Headlines News :
Home » » Rindu ketawa, senyuman Mak Su

Rindu ketawa, senyuman Mak Su

Written By Warta Utara on Saturday, March 7, 2015 | 4:10 PM

KUALA KEDAH - Senyuman tawa gadis periang, Zunita Aziz, 26, kini hanya tinggal kenangan setelah dia terlantar sakit akibat penyakit saraf di rumahnya di Taman Sri Putra, dekat sini.

Menurut kakaknya, Zaeza Aziz, 33, anak bongsu dari enam beradik berkenaan hanya mampu terbaring lesu di katil dengan saluran tiub tidak lekang dari tubuh.

“Lima tahun lalu, adik yang mesra dengan panggilan Mak Su akan ketawa setiap kali menonton televisyen. Malah, kami kerap bergurau senda bersamanya.

“Sebelum ini, dia masih mampu duduk dan makan melalui mulut. Namun, Mak Su hanya terlantar di katil tidak mampu bergerak ataupun bercakap sejak kesihatan merosot,” katanya.

Zaeza berkata, adik bongsunya itu dipercayai mewarisi penyakit saraf genetik seperti arwah ibunya, Bedah Mat dan abang sulung mereka.

Disebabkan itu, katanya, walaupun ayahnya, Aziz Hashim, 78, sudah berusia, namun dia gigih mencari rezeki bagi menampung perbelanjaan mereka sekeluarga.

Katanya, pendapatan suaminya, Zakaria Ahmad, 35, sebagai nelayan hanya cukup-cukup makan, maka ayahnya bekerja menahan air bot dengan upah RM16 sehari demi menampung keperluan mereka.

Biarpun memiliki masalah jantung, namun Zaeza tetap menjalankan perniagaan kecil-kecilan di hadapan rumah untuk meringankan beban ayah dan suaminya.

"Saya terpaksa berhenti berniaga apabila tidak sihat akibat diserang penyakit gout dan memberi tumpuan sepenuhnya menjaga Zunita," katanya.

Katanya, adiknya turut menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM300 sebulan.

"Barang keperluan adik mencecah lebih RM1,000 sebulan, seperti 10 tin susu, lampin pakai buang, kapas dan ubat sapu, namun kami tidak berkemampuan.

“Saya mengharapkan bantuan terutamanya segi keperluan susunya. Malah, seandainya Mak Su sudah mampu tersenyum seperti dahulu, ia sudah memadai bagi saya,” katanya.

Tambahnya, dia cuba menunaikan amanah arwah ibunya yang meninggal dunia pada 2007 akibat penyakit sama, iaitu menjaga adik sebaik mungkin.

*** Bagi mereka yang ingin meringankan beban penderitaan keluarga Zunita boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun Agro Bank Zakaria Ahmad (2-00-5071-00011331-1) ataupun menghubungi talian 012-531 3570.
Share this article :

0 comments:

Speak up your mind

Tell us what you're thinking... !

 
Webmaster | Warta Utara Online
Proudly powered by Blogger
Copyright © 2014. Warta Utara Online - All Rights Reserved
PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER Warta Utara Online