Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, KXP merupakan salah satu daripada enam projek pemangkin yang telah dikenal pasti untuk pertumbuhan ekonomi Kedah.

Beliau berkata, projek ikonik tersebut akan dapat menyemarakkan ekonomi rakyat terutamanya di kawasan luar bandar.

“Peluang pekerjaan berpendapatan tinggi tidak hanya akan ditawarkan oleh operasi KXP, tetapi juga oleh industri pembuatan dan perkhidmatan penerbangan yang akan ditempatkan bersebelahan dengan lapangan terbang tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-87 Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mukhriz berkata, seluruh kawasan antara Taman Teknologi Tinggi Kulim hingga ke KXP akan menjadi zon pembangunan untuk industri pembuatan dan perkhidmatan.

Jelasnya, keadaan itu berlaku kerana bakal wujudnya akses ke dunia luar melalui pembinaan KXP.
“Ini memberi secara tidak langsung memberi impak kepada percambahan peluang kerja dan perniagaan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, industri pelancongan negeri tersebut akan menerima suntikan baharu apabila tahun 2016 diisytiharkan sebagai Tahun Melawat Kedah.

“Kempen ini tentunya akan membuka ruang bagi meningkatkan hasil negeri dengan kunjungan lebih ramai pelancong tempatan dan asing ke negeri kita ini,” ujar­nya.