mahu sentuh banyak soal teknikal kerana ia di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

“Cuma saya sentuh soal dasar sahaja. Alhamdulillah hati saya cukup tenang sehari dua ni... banyak berita baik yang saya terima dan insya-Allah masyarakat juga menerima dengan baik,” kata Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Beliau ditemui pemberita selepas menerima kunjungan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Dato’ Dr Asraf Wajdi Dasuki di pejabat Institut Pemikiran Tok Guru 29 April lalu.
Pada Ahad lalu beliau juga dikunjungi Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di rumahnya di Pulau Melaka.

Sedangkan Mursyidul Am PAS itu berkata, Perdana Menteri dahulu begitu bersungguh-sungguh menentang pelaksanan hudud di Kelantan.

“Saya amat bimbang kalau-kalau akan berlakunya Mageran sebab itu saya tidak melaksanakannya selepas menerima surat amaran daripada Perdana Menteri,” katanya.

Pada 15 Julai 1994 Tun Dr Mahathir Mohamad menghantar surat amaran kepada Menteri Besar Kelantan.

Antara lain surat itu berbunyi “Kerajaan Pusat tidak dapat membenarkan kerajaan PAS menjalankan sesuatu yang bercanggah dengan prinsip keadilan Islam, maka Kerajaan Pusat akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap kerajaan PAS demi menjaga maruah dan ketinggian martabat Islam.”

Tuan Guru Nik Aziz juga menyokong cadangan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya diwujudkan Jawatankuasa Teknikal melibatkan pelbagai pihak yang pakar dalam bidang perundangan Islam.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz juga berkata, kehidupan di atas dunia hendaklah dilakukan seperti mana yang dibaca dalam waktu sembahyang.

“Dalam Islam ada sebut akhirat. Sedangkan dalam demokrasi, sosialis dan komunis tidak disebut soal akhirat,” ujarnya.

Sementara itu Dr Asraf Wajdi ketika ditemui berkata, tidak salah Kelantan menjadi negeri perintis melaksanakan Kanun Jenayah Syariah II ketika kerajaan BN didakwanya lebih terbuka sekarang.
Menurutnya juga Yadim ditubuh Tun Abdul Razak pada 1974 dan beliau merupakan Yang Dipertua Yadim ke-40 mengambil inisiatif mengunjungi mereka yang terawal terbabit dengan badan dakwah itu.

“Pertemuan dengan Tok Guru adalah amat baik dan dapat menimba pengalaman yang luas dari beliau.

“Saya sebagai orang muda mahu menimba pengalaman daripada seorang yang menjadi Menteri Besar lebih 23 tahun. Ini amat baik dan diakui beliau seorang tokoh yang hebat,” ujar beliau.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Dewan Ulamak PAS Kelantan, Dato’ Hassan Mohamood turut menyambut baik penubuhan Jawatankuasa Khas Teknikal Hudud peringkat pusat bagi membolehkan ia dilaksanakan di Kelantan.














Share this article :

0 comments:

Speak up your mind

Tell us what you're thinking... !

 
Webmaster | Warta Utara Online
Proudly powered by Blogger
Copyright © 2014. Warta Utara Online - All Rights Reserved
PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER Warta Utara Online