Rampasan berkenaan menurut Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya susulan daripada penerimaan notis daripada Pentadbiran Makanan dan Dadah (FDA) AS yang memaklumkan perkara itu.

Katanya, rampasan berkenaan dilakukan di Kuching dan Sibu dengan nilai mencecah RM82,000 dan ketika ini, hanya terdapat dua syarikat di negara ini yang berpangkalan di Sarawak mempunyai lesen mengimport epal berkenaan sebelum diedarkan ke seluruh negara.

“Susulan rampasan itu, kementerian akan turut melakukan pemeriksaan di seluruh negara bagi memastikan epal berkenaan tidak dijual kepada pengguna sehingga satu tempoh yang akan dimaklumkan kemudian,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis bacaan tahlil dan kenduri doa selamat bagi mangsa ribut di Sekolah Agama Rakyat Balik Pulau di sini hari ini.

Semalam, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pihaknya dimaklumkan oleh FDA tentang penemuan bakteria berkenaan dalam kedua-dua jenis epal itu yang sehingga kini mengakibatkan tiga kematian dan ramai yang sakit di negara itu dan Kanada.

Sehubungan itu, Hilmi menasihatkan orang ramai yang mengalami simptom seperti sakit kepala atau muntah selepas memakan epal berkenaan dalam tempoh terdekat supaya segera mendapatkan rawatan.

“Pada masa sama, saya menasihatkan pengguna supaya tidak membeli dua jenis epal berkenaan sekiranya masih dijual di pasaran,” katanya.