Oleh Arham Merican
Kenyataan Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa anggota Kabinet
hendaklah dipacu orang Islam dan bangsa paling berpengaruh, adalah
pandangan politik peribadi beliau, bukannya berasaskan dalil syariah
yang jelas.
Pandangan beliau yang menukilkan pandangan Imam Mawardi tentang hak
zimmi dalam pentadbiran dengan tafsiran di luar konteks, seolah-olah
menyatakan bahawa bukan Islam di Malaysia adalah golongan kelas kedua.
Malah ramai dalam kalangan orang Islam di Malaysia mempunyai salah faham dengan konsep Zimmi.
Tanggapan Zimmi sebagai masyarakat kelas kedua dalam sesebuah
pentadbiran Islam dahulu adalah pandangan syaaz (pelik) dan dipopularkan
oleh majoriti orientalis. Ia bercanggah dengan prinsip umum Islam yang
menjamin karamah insaniah (kemuliaan manusia) dan hak sama rata manusia.
Dalam sejarah Islam, golongan ini diberi peluang memegang jawatan
kerajaan kecuali jawatan yang memang lansung berkaitan dengan keagamaan
seperti imam dan khatib. Mereka terlibat dalam penentuan dasar negara
keseluruhannya tetapi tidak terlibat dalam hal ehwal keagamaan rakyat
umat Islam.
Malah terdapat dalam sejarah terutamanya zaman Abbasiyah, rakyat
Kristian dan Yahudi dilantik menjadi menteri dan gabenor di wilayah
Islam seperti Nasar Harun, Isa Qasturas, Abu Saad Tastari, Bahram Armani
dan lain-lain.
Walaubagaimanapun, majoriti ulama pada zaman ini seperti Yusuf
Al-Qaradawi, Ali al-Qaradhagi, Ben Bayyah, Rached Ghannouchi, Ahmad
al-Raysuni, Muhammad Imarah, Tariq Ramadan dan lain-lain sepakat bahawa
konsep Zimmi telah tidak wujud kerana wujudnya perbezaan konsep dan
konteks kenegaraan.
Konsep ini diganti dengan konsep Muwathonah (kewarganegaraan) yang
memberi hak sama rata kepada semua warganegara selagimana mereka
mengiktiraf Perlembagaan termasuk hak untuk mengundi dan diundi di dalam
pilihan raya.
Malah, menurut Qaradawi dan Qaradhagi, pembayaran jizyah (cukai
dikenakan ke atas bukan Islam) tidak perlu diperjuangkan lagi dan perlu
dihapuskan sekiranya bukan Islam terlibat dalam tugas mempertahankan
negara, contohnya mereka menganggotai pasukan polis atau tentera.
Al-Qaradaghi yang juga setiausaha agung Kesatuan Ulama Islam Sedunia
juga menulis dalam kitabnya, Nahnu wa Akhar, bahawa konsep “Wizarah
Tafwidh” dan “Wizarah Tanfiz” yang dipopularkan Imam Mawardi perlu
difahami secara teliti kerana konsep negara pada hari ini adalah negara
yang mempunyai perlembagaan di mana perdana menteri juga boleh
dikategorikan sebagai Wizarah Tanfiz.
Semua pihak khususnya agamawan jangan terlalu mudah menggunakan teks
zaman dahulu dalam konteks keadaan zaman sekarang yang bakal menyebabkan
salahfaham berterusan terhadap Shariah dan Islam.
Selain itu semua pihak harus memainkan peranan bagi mengelakkan
perpecahan, menyebarkan rahmah, dan mengekalkan keharmonian hidup
bersama selaku rakyat Malaysia.
Arham Merican mewakili kumpulan advokasi syariah, Siasah Rahmah.
0 comments:
Speak up your mind
Tell us what you're thinking... !