Oleh Subky Latif
Gara-gara isu hudud meledak semula seperti yang berlaku awal 1990-an, hampir hendak hancur
Pakatan Rakyat oleh bahangnya.
PAS berhajat benar hendak melaksanakannya di Kelantan. Apa jadi pun
rang undang-undang persendirian bakal dibentangkan di Parlimen tahun ini
juga.
PKR tidak tertarik dengan perkembangan itu. DAP
seperti yang diwasiatkan oleh mendiang Karpal Singh tidak akan
menyokong usul itu.PAS mahu juga ia dibentangkan. Maka DAP melalui
Setiausaha Organisasinya, Antony Loke cabar PAS keluar PR. PAS tidak
mahu keluar PR tetapi hudud hendak dilaksanakan juga di Kelantan.
Macam PR hendak berpecah gara-garanya. Siapa yang seronok? Tentulah
Umno dan Barisan Nasional melihat kerabat PR beramok sama sendiri.
Seronokkah Umno bila PR macam hendak berpecah.
Seronoknya cuma
beberapa hari saja kerana PAS tidak akan keluar Pakatan dan DAP serta
PKR tidak akan membiarkan PAS keluar kerana isu itu. Mereka berkelahi
saja tetapi tidak pecahkan bahtera yang mereka bina.
Berkelahi
tidak elok, tetapi mungkin ada elok juga berkelahi sekali sekala supaya
masing-masing lebih kenal budi dan hati antara satu sama lain. Atas
perkelahian itulah mereka akan membangunkan muafakat yang lebih kuat.
Awal 1990-an ketika Pilihan Raya Kecil Bukit Payong, Terengganu, bekas
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad cabar PAS supaya laksanakan
hudud di Kelantan setelah Angkatan Perpaduan Ummah menang semua kerusi
di Kelantan.
Mungkin cabaran Dr Mahathir hendak menjauhkan
bukan Melayu daripada PAS kerana politik Tengku Razaleigh Hamzah
melalui Parti S46 boleh jadi jambatan yang boleh mendekatkan PAS dan
DAP jika dibiarkan.
PAS sahut cabaran itu lalu meluluskan
Enakmen Jenayah Syariah 2 di Kelantan. Bila hendak dilaksana, Dr
Mahathir hantar surat kepada kerajaan Kelantan, kalau laksana dia akan
bertindak. Mungkin Dr Mahathir menyesal mencabarnya dulu kerana puak
pro hudud ini tidak boleh dicabar.
PAS tawakuf pelaksanaan
itu. Tetapi hudud itu tidak menghalang DAP bermuafakat dengan PAS
melalui Barisan Alternatif. Mereka berpecah sekejap. Tetapi atas
perpecahan sekejap itu mereka bangkit dengan perantaraan Datuk Seri
Anwar Ibrahim dengan menegakkan Pakatan Rakyat.
Apabila Brunei
Darussalam mengumumkan mendaulatkan syariat setahun sebelum Malaysia
menguatkuasakan Cukai Barangan dan Perkhidmata (GST), Kelantan tidak
mahu ketinggalan dengan hududnya. Umno pula cabar PAS bawa ia ke
Parlimen nescaya ia akan mereka sokong. PAS pun terima positif atas
cabaran itu.
Puak yang tidak boleh dicabar tentang hudud ini lemparkan cadangan untuk bentangkan ia ke Parlimen.
DAP melenting tetapi buat masa ini DAP bukan musuh PAS dan PAS bukan musuh DAP. Mereka berbalah tetapi mereka tidak berecah.
Sama ada Umno/BN sokong usul PAS itu di Parlimen, Umno adalah musuh
yang kekal setakat ini buat semua kerabat Pakatan Rakyat. Umno boleh
sokong hudud tetapi Umno tetap musuh PAS. DAP dan PAS mungkin berkelahi
sekejap tetapi musuh kedua-duanya ialah Umno.
Baguslah kalau
Umno sudah dapat hidayah tentang hudud. Hidayah itu masih teka teki.
DAP masih takutkan hudud. PKR tunggu dan lihat.
Takut DAP
tentang hudud itu seperti ia takutkan Dasar Ekonomi Baru (DEB).
Seolah-olah DEB itu untuk Melayu saja. Tetapi yang banyak untung atas
DEB ialah bukan Melayu. Majoriti Melayu dapat kuah. Beberapa kerat Umno
dan bukan Melayu dapat isi DEB.
Hudud itu akan menguntungkan
bukan Melayu seperti bukan Melayu mengaut keuntungan DEB. Baiknya hudud
nanti ia menguntungkan Melayu dan bukan Melayu. Kalau usul PAS itu
kalah kita tidak dapat buktikan bukan Islam untung dengannya kerana ia
tidak dilaksanakan. Tunggulah untungnya daripada pelaksanaan hukum itu
di Bandar Seri Begawan.
0 comments:
Speak up your mind
Tell us what you're thinking... !