Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang itu tiba di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah (IPD SPT) di sini pada pukul 7 petang sebelum keluar pada pukul 8.15 malam.
Ketua Polis Daerah SPT, Asisten Komisioner Rusli Mohd. Nood ketika dihubungi berkata, Chong Eng telah dipanggil untuk direkodkan kenyataan dan wakil rakyat itu memberi kerjasama baik kepada pihak polis.
Chong Eng dalam satu kenya­taan menerusi portal pembangkang kelmarin mengkritik khutbah yang disediakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kononnya menyampaikan maklumat mengelirukan berhubung aurat wanita dalam khutbah Jumaat lalu yang bertajuk Aurat: Antara Kebebasan dan Maruah Diri.
Beliau mendakwa, penekanan JAIS mengenai aurat wanita adalah tidak tepat apabila dilihat ‘menghukum’ golongan tersebut atas kegagalan menutup aurat sehingga menyumbang kepada kes serangan seksual.
Tindakannya itu mendapat kritikan daripada pelbagai pihak termasuk Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria; Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor, Datuk Nooh Gadut dan Timbalan Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Datuk Mohd. Salleh Man.
Selain itu, beberapa badan bukan kerajaan (NGO) turut membuat laporan polis terhadap Chong Eng di IPD SPT petang semalam serta memberi amaran keras kepadanya supaya tidak mencetuskan ke­tegangan kaum dengan mengeluarkan kenyataan seumpama itu.
Dalam masa sama, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi status akaun Twitter beliau menegaskan polis akan me­n­yiasat Chong Eng mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan.