Headlines News :
Home » » Cicakman 3: Lisa, Zizan kembali bersatu

Cicakman 3: Lisa, Zizan kembali bersatu

Written By Warta Utara on Sunday, February 1, 2015 | 8:31 PM

SETELAH cemerlang dengan filem Cicakman pada tahun 2006 dan Cicakman 2 (2008), KRU Studios kini kembali dengan filem Cicakman 3


Lebih istimewa lagi, trilogi filem ini menyaksikan gabungan dua pengarah terkemuka tempatan, Yusry Abdul Halim dan Ghaz Abu Bakar, serta kolaborasi studio-studio gergasi tanah air KRU Studios, Grand Brilliance dan Astro Shaw sebagai penerbit bersama.

Bukan itu sahaja, filem ketiga ini juga digarap dengan nafas baharu menyaksikan gabungan mantap barisan pelakon popular seperti Zizan Razak, Lisa Surihani dan Fizz Fairuz.

Dengan gandingan tersebut, tidak mustahil filem ini bakal mempunyai kelompok peminat baharu apabila ia mula ditayangkan pada 12 Mac ini.

Berkongsi pengalaman bekerjasama di dalam satu filem, Lisa berkata, Cicakman 3 merupakan gandingan keduanya bersama Zizan selepas filem Kapoww, lima tahun lalu.

“Dalam filem ini, saya membawakan watak sebagai Linda, isteri kepada Man, yang dilakonkan oleh Zizan.
“Dari segi keserasian memang tak sukar untuk kami dapatkan kerana kami banyak berbincang dan pernah bekerjasama.

"Cuma ada ketika bila melibatkan babak marah agak sukar dilakukan kerana saya tidak dapat menahan ketawa,” katanya kepada Zass ketika ditemui pada pelancaran filem Cicakman 3 di Pavilion, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Biarpun bekerja di bawah dua orang pengarah, akui Lisa, dia tidak mempunyai masalah besar sepanjang sesi penggambaran.

“Pada mulanya memang keliru sedikit apatah lagi bila pengarah itu suami (ketawa). Tapi saya boleh bawa kerja pulang ke rumah dan bertanya dengan Yusry,” ujarnya.

Sama seperti Lisa, Zizan berkata, kedua-dua pengarah sangat bersikap terbuka dalam melontarkan pendapat dan menerima pendapat daripada pelakon lain.

“Ketika menerima tawaran filem ini, soal pembayaran bukan perkara yang saya utamakan. Tetapi saya tertarik kerana Cicakman 3 adalah kisah pewaris Cicakman.

“Perkara paling menyeronokkan sepanjang bekerjasama dengan Ghaz dan Yusry adalah mereka sentiasa terbuka dan saya pula suka memberikan pendapat tentang apa yang saya suka dan tidak suka mengenai Cicakman sebelum ini dan mereka menerima pendapat saya,” katanya.

Mengakui pernah mengimpikan untuk terlibat dalam produksi Cicakman, Zizan berkata, dia tidak sangka impiannya itu kini menjadi kenyataan.

“Ketika filem pertama Cicakman ditayangkan saya memang pergi tengok kerana pertama, saya meminati Saiful Apek dan kedua kerana filem ini merupakan naskhah yang baharu dalam industri filem kita.

“Walaupun tak banyak aksi yang dapat saya lakukan kerana tidak mendapat kebenaran Yusry, tapi saya tetap berpuas hati dengan keseluruhan filem ini,” ujarnya yang turut mendapat kecederaan ringan ketika penggambaran.
Share this article :

0 comments:

Speak up your mind

Tell us what you're thinking... !

 
Webmaster | Warta Utara Online
Proudly powered by Blogger
Copyright © 2014. Warta Utara Online - All Rights Reserved
PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER Warta Utara Online