Oleh Timmy Say
 Tahun 2017 ialah tahun yang penuh tak tersangka.
Siapa sangka Tun Dr Mahathir Mohamad diangkat menjadi calon perdana menteri oleh musuh-musuhnya dahulu?
Siapa sangka Datuk Seri Najib Razak bukan sahaja dapat menyelamatkan 
diri daripada dibenam skandal 1MDB malah mengukuhkan kedudukannya dan BN
 untuk memenangi 2/3 majoriti di pilihan raya umum ke-14?
Siapa sangka isu 1MDB yang sebegitu panas dapat dihambarkan sebegitu 
rupa sedangkan di awal 2017 kita dikejutkan dengan pertelingkahan antara
 1MDB dan IPIC?
Siapa sangka tamatnya isu 1MDB timbul pula isu Felda kehilangan 
tanahnya yang jauh lebih menyengat daripada 1MDB di penghujung 2017?
Siapa sangka mulai tahun ini Proton dikendali oleh syarikat milik China iaitu Geely?
Siapa sangka tahun ini artis tempatan turut tampil meluahkan mengenai kenaikan kos hidup di media sosial?
Pada 2017, dunia politik sangat terasa kehilangan Datuk Ahmad Maslan 
yang kini sunyi sepi. Dalam ketegangan politik negara yang penuh dengan 
cacian dan maki hamun, kebolehan Ahmad dalam memberikan kenyataan yang 
bersifat jenaka politik sekali sekala sangat dirasai.
Di dalam dunia politik yang penuh merapu tahun ini, negara terasa 
sangat dengan kehilangan seorang pemimpin politik yang efektif dan 
serius – Tan Sri Adenan Satem bekas ketua menteri Sarawak.
Keberanian dan kelantangan beliau dalam memimpin isu Sarawak begitu menyemat hati.
Bilakah rakyat Malaysia boleh mendapat lagi seorang pemimpin sedemikian?
Kalau separuh menteri kabinet kita memiliki separuh kewibawaan 
Allahyarham, sudah tentu rakyat Malaysia akan terasa aman hati dengan 
pentadbiran negara.
Selain itu, 2017 juga penuh dengan peristiwa yang menyayat hati.
Kehilangan Pastor Raymond Koh bersama 4 individu lain yang sehingga 
kini tiada jawapan angkara siapa, diikuti oleh pembunuhan tragis 21 
pelajar tahfiz dan 2 orang dewasa yang dibakar hidup-hidup akibat kerja 
khianat, dan ribut bersejarah yang membawa banjir menenggelamkan Pulau 
Pinang serta mendedahkan betapa botaknya sebilangan bukit-bukit di Pulau
 Pinang, sehingga ketua menterinya terpaksa mengalirkan air mata meminta
 bantuan daripada timbalan perdana menteri.
Tahun ini juga merupakan tahun kontroversi yang banyak melibatkan isu
 kesensitifan agama dan kaum. Dobi Muslim, larangan bertudung pekerja 
hotel dan festival arak.
Selain isu 1MDB, Malaysia sekali lagi menjadi fokus antarabangsa ekoran insiden Kim Jong Nam dibunuh di klia2.
Tahun 2017 juga menyaksikan pertarungan baharu antara Dr Mahathir dan para Sultan ekoran kenyataannya mengenai lanun Bugis.
Selain itu, rakyat disajikan dengan rentetan sejarah skandal forex di
 zaman Dr Mahathir melalui Suruhanjaya Diraja yang bersidang pada Ogos 
lalu yang hasil siasatannya menuding kepada Dr Mahathir, Datuk Seri 
Anwar Ibrahim dan bekas menteri kewangan Tan Sri Nor Mohamed Yakcob 
sebagai orang yang bertanggungjawab terhadap skandal itu.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pula kelihatan semakin 
garang di 2017 apabila ia menahan beberapa nama besar seperti Tan Sri 
Isa Samad dan Datuk Seri Shafie Apdal untuk disoal siasat untuk beberapa
 hari lamanya. Cuma setakat ini, masih tiada pendakwaan yang dilakukan.
Menariknya di sebalik kecekapan SPRM ini, pesuruhjaya SPRM terpaksa menghadapi serangan peribadi yang mengaibkan.
Semalam, 2017 hampir mencatat sejarah lagi apabila Dr Mahathir 
mengambil keputusan untuk memohon maaf atas dosa beliau yang lalu. Namun
 selepas beberapa jam, rupa-rupanya Dr Mahathir berkata permohonan maaf 
beliau hanyalah sekadar budaya orang Melayu.
Barangkali maksud Dr Mahathir ialah permohonan maaf beliau sekadar 
seperti ucapan maaf zahir dan batin sempena sambutan Hari Raya.
Begitulah memori saya terhadap 2017. Bagaimana pula dengan 2018?
Ramai menjangka PAS akan kalah teruk di PRU14, apakah ia akan menjadi kenyataan?
Ramai berharap Najib dan BN dapat ditewaskan, apakah ia akan menjadi kenyataan?
Ramai yang menjangka Dr Mahathir mampu menarik undi untuk membantu 
Pakatan Harapan mengalahkan BN dalam perang tiga penjuru, apakah ia akan
 menjadi kenyataan?
Rakyat diberitahu GST tidak akan dinaikkan sekiranya BN menang, apakah ia akan menjadi kenyataan?
Tahun ini mengalahkan sangkaan ramai dengan teruk sekali. Apakah ia berulang di 2018? Tunggu dan lihat.
 


 
 
 
 
 
 
 
 

0 comments:
Speak up your mind
Tell us what you're thinking... !