Headlines News :
Home » » 4 beradik hidup serba kekurangan

4 beradik hidup serba kekurangan

Written By Warta Utara on Saturday, March 7, 2015 | 4:09 PM

ARAU - Terpaksa tinggal di rumah tidak berpintu dan tiada kemudahan elektrik serta air, itulah nasib empat adik beradik berusia 12 hingga 20 tahun yang hidup sebatang kara sejak perpisahan ibu bapa mereka lapan tahun lalu.

Faizah Norhairi, 12; Nor Azwa, 14; Nor Faez, 16, dan Nor Atikah, 20, meneruskan kehidupan mereka tanpa kasih sayang ibu bapa, sebaliknya hanya menumpang kasih nenek dan datuk yang tinggal berdekatan rumah mereka di Kampung Bakong, Behor Mengkuang, di sini.

Menurut Nor Atikah, neneknya Hawa Man, 65, bekerja sebagai pembantu kantin sekolah dengan pendapatan RM35 sehari bagi menyara kehidupan mereka.

“Setiap hari nenek akan ke sekolah awal pagi dan membeli nasi lemak untuk kami makan. Kemudian kami akan makan di sebelah petang pula sementara menunggu nenek pulang dari kerja.

“Jika lapar kami akan masak sendiri di rumah, kadang-kadang kami  tumpang makan di rumah bapa saudara,” katanya ketika ditemui di rumah mereka, semalam.

Dengan beralaskan tilam lusuh, empat beradik ini tidur menghabiskan malam mereka.

Keperitan itu juga jelas terlihat apabila mereka hanya mempunyai beberapa helai pakaian untuk dipakai.

Nor Atikah berkata, ibu bapanya menjenguk mereka empat beradik sekali sekala setelah masing-masing berkahwin lain.

Bagaimanapun, menurutnya, saudara-mara yang tinggal berhampiran selalu mengambil berat, terutama soal makan dan minum mereka.

“Alhamdulillah kami tidak mempunyai masalah untuk makan, cuma keadaan rumah ini agak teruk dengan atap yang bocor serta tiada kelengkapan lain.

“Bagaimanapun kami selesa tinggal di rumah ini walaupun terkena panas dan hujan,” katanya

Sementara itu, bekas Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan kampung berkenaan, Che Tom Ahmad, 56, berkata, pihaknya mendapatkan bantuan dari Baitulmal negeri untuk membaik pulih rumah tersebut tahun lalu namun rumah itu kembali rosak.

“Empat beradik ini sangat perlukan perhatian. Malah, penduduk di kampung ini selalu membantu mereka namun adalah lebih penting jika diberikan pendidikan bagi menjamin masa depan mereka.

“Buat masa ini hanya Faizah yang bersekolah, jadi saya harap ada pihak yang dapat membantu empat beradik ini supaya mereka mendapat kehidupan yang lebih sempurna selepas ini,” katanya.
Share this article :

0 comments:

Speak up your mind

Tell us what you're thinking... !

 
Webmaster | Warta Utara Online
Proudly powered by Blogger
Copyright © 2014. Warta Utara Online - All Rights Reserved
PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER Warta Utara Online