Kebimbangan itu disuarakan Penang Heritage Trust (PHT) berikutan semakin ramai penduduk dan penyewa di dalam bandar Georgetown diarahkan berpindah dari kediaman atau premis perniagaan masing-masing.

Terbaharu, seramai enam peniaga di Lorong Cheapside, Lebuh Chulia di sini, diarahkan mengosongkan kediaman dan kedai mereka oleh pemaju selewat-lewatnya hujung bulan ini.

Apa yang menyedihkan, mereka yang merupakan pengusaha kedai perkakasan (hardware), barangan elektrik dan kedai kunci sudah berniaga dan menetap di kawasan itu sejak hampir 100 tahun lalu.

Presiden PHT, Khoo Salma Nasution   berkata, isu penyewa kedai yang diarahkan berpindah oleh tuan tanah kerana dipercayai menjualnya kepada pemaju bagi tujuan projek komersial semakin membimbangkan di Georgetown.

Menurutnya, selain peniaga di Lorong Cheapside, beberapa peniaga lain di Jalan Kuala Kangsar dan Chulia Lane turut diarahkan berpindah selepas berpuluh-puluh tahun mengusahakan perniagaan di kawasan itu.

Antara perniagaan tradisional yang lenyap awal tahun ini tambahnya, adalah perniagaan gubahan bunga dan kedai rotan masing-masing di Jalan Kapitan Keling dan Beach Street di sini.

Jelas beliau, keadaan itu jika berterusan akan menghilangkan identiti dan nilai sejarah terhadap bandar raya Georgetown yang mana menjadi antara ciri-ciri yang membolehkan bandar raya tersebut disenaraikan sebagai bandar warisan.

“Sejak 2009 sehingga 2013 juga, kita mendapati jumlah penduduk di kawasan bandar raya warisan ini berkurang daripada 10,159 orang kepada 9,425 orang.

“Bilangan keluarga juga berkurang daripada 2,533 kepada 2,302, menunjukkan banyak penduduknya sudah berpindah dari bandar raya ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut beliau, pengurangan penduduk itu juga akan mempe
ngaruhi status Georgetown sebagai bandar warisan kerana turut menyebabkan amalan hidup tradisio
nal masyarakatnya tidak lagi di
amalkan secara meluas.

Lebih menyedihkan katanya, bandar raya Georgetown menyaksikan peningkatan jumlah warga asing yang bekerja di tapak-tapak projek komersial.

“Bagi pelancong asing, apabila Georgetown diisytiharkan sebagai bandar warisan dunia, mereka mahu melihat ciri-ciri tradisional di sini sama ada yang dipamerkan menerusi amalan hidup masyarakatnya atau keunikan seni bina bangunannya.

“Namun apabila banyak ba
ngunan lama di sini diubah suai menjadi bangunan komersial dan penduduknya dipindahkan, lama-kelamaan Georgetown akan dijauhi pelancong asing,” katanya.
Dalam kes arahan berpindah oleh tuan tanah kepada penyewa di Georgetown kata beliau, satu enakmen sepatutnya diwujudkan bagi melindungi peniaga-peniaga itu supaya dapat meneruskan kehidupan dan mata pencarian mereka di kawasan tersebut.

Menurutnya, enakmen itu perlu bertindak bukan setakat menghalang peniaga tersebut daripada diusir, malah dilindungi daripada kenaikan kadar sewa tidak munasabah memandangkan mereka mengusahakan perniagaan secara tradisional.

"Sehubungan itu, kita berharap kerajaan negeri, Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan pemilik bangunan di dalam bandar raya Georgetown mengadakan dialog bagi mengatasi masalah ini, sekali gus memastikan status tapak warisan dunia dapat dipertahankan," katanya.