Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun berkata, negeri Perak merupakan negeri pertama mene­rima sumbangan tersebut yang berjumlah antara RM500 hingga RM1,500 setiap keluarga.

Katanya, warga PDRM di Kelantan, Pahang dan Terengganu yang turut menjadi mangsa banjir juga menerima bantuan sama yang akan disalurkan selewat-lewatnya pada minggu hadapan.

“Bantuan keseluruhan berjumlah RM1.5 juta ini disediakan hasil daripada pemotongan gaji dalam kalangan warga PDRM dan Tabung Kebajikan PDRM. Jumlah pemoto­ngan gaji ini berbeza mengikut pangkat anggota.

“Agihan ini akan dibuat secepat mungkin dan kita menjangkakan pada minggu hadapan bantuan akan disampaikan kepada semua mangsa banjir yang terlibat sama ada di Kelantan, Terengganu dan Pahang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Penyerahan Wang Bantuan Banjir PDRM di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk A. Paramasivam.

Mohamad Fuzi berkata, selain bantuan wang tunai, PDRM turut menyampaikan bantuan persekolahan kepada anak warga PDRM di tiga negeri terlibat banjir iaitu di Perak, Terengganu dan Kelantan.

Katanya, bantuan hasil sumba­ngan Yayasan Albukhary itu diberikan kepada 978 anak warga PDRM iaitu 15 orang di Perak, Terengganu (175) dan Kelantan (788).

“Melalui bantuan ini, diharap dapat meringankan beban keluarga yang terlibat sekali gus menyuntik semangat untuk mereka kembali bertugas seperti biasa,” ujarnya.