Headlines News :
Home » » Tiada penstrukturan semula bajet Perlis

Tiada penstrukturan semula bajet Perlis

Written By Warta Utara on Monday, February 2, 2015 | 9:55 PM

KANGAR 2 Feb. - Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berkata, tiada penstrukturan semula dalam Bajet 2015 negeri itu namun kerajaan negeri akan memberi penekanan terhadap usaha bagi mengatasi masalah banjir di kawasan terlibat.

Beliau berkata, pihaknya telah mengarahkan agensi terlibat seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk menaik taraf parit-parit sedia ada.

“Keutamaan perlu diberikan terhadap masalah ini (banjir) dan bagaimana kita mengurusnya secara jangka panjang termasuk mengubah minda orang ramai untuk menjaga parit,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan ucapan sempena Majlis Perhimpunan Bulanan Kakitangan Kerajaan negeri di Dewan Warisan di sini, hari ini.

Pada Disember lalu, Azlan memaklumkan, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM244.48 juta dalam Bajet 2015 bagi perbelanjaan mengurus dan pembangunan dengan matlamat mencapai visi Perlis Maju 2015.

Katanya, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM186.53 juta diperuntukkan untuk perbelanjaan mengurus menerusi pelaksanaan pelbagai program dan penyelenggaraan untuk kesejahteraan rakyat Perlis.

Sementara itu, dalam ucapannya, Azlan telah mengarahkan agensi kakitangan kerajaan negeri terlibat agar mencari jalan penyelesaian terbaik jangka panjang untuk menangani isu lambakan padi.

Kata beliau, kedua-dua isu berkenaan boleh menjejaskan penduduk dan golongan petani sekiranya tidak ditangani dengan berkesan.

“Antaranya adalah dengan mewujudkan simpanan stok bagi mengatasi lebihan padi. Justeru, kesemua padi dikeluarkan petani ini boleh dibeli dan tidak wujud lambakan.

“Jika di negara-negara maju, mereka mempunyai simpanan stok jika berlaku lambakan bijirin seperti gandum,” ujarnya lagi.
Share this article :

0 comments:

Speak up your mind

Tell us what you're thinking... !

 
Webmaster | Warta Utara Online
Proudly powered by Blogger
Copyright © 2014. Warta Utara Online - All Rights Reserved
PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER Warta Utara Online