Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Norhizan Ismail berkata, jumlah kes tersebut menunjukkan peningkatan sehingga 24 peratus berbanding dengan 813 kes yang dilaporkan berbanding tempoh sama pada tahun 2013.

“Jumlah kematian akibat komplikasi denggi adalah sebanyak tujuh kematian iaitu di Kuala Muda (empat) dan Kulim (tiga) berban­ding hanya satu kematian di Padang Terap bagi tempoh yang sama pada tahun 2013.

“Terdapat tiga daerah yang menunjukkan pe­ningkatan kes berbanding tempoh yang sama tahun 2013 iaitu Kulim 230 peratus (172 kes berbanding 52 kes tahun 2013), Kuala Muda 177 peratus (413 kes berbanding 149 kes tahun 2013) dan Langkawi 77 peratus (23 kes berban­ding 13 kes tahun 2013),” katanya dalam satu kenya­taan di sini hari ini.

Menurut Norhizan, sepanjang tahun 2014, jumlah lokaliti wabak adalah 23 lokaliti iaitu Kuala Muda (10), Kota Setar (empat), Kulim (empat), Pendang (dua ), Sik (satu), Yan (satu) dan Padang Terap (satu ) berbanding 14 lokaliti seluruh Negeri Kedah bagi tempoh yang sama tahun 2013.

Tambah beliau, pihak Jabatan Kesihatan negeri telah melaksanakan tindakan pencegahan dan kawalan demam denggi dengan melakukan pemeriksaan pembiakan aedes ke atas 336,238 premis dan didapati sebanyak 6,804 premis mempunyai pembiakan jentik-jentik.

“Sebanyak 380,668 premis telah dibuat semburan untuk membunuh nyamuk. Sementara itu sebanyak 166,116 premis telah dibubuh abate bagi memusnahkan jentik-jentik aedes,” ujar­nya.

Norhizan memberitahu, orang ramai perlu bertanggungjawab menjaga kebersihan rumah dan tempat kerja masing-masing de­ngan memastikan bekas atau tempat yang boleh menjadi tempat nyamuk membiak perlu dimusnahkan.

“Tanggungjawab mencari dan memusnahkan tempat pembiakan nyamuk aedes adalah tanggungjawab bersama dalam masyarakat.

“Orang ramai juga disaran menyembur aerosol semasa waktu puncak gigitan nyamuk aedes iaitu waktu pagi dan senja di dalam rumah masing-masing bagi melindungi diri serta keluarga dari gigitan nyamuk aedes,” jelasnya