Titah baginda, usaha bersama itu boleh dilaksanakan melalui promosi, pendedahan dan perkongsian maklumat yang memberi gambaran jelas mengenai landskap pembelajaran di kedua-dua universiti itu.

Raja Muda Perlis bertitah, keputusan kerajaan Aceh menaja rakyatnya yang berkelayakan menyambung pengajian ijazah sarjana muda di UniMAP bermula tahun ini akan membuka lebih banyak ruang meningkatkan kerjasama kedua-dua pihak.

“UniMAP akan menggunakan tenaga pakar akademiknya membantu penganjuran seminar, penyelidikan dan penulisan artikel ilmiah oleh pensyarah UUI, termasuk menerbitkan kertas kerja penyelidikan untuk dikemukakan kepada jurnal terindeks seperti itu,” titah baginda.

Syed Faizuddin yang juga Canselor UniMAP bertitah selepas merasmikan sebuah bangunan tiga tingkat yang diberi nama ‘Gedung Perkuliahan Tarmizi bin Ayus’ di kampus utama UUI, Banda Aceh, Indonesia, baru-baru ini.

Hadir sama Ketua Yayasan Ubudiyah, Dedi Zefrizal dan Rektor UUI, Marniati M. Kes. Ke­nyataan baginda dikeluarkan oleh pejabat Canselor UniMAP di sini.

Titah Tuanku Syed Faizuddin, UniMAP akan membantu menyusun semula kurikulum bersangkutan program yang ditawarkan oleh UniMAP dan menambah baik proses pengajaran serta pembelajaran di UUI berdasarkan kaedah dan amalan UniMAP.

“Bantuan ini diteruskan dengan meningkatkan penglibatan bersama dalam bidang penyelidikan antara UniMAP dengan UUI selain tenaga pengajar UniMAP memberi syarahan atau kuliah di UUI dari semasa ke semasa,” titah baginda.

Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof. Dr .Kamaruddin Hussin ialah penasihat kepada UUI yang dilantik tahun lepas bagi membantu membangunkan sistem akademik yang efisien dan sistematik ke arah menjadikan UUI sebagai Universiti Siber Berkelas Dunia menjelang 2025.

Pada majlis itu, Tuanku Syed Faizuddin berkenan menyempurnakan majlis pecah tanah pembinaan sebuah kincir angin sumbangan anak Perlis, Tariq Husni yang merupakan pengurus projek di Mechanical Training Solutions Sdn. Bhd. Malaysia, kepada UUI. – BERNAMA