Headlines News :
Home » » Benarkah Melayu P Pinang dipinggirkan?

Benarkah Melayu P Pinang dipinggirkan?

Written By Warta Utara on Wednesday, May 7, 2014 | 8:55 PM

Oleh WAN NORDIN WAN YAACOB 

SEJAK dua penggal pilihan raya, isu peminggiran hak dan tanah Melayu di Pulau Pinang dicanang
deras oleh akhbar-akhbar pro-Umno menyebabkan ramai pesimis dengan pemerintahan Pakatan Rakyat.
Dakyah bahawa Pulau Pinang telah diperintah oleh kaum Cina dan seterusnya kaum Melayu dihalau daripada negeri itu menjadi senjata utama Gerakan-Umno-BN untuk merampas kembali negeri tersebut.
Namun dalam pilihan raya umum yang lalu, Gerakan-Umno-BN sekali lagi tewas di tangan Pakatan Rakyat, malah gabungan pembangkang melebarkan lagi penguasaan dengan kemenangan majoriti yang besar.
Menyingkap sejauh mana kebenaran dakwaan Melayu Pulau Pinang dipinggirkan, Krew Harakah menerjah beberapa buah perkampungan Melayu yang masih wujud di sana pada 26 April lalu.
Dalam satu pertemuan dengan beberapa penduduk di Kampung Masjid Batu Uban, rata-rata penghuninya mengakui propaganda itu sebenarnya suatu yang direkayasa.
“Benar kaum Melayu di sini semakin tidak bertanah, namun kenapa mereka ini kehilangan tanah?Apakah yang dilaporkan media itu benar atau sebaliknya,” kata seorang penduduk, Tahir Yahya, 60 yang merupakan bekas kakitangan di Jabatan Penilai yang mendiami kawasan itu sejak kecil.
Biarpun duduk di rumah kos rendah di situ, namun Tahir berazam untuk tidak menjual rumahnya kepada sesiapa sahaja sekalipun kerana mahu mempertahankan kehidupan di sini.
“Jika saya mahu jual, rumah kos rendah yang harganya dahulu sekitar RM25,000 kini boleh dapat sehingga RM120,000.
Tetapi apakah yang akan ada kepada kita suatu hari nanti?” soalnya sambil mendedahkan beberapa kes penjualan tanah oleh kaum Melayu kerana hanya melihat kepada keuntungan semasa.
Tahir mendedahkan bahawa ramai di kalangan pemilik tanah khasnya kaum Melayu telah menjual tanah mereka kepada beberapa syarikat pembinaan kerana melihat tawaran yang sangat lumayan berikutan nilai tanah di sini semakin tinggi.
“Sekarang ini harga sekaki tanah antara RM200 hingga RMM400.
Sejak dahulu lagi ramai orang Melayu menjual tanah mereka kerana tertarik dengan harga yang ditawarkan.
“Kemudian berlaku migrasi orang dari pulau ke seberang secara beramairamai memandangkan mereka membeli tanah di seberang (tanah besar),” dedahnya.
Menurut Tahir lagi, ada juga kes membabitkan penjualan tanah selepas ibubapa meninggal dunia oleh waris yang berebut untuk memiliki harta pusaka.
“Mereka ini hanya nampak duit berbanding nilai yang ada pada tanah itu jika dikekalkan.Jadi bagi saya ini bukan salah kerajaan negeri yang ada pada hari ini kerana mereka tidak pernah paksa atau usir penduduk Melayu di sini,” ujarnya lagi.
Beliau yang juga salah seorang kariah Masjid Kampung Batu Uban berkata, ada juga kes di mana pemilik tanah (kaum Melayu) yang memohon kepada kerajaan negeri untuk tanah mereka ditukar status daripada pertanian kepada untuk pembangunan.
Pertukaran itu katanya hanya semata-mata untuk membolehkan tanah itu dijual pada harga yang mahal kepada pemaju perumahan.
“Kita tidak boleh salahkan kerajaan negeri, hal ini berlaku kerana sikap kaum kita sendiri yang lebih melihat nilai wang berbanding nilai warisan,” katanya lagi.
Ditanya mengenai harga rumah di Pulau Pinang yang meningkat mendadak mutakhir ini, Tahir yang berpengalaman dalam bidang penilaian berkata, permintaan yang tinggi dan kewujudan spekulator menyebabkan harga rumah melambung.
Malah kehadiran warga asing di sini untuk memiliki tanah juga menyumbang kepada peningkatan harga, selain sewaan rumah yang sangat tinggi.
“Rumah pangsa kos rendah kini mencecah RM100,000, sementara rumah teres (setingkat dan dua) antara RM500,000 ke RM800,000. Terdapat kecenderungan kaum Melayu untuk menjual rumah mereka kepada kaum lain apabila melihat harga rumah semakin meningkat,” katanya.
Apatah lagi tambahnya, di Pulau Pinang tidak wujudnya tanah rizab Melayu, menyebabkan penjualan rumah mudah berlaku antara kaum Melayu dengan pembeli kaum lain.
“Kalau ada rizab Melayu, saya yakin hal ini tidak akan berlaku,” katanya.





















Share this article :

0 comments:

Speak up your mind

Tell us what you're thinking... !

 
Webmaster | Warta Utara Online
Proudly powered by Blogger
Copyright © 2014. Warta Utara Online - All Rights Reserved
PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER Warta Utara Online