Ketuanya, Khairul Shahril Mohamed berkata, tindakan yang dikenal pasti telah dirancang oleh Mahathir sejak dahulu lagi itu sama sekali boleh menjejaskan proses demokrasi negara yang dipertahankan dirinya sendiri semasa memerintah negara selama 22 tahun.
“Kita amat terkilan dan pada masa sama, bersimpati terhadap Perdana Menteri kerana tindakan itu sekali gus boleh menjejaskan kestabilan dan proses demokrasi negara khususnya kepada anak muda untuk menjalankan kehidupan sebagai warga Malaysia.

“Tindakan beliau (Mahathir) telah dilaporkan dalam beberapa laporan media sebelum ini dan kali terakhir ialah sewaktu berucap dalam Perhimpunan Agung Pertubuhan Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang mana beliau mengakui fokus dirinya adalah untuk menjatuhkan Najib sebagai Perdana Menteri,” katanya.

Khairul Shahril berkata demikian kepada pemberita selepas bersama beberapa wakil Pemuda UMNO Perak membuat laporan di Balai Polis Sungai Senam di sini, hari ini.

Sehubungan itu, beliau berharap pihak berkuasa bukan sahaja menyiasat, malah mengambil tindakan yang sewajarnya ke atas Mahathir selain menggesa Pengerusi PPBM itu untuk menghentikan gerakan sedemikan.

Selain itu, beliau turut menjangkakan lebih banyak laporan polis akan dibuat oleh pemimpin UMNO di peringkat bahagian di negeri ini serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) selepas mereka mula menyedari tindakan Mahathir yang disifatkan sebagai cukup berbahaya.

“Namun begitu, pada masa sama, kita juga amat bersimpati terhadap Mahathir kerana negarawan yang sepatutnya disanjung itu telah meletakkan dirinya sendiri di tempat yang tidak sewajarnya,” katanya.