Headlines News :
Home » » Pemilihan Pas: Jaga emosi ketika kempen

Pemilihan Pas: Jaga emosi ketika kempen

Written By Warta Utara on Monday, March 2, 2015 | 10:38 PM

KUALA LUMPUR - Calon yang bertanding pada pemilihan Pas diminta menjaga emosi dan tidak melakukan perkara yang boleh memburukkan imej parti dalam kempen mereka, kata Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Pas Dr Dzulkefly Ahmad.
 
Beliau berkata, para perwakilan pula diharap membuat keputusan bijak dalam memilih barisan pimpinan baharu menjelang Muktamar Pas yang dijangka berlangsung awal Jun ini.
  
"Saya sebagai pimpinan Pas Pusat sangat positif bahawa perwakilan akan bijak membuat pemilihan kerana mereka menilai kami (jika dicalonkan) berdasarkan kesungguhan dan pengorbanan kami, bukan hanya berdasarkan cakap-cakap," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Pas di sini, hari ini.
 
Katanya, tumpuan utama kini adalah memperkukuhkan parti dengan barisan pimpinan baharu untuk berdepan dengan pilihan raya umum akan datang.
  
Semua Pas bahagian diberi masa mengadakan mesyuarat agung tahunan bermula 1 Mac sehingga 21 April ini dan seterusnya membuat pencalonan bagi 27 jawatan peringkat pusat kepada Jawatankuasa Pemilihan Pas Pusat bagi sesi 2015/2017.
 
Sementara itu Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin berkata memang wujud perbezaan pendapat dalam parti itu menjelang musim pemilihan dan menganggap perkara itu sebagai 'friendly game' atau perlawanan persahabatan antara semua pimpinan.
  
"Kadang kala dalam perlawanan persahabatan pun ada yang main kasar biasalah ...tapi tiada apa yang perlu dibimbangkan," katanya.
  
Terdahulu dalam sidang media, Mohamed Hanipa yang juga peguam Pas berkata portal milik parti itu, Harakahdaily bersedia ke mahkamah sekiranya disaman oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
  
Najib yang diwakili peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun, menyerahkan surat tuntutan undang-undang kepada Pengarah Urusan Harakah, Dr Rosli Yaakop pada Khamis lepas sebagai mengambil tindakan undang-undang atas kapasiti peribadi kerana didakwa memfitnah beliau dalam laporan bertajuk, ‘Dana 1MDB biayai syarikat filem Riza Aziz?’. - Bernama
Share this article :

0 comments:

Speak up your mind

Tell us what you're thinking... !

 
Webmaster | Warta Utara Online
Proudly powered by Blogger
Copyright © 2014. Warta Utara Online - All Rights Reserved
PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER Warta Utara Online