Headlines News :
Home » » Mengapa umat Islam diuji dengan pelbagai ujian?

Mengapa umat Islam diuji dengan pelbagai ujian?

Written By Warta Utara on Sunday, February 1, 2015 | 8:51 PM

Oleh USTAZ ZAINUDIN HASHIM 


MUNGKIN itulah perkataan yang akan keluar dari mulut orang-orang Islam, lebih-lebih lagi mereka yang menjadikan Islam sebagai sampingan, iaitu apabila perlu kepadanya, maka ia diambil dan dipegang sekuat-kuatnya, dan apabila ia tidak diperlukan, ia diletakkan lebih rendah di bawah tapak kaki mereka.

Maka tidak mustahil, golongan seumpama itu, menerima ujian bala secara tunai daripada Allah SWT bagi memberi pengajaran kepada golongan manusia lain agar sentiasa berwaspada dengan tindak-tanduk yang tidak memperlihatkan menentang Allah, kerakuasan manusia dan penentangan mereka serta maksiat yang dilakukannya, adalah punca yang dikenal pasti bahawa Allah tidak teragak-agak untuk mengirim kepada mereka bala seperti yang berlaku di negara-negara umat Islam seperti tragedi Tsunami di Aceh pada 2004 yang melibatkan majoriti individu muslim.

Terbaru yang dapat kita saksikan dengan mata kepala kita sendiri, musibah banjir yang melanda Kelantan serta beberapa negeri Pantai Timur dan Barat. Ada soalan sinis datang dari mereka yang terlampau anti dengan Kelantan, kata mereka, Kelantan yang bersungguh untuk melaksanakan hukum ‘Hudud’ dilanda banjir, patut kalau sudah bersedia dengan hukum Allah, maka ia sepatutnya tidak dilanda banjir yang teruk dalam sejarah negara.

Kita katakan kepada mereka, menurut kira-kira ilmu dalam Islam, apabila Allah sayang kepada golongan tertentu, maka golongan tertentu itu sahaja yang akan mendapat rahmat-Nya, tetapi sebaliknya jika Allah marah, golongan yang disayangi-Nya dan yang dibenci-Nya semua terpalit dengan musibah atau ujian seperti Tsunami, banjir kilat, gempa bumi, ribut taufan dan sebagainya.
Persoalannya di sini, akibat suara-suara sumbang segelintir individu yang celupar mulut mereka dengan menghina pelaksanaan hukum ‘Hudud’ di Kelantan yang akan dilaksanakan nanti, maka Allah bayar tunai ujian banjir kepada mereka, maknanya yang baik kena dan yang tidak berapa baik pun kena ujian banjir.

Apa pun umat Islam harus sedar bahawa Allah sentiasa mengawasi dan memerhatikan mereka sepanjang masa, sesungguhnya rahmat Allah apabila diturunkan hanya tertumpu kepada orang-orang yang baik-baik sahaja tidak termasuk golongan yang jahat, adapun jika Allah mahu menurunkan bala-Nya, yang baik dan yang jahat akan samasama menerimanya, cuma yang membezakannya ialah orang yang baik mati dalam iman sementara yang jahat mati dalam penentangan terhadap Allah SWT.

Apakah sebenarnya peranan umat Islam di dunia ini ?

Sifat utama Umat Islam seperti yang didedahkan oleh al-Quran ialah mengajak manusia sejagat untuk melakukan perkaraperkara yang baik (makruf) dan meninggalkan perkara-perkara haram yang ditegah oleh agama Islam, ia bertujuan tidak lain agar mereka menjadi umat yang berjaya di dunia dan akhirat, pendedahan ini pernah disebut menerusi surah Ali ‘Imran ayat 104 yang bermaksud : Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari perkara mungkar, mereka itulah orangorang yang berjaya.
Umat Islam adalah sebaikbaik umat yang dilahirkan Allah ke muka bumi ini bagi mengajak manusia seluruhnya mengabdikan diri hanya kepada Allah SWT dalam erti kata yang cukup luas maksud dan pengertiannya.

Diuji dengan pelbagai ujian untuk jadi kuat dan matang 

Antara ujian yang disebut oleh al-Quran ke atas manusia ialah dengan menjadikan hidup dan mati itu sebagai ujian untuk mengetahui sejauh mana mereka benar-benar beriman kepada Allah (lihat ayat 2 surah al-Mulk dan ayat 2 dan 3 surah al-Ankabut).

Umat Islam diuji dengan kefarduan solat lima waktu, puasa sebulan di bulan Ramadan, menunaikan fardu haji di Makkah, berakhlak mulia, bersangka baik, meninggalkan segala tegahan dan larangan Allah dan sebagainya, ia tidak lain adalah untuk menjadikan mereka Umat yang berkualiti tinggi dari sudut keimanan, ketakwaan dan hubungan dengan Allah selaku Pencipta.

Tanpa ujian, sudah pasti umat manusia seluruhnya tidak mengetahui sejauh mana keimanan mereka itu kepada Allah, seperti mana para pelajar di sesebuah sekolah, mereka mesti melalui proses pembelajaran yang diakhiri dengan peperiksaan penting, sama ada di peringkat UPSR, PT3 atau SPM bagi menentukan tempat terbaik pembelajaran di peringkat yang lebih tinggi.

Kekuatan dan kematangan sesuatu umat bergantung kepada sejauh mana mereka diuji, sama ada melalui proses beribadat, melaksanakan segala tanggungjawab di hadapan Allah, menyuruh manusia berbuat baik, mencegah mereka dari melakukan kemungkaran dan bermacammacam ujian lain, ini semua adalah untuk memastikan umat itu maju dan kental dari sudut jati diri mereka.

Ujian adalah untuk mengingatkan umat tentang peranan dan tanggungjawab 

Rasulullah s.a.w ada menyebut dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Said daripada baginda Rasulullah bersabda: Umatku ini adalah umat yang disayangi (dikagumi) Allah, sepatutnya mereka tidak disiksa di akhirat, tetapi mereka diuji dengan pelbagai raptai ujian dan seksaan di dunia menerusi empat perkara,

1. Berlaku bermacam-macam fitnah terhadap agama (dilakukan sendiri oleh umat Islam),

2. Berlaku gempa bumi, ribut taufan, banjir kilat, tanah runtuh,

3. Kematian di mana-mana (sama ada kematian disebabkan kemalangan, bunuh diri, membunuh orang lain bagi menutup rasa malu dan lain-lain), umat ditimpa pelbagai bentuk bala daripada Allah.

4. Bala dalam pelbagai bentuk dan anggarannya.

Berdasarkan keterangan hadis Nabi Muhammad di atas, kita sepatutnya bersyukur kepada Allah kerana dikategorikan dalam golongan umat Nabi Muhammad yang banyak kelebihannya, kerana baginda sahajalah yang mampu memberi syafaat di akhirat dibandingkan dengan para Anbiya’ yang lain.

Namun apa yang patut kita sama-sama fikirkan ialah persoalan hidup kita semasa di dunia ini, pernahkah kita terfikir, bagaimana Nabi Muhammad mengkhabarkan mengenai raptai ujian atau seksaan di dunia ini atas kesilapan yang kita sendiri lakukan. Sesungguhnya bencana yang sedang melanda ketika ini adalah ujian dari Allah SWT untuk menunjukkan kekuasaannya agar dijadikan iktibar oleh semua umat Islam. Sesungguhnya ini merupakan ujian besar Allah yang tentunya ada hikmah bagi kita semua untuk bermuhasabah dan menjadikan kita hamba yang lebih beriman dan bertakwa.

Atas kealpaan manusia bernama Islam, yang melakukan banyak tindakan yang menyalahi agama, hingga ia dianggap fitnah terhadap Islam itu sendiri, sebagai contoh, berapa ramai dalam kalangan wanita Islam yang tidak bertudung kepala (hijab) dianggapnya dosa kecil, ada yang berjudi, minum arak, merogol keturunan sendiri, meragut, membunuh dan bermacammacam jenayah lagi, kesemua itu adalah fitnah kepada Islam.

Justeru, apabila umat Islam sendiri terlibat dengan fenomena fitnah, maka tidak mustahil Allah SWT menimpakan pelbagai bentuk malapetaka dan bala yang tidak terduga oleh akal manusia, kalau di zaman dahulu Allah timpakan bala seperti belalang, kutu, katak, darah yang menggerunkan pada ketika itu, pada hari ini Allah hukum dengan selsema burung, penyakit kuku, tangan, kaki dan mulut, Aids dan macam-macam lagi yang menyebabkan manusia takut dan pasrah terhadap hukuman-Nya.

Antara bala yang ditimpakan Allah ke atas umat Islam kini ialah kematian, sama ada yang disebabkan oleh kemalangan atau pembunuhan, laporan akhbar setiap hari menyebut mengenai kes-kes kematian, ini menandakan bahawa Allah sedang merancang sesuatu untuk menghukum kita yang alpa dengan habuan dunia yang menjauhkan diri kepada-Nya.

Sebenarnya ujian yang kita terima dan sedang berhadapan dengannya, adalah tidak lain untuk mengingatkan kepada asal kejadian kita, iaitu untuk beribadat kepada-Nya, apabila kita diuji dalam keadaan taat dan mati kerananya, maka kita sedang melakukan perkara yang salih, tetapi sebaliknya apabila kita mati dalam keadaan maksiat dan menentang Allah, dikhuatiri kematian kita itu menjadi kutukan di sisi Allah SWT, justeru, marilah kita sama-sama menginsafi diri dan banyak melakukan muhasabah kepada Allah.

Share this article :

0 comments:

Speak up your mind

Tell us what you're thinking... !

 
Webmaster | Warta Utara Online
Proudly powered by Blogger
Copyright © 2014. Warta Utara Online - All Rights Reserved
PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER Warta Utara Online