Bagi pertuduhan pertama, Mohamad Rosidi Othman, 36, didakwa memiliki dadah tersebut di alamat SB 479 Unit-8, Mukim 19, Kampung Tun Sardon, Bukit Mertajam pada pukul 11 pagi, 28 Januari lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau minimum lima tahun dan sebatan.
Timbalan Pendakwa Raya, S. Selvaranjini tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh. Hakim Julie Lack Abdullah kemudian menetapkan sebutan semula kes pada 16 Mac ini.
Sementara itu, di Mahkamah Sesyen berasingan, Mohamad Rosidi didakwa memiliki sebutir bom tangan di alamat yang sama pada pukul 8.45 pagi, 29 Januari lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 14 tahun dan sebatan tidak kurang enam kali.
Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi menetapkan 10 Mac untuk sebutan semula kes itu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Maziyah Mansor manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam bela turut tidak dibenarkan bebas dengan ikat jamin.
Memetik laporan akhbar, dalam kejadian 29 Januari lalu, serbuan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara (SPU) di sebuah rumah di Kampung Tun Sardon, Bukit Mertajam bukan sahaja menemukan sejumlah dadah tetapi juga sebutir bom tangan.
Bom yang dipercayai diseludup dari negara jiran itu ditemukan disimpan di dalam plastik berisi beras pulut yang disorokkan di dapur rumah milik suspek berkenaan dalam serbuan kali kedua pagi itu.
Terdahulu, suspek tersebut ditahan dalam serbuan pertama pada pukul 6 pagi, 28 Januari bersama seorang rakan lelakinya yang berusia 28 tahun.
Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Abdul Rahman Ibrahim berkata, serbuan itu dijalankan susulan daripada Ops Kesan Gelugor bagi mengesan tujuh tahanan yang melarikan diri dari kawalan polis ketika dalam perjalanan ke Mahkamah Butterworth pada 7 Januari 2013.