Mohd. Kazim tiba di balai ber­kenaan kira-kira pukul 9.40 pagi dan mendapat sokongan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang setia menunggu beliau di luar pekarangan balai tersebut.
Mohd. Kazim bagaimanapun enggan memberi kenyataan kepada media dan dilihat meninggalkan pekarangan balai polis itu kira-kira pukul 10.10 pagi.

Semalam, satu laporan polis dibuat oleh Pengerusi Persatuan Penduduk Kampung Jambu, Tumpat, Kelantan, Pui Tiong Lam, di Balai Polis Wakaf Bharu, Tumpat mendakwa rakaman video ceramah Mohd. Kazim yang berdurasi 2 minit 27 saat itu seolah-olah mahu mengaibkan kaum Cina.

Dalam pada itu, Ketua Wira Perkasa Malaysia, Irwan Fahmi Ide­ris yang ditemui memberitahu, pertubuhan itu datang memberi sokongan kepada Mohd. Kazim ke­rana berpendapat beliau tidak me­lakukan apa-apa kesalahan.

Katanya, rakaman video yang disebarkan menerusi laman sosial itu me­rupakan ceramah Mohd. Kazim yang diadakan enam tahun lalu dan mempersoalkan motif pihak tertentu yang bertanggungjawab menyebarkannya.

“Sesiapa sahaja bebas untuk membuat laporan polis, tetapi saya ingin tegaskan di sini bahawa tuduhan yang dibuat telah mengundang pandangan buruk masyarakat terhadap Mohd. Kazim.

“Perkara ini secara langsung memberi gambaran seolah-olah ceramah agama Islam dipenuhi dengan cemuhan serta penghinaan terhadap kaum lain. Dia telah memutarbelitkan apa yang cuba di­sampaikan oleh Mohd. Kazim dan ini boleh mengundang keresahan dalam kalangan masyarakat, khususnya umat Islam,” katanya.

Ketua Penerangan Majlis Ayahanda-Ayanhanda Perak, Datuk Halim Ramli pula meminta pihak terbabit menonton sepenuhnya rakaman ceramah berkenaan yang berdurasi satu jam setengah.
Katanya, apa yang disebarkan hanyalah sedikit daripada rakaman ceramah itu.

“Kalau tonton ceramah sebenarnya, Mohd. Kazim menjelaskan mengenai pengorbanan anggota keselamatan yang majoritinya Melayu dan Islam dalam menjaga kesela­matan tanah air.

“Jangan hanya menilai beliau dan membuat tuduhan melulu berdasarkan rakaman lebih dua minit yang disebarkan di laman sosial itu. Tonton vi­deo penuh terlebih dahulu,” ujar beliau.