Pengarahnya, Mhd. Bookeri Md. Ludin berkata, teknik cantuman dewasa ini adalah Projek Pemulihan Ladang Mempelam Harumanis yang dilaksanakan oleh MARDI yang dikhususkan untuk pemilik ladang mempelam sala yang berminat untuk menghasilkan harumanis.
“Dalam projek ini peladang mempelam sala masih boleh menikmati hasil buah ini seperti biasa tetapi dalam masa yang sama boleh mengutip mempelam harumanis selepas setahun dengan teknik cantuman dewasa ini,” katanya di sini.
Mhd. Bookeri berkata, teknik cantuman dewasa ini mampu mengeluarkan hasil lebih cepat berbanding dengan penanaman anak pokok akan mengambil masa sehingga empat tahun untuk berbuah.
Beliau berkata, MARDI yakin teknik cantuman dewasa ini bakal menarik minat peladang mempelam Sala di negeri ini ekoran kejayaan projek rintis ini oleh Abdul Hamid Sharif, 68, dari Kampung Bilal Uduh, Chuping dekat sini.
Katanya, Abdul Hamid yang telah mengusahakan 460 pokok mempelam sala sejak 25 tahun lalu berminat menyertai projek ini selepas mendapati jualan harga sala di pasaran jauh lebih rendah berbanding harumanis.
Katanya, dengan bantuan MARDI akhirnya Abdul Hamid memulakan teknik ini ke atas 30 pokok mempelam sala.
“Pada tahun pertama iaitu 2012 beliau berjaya mendapat 150 biji dan 2014 pula 400 biji,” katanya.
Kejayaan Abdul Hamid ini kata Mhd. Bookeri telah menarik minat dua peladang mempelam Sala iaitu di Kampung Sentua, Utan Aji dan Simpang Empat untuk mencuba teknik ini sejak tahun lalu.
Sementara itu, ketika ditemui di ladangnya, Abdul Hamid yakin dengan teknik cantuman dewasa yang dilakukan ke atas lebih 200 pokok mempelam sala pada kali ini dijangka akan mampu mengeluarkan hasil sehingga satu tan.
“Saya melakukan sendiri teknik ini yang menggunakan tunas pokok mempelam harumanis untuk dicantumkan kepada ranting muda mempelam sala,” katanya.
Beliau berkata, bukan semua teknik cantuman dewasa itu berjaya tetapi beliau akan mengulanginya lagi dan berharap dalam tempoh setahun lagi kesemua 460 pokok mempelam salanya akan ‘berbuahkan’ harumanis.
Katanya, sekalipun harumanis menumpang hidup di pokok mempelam sala tetapi satu yang menakjubkan rasa buah ini masih kekal.